Monday, 30 March 2009

Biskut




Saya ke The Store di Ampang Park. Saya bukan penggemar biskut tetapi sibuk membelek bahagian biskut sebagai bekalan ke Kuala Gandah. Mana tahu ada biskut yang bertuah yang akan berjaya masuk ke dalam perut saya. Saya memilih biskut perasa lada hitam. Hendak rasa kelainan sebenarnya. Ketika mengambil biskut itu, sepeket telah jatuh ke lantai. Aduhhh....hancur lebur la biskut tu kat dalam. Ketika itu di belakang saya ada seorang mat saleh. Secara tidak langsung dia nampak biskut itu terjatuh. Dia berkata kepada saya:

Mat Saleh: Hopefully someone likes crumbs.

Saya: I hope so (saya menjawab sambil tergelak).


Errrr....perli ke ikhlas tu?

Friday, 27 March 2009

Hari Malang Sedunia

Pagi itu, ketika saya mengimbas kad Touch N Go di stesen LRT, tiba-tiba kad itu gagal berfungsi. Saya kira punca utama adalah saya terlalu cepat meletakkan kad saya ke atas pengimbas sebelum panel penunjuk bertukar normal untuk kad orang yang di hadapan saya. Saya cuba menuju kepada seorang staf di situ. Sebelum sampai kearahnya, saya disuruh ke kaunter. Sebelum saya sampai ke kaunter, staf di kaunter sudah mengangkat kad yang tertulis "Touch N Go - Out of Service". Saya bertanya kepada staf tadi apa yang harus saya buat. Saya tidak sekali-kali menggunakan tunai kerana saya telah menambahnilai kad saya lebih RM100 untuk menggunakan perkhidmatan mereka. Staf itu menyuruh saya menaiki tren dan menyelesaikan masalah saya di stesen yang saya akan turun. Ini dinamakan "memindahkan masalah".

Sesampai di stesen Dang Wangi, saya bertanya sama ada sistem Touch N Go di stesen itu berfungsi.

Staf: Kat sini pun system down kak. Kitorang pun tak boleh buat apa.

Saya: Bila sistem akan ok?


Staf: Tak tau la kak.



Saya hulurkan duit RM50 untuk tambang yang berharga RM2.30. Saya ada pilihan? Sudah tentu tidak. Itulah sebabnya saya menggunakan kad kerana saya tidak mempunyai duit kecil ketika itu. Duit syiling pula baru
saja saya masukkan ke dalam tabung sebelum saya keluar rumah. Staf itu menghulurkan kad untuk saya slotkan ke dalam mesin slot.

Saya: Tak payah la kad ni lagi. Saya kan dah sampai sini.

Staf: Akak kena masukkan jugak kad tu.



Tidakkah ianya menyusahkan sedangkan perkhidmatan ini untuk menyenangkan orang seperti saya. Itu belum lagi dicerita pengalaman menggunakan sistem LRT di Kuala Lumpur ketika hari hujan.

Di stesen monorel Bukit Nanas, ketika saya menaiki tangga, kaki saya tersadung dan saya hampir terjatuh tersungkur. Nasib baik orang tidak ramai. Walaupun tidak ramai, ia adalah insiden yang memalukan. Tiba-tiba saya tersenyum sendiri. Di dalam hati saya berkata: "Kenapalah hari ini dimulakan dengan sesuatu yang malang. Entah malang apa yang akan berlaku lagi sepanjang hari ini".

Hampir sampai ke pejabat, ketika saya menaiki tangga, saya menyeluk beg untuk keluarkan ID kad. Saya terasa seperti ada benda jatuh tetapi saya tidak hiraukan kerana sibuk bersembang dengan Diana yang kebetulan sampai sama dengan dengan saya. Tiba-tiba ada seorang lelaki cina menegur saya dan memberitahu ada sesuatu terjatuh. Saya toleh. Kad Touch N Go saya rupanya. Andai tidak ditegur, mungkin bukan setakat saya kehilangan kad Touch N Go tetapi juga kad tambahnilai saya yang lain. Aduhhh....saya sangat lalai.

Tiada apa yang terjadi sepanjang saya di pejabat. Saya kira setakat itu saja malang saya tetapi tidak. Sebelah petangnya saya ke kedai berhampiran rumah. Berjalan seperti model catwalk, tiba-tiba kaki saya tergelecok kerana lantai yang tidak rata. Sakitnya tidak terkira. Saya terpaksa berhenti sekejap untuk menahan sakit lebih kurang 5 minit. Dalam masa yang sama, ada seorang lelaki bersama anaknya hendak melalui lorong di tempat saya berdiri. Macam mana saya hendak bergerak dengan kaki yang sakit? Kenapa mesti lalu di lorong itu sedangkan ada 2 lagi lorong lain yang boleh dilalui? Saya paksa kaki saya berjalan walaupun sakit. Dia tahu kaki saya sakit kerana insiden itu berlaku didepan matanya. Saya nampak dia memerhatikan saya yang menahan sakit. Kata-kata dalam hati saya memang tiada ampun. Nanti ada pula yang masuk penjara kerana membunuh dengan niat hehehehehe.

Sampai situ saja? Tidak. Sampai di rumah, saya bercita-cita untuk masak Butter Prawn yang resepinya saya dapat daripada seorang blogger. Ternyata Butter Prawn saya tidak menjadi(!). Tetapi saya makan jugalah walaupun tidak sedap dan tidak menjadi. Haiza cuma rasa sebab ketika itu dia sudah bersiap untuk keluar makan malam. Aishah belum sampai rumah.

Kalau sudah mulanya malang, sampai ke hujung pun malang. Allah suruh kita lebih berhati-hati.

Wednesday, 25 March 2009

Emak

Ketika emak menghantar mesej kepada saya mengatakan dia terjatuh di bilik air sudah 2 hari, jantung saya berdegup kencang. Sebelah petangnya saya dapat isyarat yang kurang enak. Saya sangat bimbang. Saya bimbang itu menjadi punca hal yang tidak saya ingini. Maklumlah emak saya sudah berumur, walaupun di usia 57 tahun, ada yang mengatakan usia emak saya masih muda. Saya bimbang dengan gerak hati saya. Adakala saya marah dengan gerak hati sendiri. Saya tidak menyalahkan otak saya yang memikirkan yang bukan-bukan. Sebarang kejadian yang berlaku pada emak, sangat membimbangkan hati saya.

Pada tahun 2001 emak pernah dimasukkan ke hospital kerana tiba-tiba emak sakit kepala. Memandangkan emak dimasukkan ke wad wanita, saya menawarkan diri menjaga emak di hospital walaupun ketika itu saya hendak menduduki peperiksaan di universiti. Saya tidak benarkan adik perempuan saya menjaga emak kerana dia juga sedang menduduki peperiksaan. Kebetulan kami belajar di universiti yang sama ketika itu. Saya sangat risaukan emak. Walau apa pun terjadi ketika itu, saya mahu emak berada di depan mata saya. Selama menjaga emak di hospital, saya hanya akan pulang ke rumah di awal pagi untuk bersihkan diri dan memasak makanan tengahari untuk adik-adik. Usai kerja rumah, saya akan ke hospital semula. Lebih kurang seminggu, begitulah rutin harian saya. Kalau hari tersebut saya ada peperiksaan, saya akan ke dewan peperiksaan. Habis peperiksaan, saya akan ke hospital semula. Kalau ditanya sekarang sama ada saya rasa penat atau tidak, jawapan saya tidak. Ajaib sungguh. Sekarang, balik dari kerja, penatnya seolah-olah saya buat kerja bendang(!).

p/s: saya gagal subjek Business Calculus yang saya ambil ketika saya menjaga emak di hospital tetapi ada hikmah lain yang saya dapat. Ketika orang lain bertungkus lumus mengira itu ini di dewan peperiksaan, saya menulis lirik lagu Siti Nurhaliza(!)

Saturday, 21 March 2009

Durian

Saya dilahirkan di kampung dan dibawa ke bandar pada tahun saya dilahirkan. Saya pernah berangan untuk bermastautin di kampung. Hidup macam orang kampung. Dikelilingi suasana kampung. Berumah seperti rumah kampung. Kalau saya menonton drama-drama di tv yang berlatarbelakangkan kampung, saya rasa tenang. Kalau saya membaca novel yang menjadikan kampung sebagai latar cerita, saya sangat fokus membayangkan suasananya. Saya tidak tahu sama ada angan saya akan jadi kenyataan satu hari nanti. Kalau boleh jangan satu hari saja. Saya rasa saya boleh adapt diri saya dengan suasana kampung memandangkan saya jenis yang tidak kisah. Tapi satu saja yang kontra dengan saya. Saya tidak tahu kupas buah durian padahal saya adalah peminat buah kampung ini. Macam mana hendak jadi orang kampung kalau durian pun saya tidak tahu kupas?

Beberapa minggu lepas, ketika dalam perjalanan pulang dari kampung ke Kuala Lumpur bapa saudara saya belikan saya dua biji buah durian tanpa pengetahuan saya. Tiba-tiba dia bertanya sama ada di rumah saya ada parang atau tidak. Saya jawab tidak ada. Sampai di rumah saya fikir macam mana caranya saya hendak mengupas durian itu sebab rasa hati membuak-buak untuk makan durian. Kalau saya berada di gerai durian tadi, saya akan minta tolong penjual itu kupaskan sikit kulitnya supaya tidak susah untuk saya keluarkan isinya bila sampai di rumah. Itu “kalau”. Masalahnya durian itu pun telah berada di rumah saya ketika itu. Saya mulakan misi dengan pisau yang biasa saya gunakan untuk memotong sayur. Terkupas juga akhirnya buah durian itu tetapi dengan dua lubang kecil yang berdarah di tapak tangan saya(!)

p/s: Yang sebiji lagi saya biarkan di dapur sebab saya takut tangan saya luka lagi. Setelah beberapa hari dibiarkan, akhirnya kulitnya terbuka sendiri(!)

Moral?

Sabar.