Thursday, 27 May 2010

Hipotesis (Bukan Bluehyppo Ye....)

7:20 am

Perempuan melayu terakhir yang cun (bukan saya cakap, McNa yang cakap. Tak percaya, tanya dia) keluar rumah. Hendak pergi kerja. Eh, apa benda yang ada depan pintu rumah ni? Sampah. Sampah dari mana? Oh, dari tangga bawah tu. Kenapa ada kat sini?

2 Hipotesis. Kira macam buruk sangka la juga ni.

Hipotesis 1.
Jiran saya yang letakkan sampah tu depan rumah saya. Kenapa? Sebab dia ingat saya yang sapu sampah ke tangga bawah tu. Betul ke? Betul. Kenapa saya buat macam tu? Saya mesti ada sebab. Sebabnya? Sampah dari tangga atas menyemakkan pandangan saya. Setiap minggu saya kena sapu, saya kumpulkan kat tangga bawah. Tujuan? Saya nak tengok, minggu depan ada lagi ke tak sampah dari tangga atas tu. Kalau ada, siapa punya sampah? Takkanlah saya pulak. Takkanlah masa sapu, sampah saya naik ke tangga atas. Lagipun, saya tak mungkin sapu sampah saya ke luar rumah ke tangga. Saya mesti sapu terus ke dapur dan beranda belakang rumah di mana saya letak tong sampah saya. Saya tadah lepas tu buang dalam tong sampah saya. Memang macam tu la sepatutnya kan? Jadi, sampah dari tangga atas tu mestilah sampah dari orang yang tinggal di atas sebab setiap minggu ada sampah di atas tangga tu. Saya sapu lagi ke tepi tangga bawah. Dah banyak baru saya buang.

Salah saya ke kalau saya tolong sapu sampah orang atas dan kumpul kat situ. Akhirnya saya jugak yang buang. Sampah saya, saya tak suruh orang buang pun. Kenapa sampah orang lain pulak saya yang kena sapu? Bila saya dah tolong, ada pulak orang letak sampah tu depan rumah saya. Persoalannya. Sampai bila saya kena sapu sampah orang atas yang disapu ke arah tangga atas depan rumah saya? Naik lemak la mereka kan? Sebab ada pulak tukang sapu sampah tak bergaji yang tolong sapukan. Dapat pahala ke buat kerja tak ikhlas? Memanglah salah saya kalau saya kumpulkan sampah tu ke tepi sebelum dibuang tapi cubalah fikir, sampah tu bukan sampah saya. Kalau ye pun, cubalah bagi saya masa untuk saya buang. Sampah orang lain pulak tu.

Hipotesis 2
Orang yang berniat jahat letakkan sampah tu depan rumah saya. Kenapa saya cakap macam tu? Macam ni ceritanya. Jeng jeng jeng.

Saya bangun pagi tu terus ke bilik air. Saya pasang shower. Eh, kenapa perlahan pula air ni? Semalam elok je. Oh, mungkin akan ada gangguan bekalan air sekejap lagi. Lebih baik mandi cepat-cepat. Ini yang ada dalam fikiran saya.

Saya rasa akal orang yang berniat jahat tu macam ni. Dia perlahankan paip utama saya kat bawah malam tu. Dia ingat saya akan gunakan air dah tengah-tengah malam masa orang semua dah nak tidur. Jadi, bila saya tengok air perlahan, saya akan keluar dan turun bawah untuk kuatkan aliran air. Bila saya keluar ternampak ada sampah depan pintu saya, mestilah saya akan sibuk buang sampah dulu sebelum saya turun bawah. Jadi, penjahat tu senanglah nak masuk rumah saya atau nak buat apa-apa kat saya. Memandangkan dalam rumah saya tak ada barang apa-apa yang berharga kecuali saya, tinggal saya je yang boleh jadi mangsa dia.

Hoh. Penat buat hipotesis sedangkan tak tahu yang mana satu betul. Entah-entah dua-dua salah. Eh, faham ke apa yang saya tulis ni?

Tuesday, 25 May 2010

BTS

BTS.
Bandar Tasik Selatan?
Berjaya Times Square?
British Thoracic Society?
Base Transceiver Station?
Bangkok Mass Transit System?

Ye, betul. Berjaya Times Square.

Ia adalah pusat membeli belah. Bukan yang main nombor tu. Itu Berjaya Toto. Kenapa kau terangkan lebih-lebih el. Macamlah orang tak tahu kau ni el.

Saya pernah ke BTS tapi pandangan pertama saya? Saya tak suka sangat pusat membeli belah tu kalau nak dibandingkan dengan KLCC walaupun saya tak boleh beli apa-apa pun kat KLCC. KLCC bukan tempat saya. Setakat lalu je setiap hari bolehlah. Saya punya taraf Giant je.

Tak tahulah kenapa kurang suka dengan BTS. Mungkin masa saya pergi tu, BTS baru buka. Maka tak banyak kedai lagi.

Sekarang? Wah! Banyak dah kedainya. Macam-macam pula tu. Terutama kedai-kedai menjual baju budak-budak perempuan. Budak-budak bunyinya besar sikit. Kalau kanak-kanak macam kecil sangat. Alya bukan kanak-kanak lagi. Dia dah “tua”. Hehehe…ampun Alya. Teruja pasal kedai baju budak-budak je. Kedai lain tak sangat.

Eh…kenapa cerita pasal Alya pula ni.

Kenapa dengan BTS?

21 Mei 2010 – 5:45pm

McNa: Kau kat mana?

Saya: Kat ofis lah.

McNa: Kau buat apa tu? Baliklah. Teman aku pergi main boling?

Saya: Haaa????????? Kau niiii…aku tengah buat kerja ni. AGM aku tak siap lagi. Minggu depan bos aku dah balik.

McNa: Dah petang ni. Baliklah. Buat apa kerja teruk-teruk sangat. Turun sekarang. Aku tunggu kau dekat monorel Raja Chulan.

Saya: (Bertuah punya budak. Aku dah la tak bersedia mental dan fizikal ni).

Ewah ewah. Suka hati engkau je kan. Main arah je. Senang je engkau bila kau nak suruh aku teman engkau. Bila tiba masa aku suruh kau teman aku, aku yang kena fikir 10 kali pasal anak-anak kau kat rumah. Kau ni memang kejam tau McNa. Macamlah kau reti sangat nak main boling.

Sebab aku tak reti la aku ajak kau. Aku nak berlatih sebab hari ahad ni aku ada pertandingan.

Pertandingan? Hahahahahaha….aku dah tahu dah keputusannya kalau kau yang masuk pertandingan tu.

Friday, 21 May 2010

Air Kacang Soya

Si Nana ni dulu dia kata badan dia berisi. Saya tak dapat nak mengesahkannya sebab saya kenal dia, dia memang dah kurus dan lebih tinggi dari saya. Kecemburuan ditahap melampau orang tinggi lebih dari saya. Dan saya juga belum pernah tengok gambar lama dia.

Dia pernah cerita pada saya yang dia mula menurunkan berat badan kerana doktor telah mengesahkan dia menghidap kencing manis di usia awal 20an. Takutnya. Katanya sakit dah beransur sembuh.

Di pejabat kami ada 3 chiller. Setiap chiller dipenuhi dengan air tin Coca-Cola, Diet Coke, 100Plus, Kacang Soya dan Teh Bunga.

Satu hari saya ternampak Nana ambil setin air kacang soya.

Saya: Nana, awak tak boleh minum tu la. Air tu banyak gula. Kata kencing manis.

Nana: Saya nak putih.

Saya: Weh....kalau nak putih bukan awak yang kena minum. Mak awak yang kena minum masa mengandungkan awak.


Gloss: Saya tak tahu sejauh mana putihnya kulit si anak sekiranya si ibu selalu minum air kacang soya ketika mengandungkan si anak. Saya selalu dengar macam tu lah. Betul ke?

Tuesday, 18 May 2010

Peluang

Selalu kita dengar orang berkata: “Kita kena jadi orang yang pandai rebut peluang untuk berjaya”.

Selalu dengar ke? Ke saya je yang selalu dengar. Atau ayatnya bukan macam itu. Ayat dia lain. Tapi inti patinya adalah - kalau mahu berjaya, kena cepat-cepat rebut peluang yang lalu depan mata. Baru boleh berjaya.

Bagi saya. Sekurang-kurangnya bagi saya lah kan. Bukan semua peluang yang melayang atau bergolek depan mata itu akan membuatkan kita terus berjaya. Ianya datang bersama risiko. Itu adalah pasti. Sama ada risiko yang membawa ke arah positif atau negatif. Risiko besar atau kecil. Yang membawa kepada terjumpanya cahaya jalan pulang di hujung terowong atau terjumpanya hutan gelap menandakan kita tersesat jalan.

Hoh.

Mukadimah macam cerita mistik je bila sebut tersesat jalan pulang bagai. Sejak akhir-akhir ini rancangan di tv berkisarkan cerita seram, misteri dan mistik. Dalam ayat yang lebih mudah adalah cerita hantu.

Kenapa pula masuk bab cerita hantu ini? Bukan bukan. Saya bukan hendak cerita pasal cerita hantu. Saya hendak cerita pasal peluang.

Bila masuk jam 7:30 am hingga 9:00 am, jalan raya dekat situ memang sesak. Hendak melintas pun susah. Bukannya tidak boleh lalu jalan lain nak ke pejabat tapi kena lintas juga untuk ke seberang sana. Hendak ke bangunan sana. Cari sarapan hikssss~~~

Kalau ada orang lain yang hendak melintas dengan kita, selalunya kita akan ikut orang itu. Kita pandang-pandang orang itu. Hendak lintas ke tidak, hendak lintas ke tidak. Lebih best lagi, kita berdiri belakang orang itu supaya senang nampak bila dia hendak lintas. Lepas itu kita ikut. Hahahaha…nak tergelak pula. Teringat perbuatan sendiri.

Tapi takkanlah setiap hari kita hendak ikut orang. Buatnya tiada orang yang hendak lintas sama dengan kita, takkanlah kita hendak berdiri kat situ berjam-jam sampai keras. Jadi, dengan kata-kata “kalau tak ambil peluang, memang tak akan dapat lintas punya” di dalam kepala, maka dengan langkah wanita melayu terakhir dia pun melintas.

Oooopsss…kena berhenti dekat tengah-tengah garisan putih sebab kereta dekat lorong sebelah sana laju dan tidak berhenti. Eh, takkan tidak ada sebuah kereta pun yang berhati mulia mahu berhenti untuk memberikan dia laluan. Kereta yang berhati mulia ye. Bukan tuan punya kereta yang berhati mulia. Teruk betul ayat.

Ketika inilah peluang yang direbut tadi sudah menjadi risiko yang sangat besar. Orang lain gadai emas, dia gadai nyawa. Dalam kepala dia sudah terbayang-bayang berita muka depan surat khabar esok: “Perempuan Melayu Terakhir Kemalangan Ketika Melintas Jalan Di Depan Crowne Plaza Kerana Berdiri Di Tengah-tengah Garisan Putih”. Wah(!) Bukan main panjang tajuk muka depan. Muat ke? Mesti lepas itu Editor surat khabar itu kena buang kerja. Kerja Editor kan kena cipta tajuk yang ringkas tapi menarik.

Melencong lagi dari tajuk.

Disebabkan tidak ada kereta yang mahu berhenti, dia terpaksa pecut. Exaggerate. Usah ditanya apa perasaan dia ketika di tengah-tengah garisan putih itu. Ditambah lagi dengan motosikal yang semakin dekat dengan dia, semakin ditekannya minyak. Macam lepas geram dan buat muka padan-muka-kau-siapa-suruh-kau-berdiri-kat-tengah-tengah-jalan.

Akhirnya ada tuan punya kereta memberhentikan keretanya dan menumpangkan dia sehingga sampai ke pejabat telah memperlahankan keretanya dan ketika inilah dia mengecilkan risikonya dengan merebut peluang itu untuk melintas dengan selamat sambil membuat isyarat tangan sebagai tanda terima kasih. Di dalam hati mendoakan semoga tuan punya kereta selamat sampai ke destinasi dan dipermudahkan perjalanannya.

Dapatlah dia ke seberang sana untuk bersarapan setelah berjaya merebut peluang melintas jalan dengan risiko yang sangat besar, kemudian dikecilkan risiko itu dengan nekad yang tinggi. Wah ayat(!)

Macam cerita arnab dengan kura-kura.

Friday, 14 May 2010

Mawar Itu Milik Siapa

Sumber foto. Terima kasih.

Alya: Hari tu Alya bagi Wan bunga.
Saya: Bagi Wan bunga? Bunga apa?
Alya: Bunga ros.
Saya: Berapa ringgit Alya beli?
Alya: 50 sen.

Saya: 50 sen? Murahnya. Alya beli kat mana?
Alya: Bunga ros plastik. Sekolah jual untuk Mother’s Day.
Saya: Ceritalah kat Maklong macam mana Alya bagi Wan.
Alya: Alya balik sekolah kan, Alya pegang la bunga tu. Alya sampai rumah, Alya ketuk pintu, Wan bukak pintu terus Alya cakap “Happy Mother’s Day”.
Saya: Wan cakap apa?
Alya: Wan cakap terima kasih. Hmm…tapi Wan bukan mak kandung Alya.

Inilah puncanya saya tidak lagi menulis apa-apa tentang Hari Ibu sejak 7 tahun lalu.

Inilah juga puncanya saya tidak lagi mengendahkan hari istimewa itu kerana bagi saya setiap hari adalah hari yang istimewa untuk ibu.

Kerana inilah saya tidak pernah lagi merancang apa-apa perhimpunan keluarga seperti keluarga lain di hari istimewa itu walaupun ianya bukan budaya masyarakat Islam khasnya.

Kenapa pula Alya yang sudah tiada ibu maka ibu saya pula yang menjadi ‘mangsa’ keadaan?

Tiada siapa yang jadi mangsa keadaan. Emak amat memahami. Cukup dengan sambutan ulangtahunnya Februari lepas untuk menggantikan Hari Ibu katanya.

Meskipun dia anak kecil yang tidak tahu akan erti kehilangan ibu, hatinya perlu dijaga walaupun dia tidak tahu kita menjaga hatinya.

Ketika Alya petah bercerita, tiada sebarang riak di wajahnya waima wajah sedih sekalipun. Susah saya hendak lihat dia bersedih ketika bercerita tentang ibu. Kehilangan ibu ketika usia 2 tahun menyebabkan dia tidak tahu langsung apa yang berlaku ketika itu. Mundar mandir ke hulu ke hilir ketika orang ramai memandi dan mengkafankan arwah ibunya membuatkan saya hiba ketika itu.

Selepas Alya bercerita tentang mawar itu, tiada setitis pun air mata saya keluar. Saya juga tidak memeluknya setelah dia selesai bercerita seperti selalu bimbang air mata ini tumpah. Sungguh saya tidak menangis di depan Alya kerana saya tidak mahu dia bertanyakan alasannya. Tetapi saya gagal membendung air mata saya di belakangnya. Sehingga ke hari ini ceritanya masih terngiang-ngiang di telinga saya walau apa pun yang saya lakukan dan di mana saja saya berada. Dan air mata bagaikan mengerti perasaan saya.

Sungguh sukar untuk saya terus menaip mengenai anak ini.

Gloss: Wan adalah emak saya.

Wednesday, 12 May 2010

Tolong! Oksigen! Oksigen!

Semasa saya ditemuduga untuk kerja ini, saya tidak pernah diberitahu yang sekali sekala saya perlu menterjemah surat-surat yang datangnya disambut dengan bahasa melayu Malaysia dan perlu dihantar pulang dengan bahasa inggeris. Malah, nama jawatan saya juga tiada kena mengena dengan hal-hal perterjemahan.

Selalunya surat-surat yang datangnya dari agensi kerajaan datangnya berbahasa Malaysia. Jarang sekali ianya datang di dalam bahasa inggeris. Kalau ada pun, separuh Malaysia, separuh bukan Malaysia. Perenggan pertama dan akhirnya bahasa Malaysia. Isi surat bahasa inggeris.

Dalam kita sibuk bersilat memartabatkan bahasa Malaysia, masih ada agensi kerajaan yang menggunakan bahasa bercampur-campur dalam urusan jual beli surat-menyurat. Bukan mereka sengaja. Bersangka baik ye. Mereka terpaksa sebab dalam syarikat yang makhluk-makhluknya datang dari planet negara asing, mereka tidak memahami bahasa Malaysia.

Pernah terjadi, sebuah firma sekretariat di Malaysia mengepilkan surat berbahasa Malaysia dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Companies Commission of Malaysia) di dalam emel kepada salah seorang pekerja syarikat saya di Hong Kong. Akibatnya:

“Your colleague xxx has indicated that it is “self-explanatory”, but as the notice from the Commission is entirely in Bahasa, it is only self-explanatory to someone who can read Bahasa. (We can’t.)”

Hahahaha.
Rasakan.
Pandai pula mat saleh tu guna perkataan “Bahasa”
Kadang-kadang kita lupa. Bukan kita tak fikir.

Sedap kau mengata orang ye eL. Sendiri pun pernah kena. Eh, pernah ke?
Pernah lupa tapi belum pernah lagi dapat se das dua macam tu.

Panjang betul mukadimah.

Disebabkan tidak mahu kena empat lima enam das, maka saya perlu terjemahkan surat yang baru saya terima dari salah sebuah agensi kerajaan. Surat itu adalah surat yang berstatus segera dan penting. Ia perlu disebarkan (betul ke penggunaan perkataan “disebarkan”? Hikss~~) kepada bos-bos besar yang sebahagian besarnya bukan orang Malaysia(!). Kalau orang Indonesia tu, bukan orang Malaysia juga kan tetapi mereka pandai baca bahasa Malaysia. Dalam erti kata lain, bos-bos besar itu tidak tahu berbahasa Malaysia langsung.

Makanya, saya perlulah terjemahkan surat itu sebelum emelkan kepada mereka. Hendak mengharapkan sekretari mereka terjemah? Alamatnya, hari raya tahun depanlah baru siap. Jari yang tiada insurans.

Mereka tahu tak kerja menterjemah bagi orang yang tiada kelayakan seperti saya tidak perlukan sijil layak menterjemah tetapi memerlukan tangki oksigen bersaiz XXXL 60 inci. Suka hati engkau je letak saiz tu. Macam nak beli kain ela je gayanya. Doktor Fatin, kalau salah, sila betulkan ye.

Lepas habis menterjemah, terasa beban di atas batu jemala patik bahu terlepas semuanya. Punyalah lega. Tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Uishh…lebih-lebih pula.

Dah selesai? Belum. Kena semak dua tiga kali. Bila baca semula, terasa macam orang Jepun baru nak belajar cakap bahasa Malaysia. Ke orang Malaysia baru nak belajar cakap Jepun? Konichiwa.

Ya, memang kecewa. Kena cari perkataan yang bersesuaian. Tukar sana tukar sini. Tanya makcik Thesaurus. Tapi makcik kamus yang tak pernah dibuka sangat aktif terkinja-kinja hari ini dan banyak membantu. Terima kasih makcik kamus. Nanti saya belanja kamu makan huruf-huruf baru yang telah saya cacamarbakan. Kalaulah kamus tu boleh berkata-kata, mesti ia sumpah seranah saya.

Hoh…ingat senang menterjemah. Patutlah para penterjemah perlu ada sijil untuk menjadi penterjemah bertauliah. Alasan. Padahal bahasa Malaysia sendiri pun lintang pukang. Diri sendiri pun belum cukup banyak mengumpul nahu.

Help(!) Eh…tolong(!) Saya kena jumpa Doktor Fatimah. Tekanan darah saya naik.

Terasa-rasa darah naik ke muka.

Eh, itu bukan blushing ke? Wakakaka~~~

Sunday, 9 May 2010

Hargai Apa Yang Ada Di Sekeliling Kita

Kita selalu buat tak peduli dengan orang yang selalu berada di sekeliling kita.
Kita selalu tak rasa kewujudan mereka.

Kerana itu kita jarang fikir sebelum kita mengeluarkan kata-kata.
Kita rasa disebabkan orang tu dah selalu dengan kita, kita tak perlu lagi untuk menjaga hati.
Kita selalu dewa-dewakan orang yang baru kita kenal.
Jarang sekali kita fikir bahawa orang yang baru kita kenal itu belum diuji seperti orang yang kita sudah kenal lama.

Kita seringkali melukai hati orang yang berada di sekeliling kita tanpa kita sedar.
Lebih malang lagi, bila kita tersedar kita tidak terfikir untuk meminta maaf.
Kerana kita rasa kita dah biasa dengan orang tu.
Hatinya tak perlu dijaga.
Alah...dah kenal lama takkanlah kena pujuk juga.
Dah tahu hati budi takkanlah tak faham lagi.

Kita tahu tak kita silap?
Tidak.
Kita tak pernah tahu.
Lebih malang, kita tak pernah nak ambil tahu.
Bertambah malang kalau kita tahu sekalipun, kita tak mahu buat apa-apa.
Sekiranya berlaku selisih faham sama ada yang besar atau kecil, semudah itukah kita memutuskan talian yang telah sekian lama terjalin?
Semudah itukah kita melupakan cerita-cerita yang dikongsi bersama?
Bertahun-tahun melalui ujian keimanan, disudahi dengan satu perselisihan yang sangat remeh.
Betapa ceteknya akal kita yang selalu kita lambangkan dengan kematangan kononnya.
Tiada salahnya memaafkan ketika hati sedang dilanda amarah.
Tiada dosanya memaafkan tanpa melanjutkan perselisihan.
Bak bait-bait lagu Aisyah, maaf adalah dendam yang terindah.

Hati orang-orang yang berada di sekeliling kita adalah amat penting.
Kerana mereka telah lulus ujian persahabatan dengan kita.
Mereka telah lulus ujian kesukaran dan kesenangan dengan kita.
Jaga pertuturan kita.
Jaga tingkah laku kita dengannya.
Jika kita kehilangan mereka, kita tidak akan jumpa lagi orang seperti mereka di mana-mana.
Walau seburuk mana pun perangai mereka, jadikanlah sempadan tetapi jangan sesekali keluarkan perkataan yang tidak baik kepada mereka.
Mereka ada hak mereka sendiri. Dan hak mereka adalah kata-kata yang baik dari kita.
Hak mereka adalah kelakuan/layanan kita yang baik terhadap mereka.

Kita akan rasa terkilan jika kita kehilangan mereka.
Ketika itu kita akan terkenangkan saat kita bersama mereka.
Ketika itu sudah terlambat.
Kita akan rasa bersalah.
Tiada salahnya berbuat baik pada orang berbuat tidak baik pada kita.
Yang membalasnya bukan kita.
Ada yang lebih berkuasa dari kita akan membalasnya dengan balasan yang tidak tercapai dek akal.
Jangan bimbang sangat kalau kita tak nasihatkan dia untuk memperbetulkan kesilapannya, dia akan ulangi kesilapan yang sama.
Kerana mungkin dia tidak belajar untuk memperbetulkan kesilapan itu ketika dia buat silap kepada kita tetapi percayalah dia akan mempelajari sesuatu dari orang lain.
Apa yang penting doakanlah yang baik-baik untuknya.

Saya tidak gemar menyenaraikan kelemahan orang-orang yang berada disekeliling saya sekiranya saya tidak senang dengan mereka atau sekiranya berlaku selisih faham.
Sekali saya tidak menyebutnya, saya tidak akan menyebutnya sampai bila-bila.
Saya teringat akan sepucuk email yang pernah saya baca suatu ketika dulu berkisar tentang perselisihan di antara suami dan isteri.
Saya sangat terharu dengan balasan nota si suami kepada isterinya yang mengatakan si isteri tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan sepanjang perkahwinan mereka.
Saya percaya, si isteri pasti ada melakukan kesilapan, tetapi kerana sikap pemaaf dan demi menjaga hati, si suami membalas sedemikian rupa.

Sikap di atas bukan setakat boleh diaplikasikan di antara suami dan isteri tetapi dengan sesiapa saja.
Anda cuba lakukan.
Percaya dengan kata-kata saya, hasilnya amat menakjubkan kerana ia pernah berlaku kepada saya.

Kadang-kadang tanpa kita sedar, menyenaraikan kelemahan orang lain itulah kelemahan kita.
Ia seperti menuding jari telunjuk kita kepada orang lain tetapi tanpa kita sedari, empat jari lagi menunjuk kepada diri kita sendiri. Adakah kita sedar?

Mereka = ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan, sepupu, saudara mara, suami siteri, teman hati dan sahabat handai.

Gloss: Maafkan orang-orang disekeliling kita tanpa syarat seandainya mereka meminta maaf. Jangan ditambah rasa bersalah mereka dengan menyuruh mereka mengubah sikap dan menyenaraikan kelemahan mereka selagi kesilapan itu tidak melanggar agama. Siapa kita untuk menyuruh mereka membuat itu ini. Dan yang paling penting, apa kita rasa seandainya orang lain buat seperti itu pada kita. What goes around come around.