Saturday, 30 January 2010

Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel - Abdul Latip Talib


Rasulullah S.A.W. bersabda: Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.

Menurut novel ini Konstantinopel ditakluk di zaman kegemilangan Sultan Muhammad Al-Fateh. Sultan Muhammad Al-Fateh berusaha dan mahu hadis itu direalisasikan dizamannya.

Bagaimana yang dikatakan ketua yang baik?
Bagaimana yang dikatakan tentera yang baik?
Bagaimana yang dikatakan rakyat yang baik?

Semuanya ada dikupas di dalam novel ini. Sangat menarik cara Pak Latip mengupas setiap satu. Sangat mudah, ringkas tetapi padat.

Saya tidak pernah menyangka yang saya akan menitiskan airmata membaca novel sejarah Islam. Tapi ia benar-benar berlaku sehingga saya merasakan saya berada di dalam novel itu sebagai pemerhati dari atas, dalam bahasa penjajahnya bird's-eye view :-)

Baca novel ini. Anda akan mengiakan kata-kata saya, insyaAllah.

Gloss: Sebenarnya saya mengambil masa yang sangat lama untuk membeli karya Pak Latip ketika mula-mula saya terpandang novelnya di kedai buku pada tahun 2008. Semuanya bermula dari Sultan Muhammad Al-Fateh.

Gloss II: Tahniah untuk Pak Latip kerana novel-novelnya telah banyak diulang cetak. Sila baca di sini.

Monday, 25 January 2010

Perkataan Juga Ada Haknya

Saya: Salam. Dekat x rmh dgn pasaraya terus maju?

Farzana Izzati: Wslm. X jauh mNe r..dkt ngn jLn nk ke pekan..sPe ny?

Kalaulah sms ini dihantar kepada emak saya, mesti pening berpinar-pinar kepala Puan Siti Hawa itu. Budak-budak sekarang selagi boleh dipendekkan perkataan, selagi itulah mereka mahu pendekkan. Kadang-kadang, bukan dipendekkan pun. Mereka cuma gantikan huruf ini ke huruf itu. Contohnya, perkataan “ni” jadi “ny”. Kita yang menaip sms itu memang tidak ada masalah. Cepat sahaja siap. Orang yang membaca sampai pening untuk memahamkan setiap perkataan. Yang lebih menghairankan, rajin pula mereka menggantikan huruf kecil kepada huruf besar, huruf besar kepada huruf kecil. Saya yakin, ia menuntut usaha yang lebih untuk menekan butang tukar. Apalah bezanya jika usaha menekan butang tukar itu digantikan dengan menaip perkataan yang penuh untuk setiap ayat.

Aduh….tepuk dahi saya dibuatnya. Nasib baiklah kakak sepupu dia ini cepat faham ketika bertanyakan logistik bandar Kuantan tempat tinggalnya itu. Kasihan kepada perkataan-perkataan itu. Kalaulah ia boleh berkata-kata, tentu di”basuh”nya kita. Kalau kita belajar tilawah Al-Quran, kita akan diberitahu bahawa setiap huruf itu ada haknya. Maka, kita perlu menyebut dan menulisnya dengan betul. Dan saya rasa huruf-huruf rumi ini juga ada haknya walaupun ia tidak bernyawa.

Saya pernah terbaca - kalau tidak silap saya dalam novel Lentera Mustika oleh Nisah Haron - ada mengatakan sms itu bukan memendekkan perkataan tetapi memendekkan mesej. Saya sangat setuju. Sudah namanya sistem pesanan ringkas kan? Bukannya sistem ringkaskan perkataan.

Gloss: Yang menulis pun sama dengan je. Cakap orang pandai sebab penulis merasakan "sikit-sikit tidak apalah kot". Hahahaha...cakap tak serupa bikin.

Gloss II: Bertuah punya sepupu...dia boleh tanya siapa yang sms dia. Handphone dia yang handphone zaman batu tak display nama kakak sepupu dia ni, dia kata kita pulak yang pakai nombor baru.

Friday, 22 January 2010

Tetap Salah Sejak Mula

Lapar lah. Dah pukul 8 malam tak makan lagi, mesti lah lapar. Nak makan apa ni? Malasnya nak turun. Haaaa.....ada coklat kat meja dia ni. Ambil lah sikit. Dia bukan tahu pun. Tak baik macam tu. Tak apa lah. Esok bagitahu dia. Dia mesti ok punya sebab baik dengan dia.

Insiden yang berlaku hari selasa lepas. Elok sangatlah apa yang saya buat tu. SEMUA, diulangi SEMUA orang akan kata tak elok. Tapi berapa ramai di antara kita yang sedar apa yang kita buat tu kita tak perasan pun.

Ambil tapi beritahu dia esoknya.
Beritahu atau tidak bukan pokoknya. Perbuatan ambil hak orang tanpa izin itu sudah menunjukkan sifat tak baik. Kita sungguh yakin bahawa bila kita bagitahu dia esoknya, dia mesti cakap "alah, ambillah. tak kisah". Perbuatan ambil coklat dia tu telah berlaku semalamnya. Dosa dah terbit di situ walaupun dia tak kisah. Kalau nak beritahu, beritahu sebelum ambil barang dia. Semasa kita nak ambil tu, ada suara halus yang baik mengingatkan kita bahawa apa yang kita buat tetap salah dari mula tapi kita menurut kata suara halus yang kurang baik yang ada dalam diri kita.

Ambil tanpa izin
Ini masalah berat. Bukan masalah kita baik atau tidak dengan tuan punya coklat. Tetapi masalah kita ambil coklat orang lain yang bukan hak kita tanpa izin. Lebih buruk lagi coklat yang kita ambil tu akan masuk dalam perut kita dan mendarah daging. Kalau dia tak tahu pun kita ambil, tetapi Tuhan bukan setakat tahu, Dia nampak kita ambil. Dengan manusia kita boleh sorok atau sembunyi atau diamkan. Dengan Tuhan?

Kat akhirat esok kat mana lah kita nak cari dia kat padang mahsyar yang luas tu. Sifat ini bukan untuk diaplikasi pada coklat sahaja. Benda lain pun sama.

Gloss: Ini berlaku di pejabat. Jam 8 malam masih belum balik. Syaitan berkeliaran menghasut iman yang senipis kulit bawang. Ada tak kulit yang lebih nipis dari kulit bawang?

Gloss II: Dilarang meniru perbuatan ini. Lama lama ia akan jadi habit. Bad habit.

Thursday, 21 January 2010

Prihatin

Kenapa pulak dia tiba-tiba turun melalui eskalator yang bergerak ke atas? Main-main dengan eskalator ke apa? Orang tengah ramai pagi pagi nak pergi kerja ni, dia main-main atas eskalator pulak. Eh, apa yang dia nak ambik antara eskalator kiri dan kanan tu? Oh, rupanya kad lrt dia terjatuh. Terbang melayang dan singgah di atas palam antara eskalator kiri dan kanan. Setiap hari, waktu pagi, eskalator di stesen lrt KLCC akan diaktifkan naik ke atas di kedua dua belah. Selepas waktu puncak barulah diaktifkan turun naik seperti biasa. Untuk mengelakkkan kesesakan di escalator bagi menampung jumlah penumpang yang ramai turun di KLCC.

Kad lrt tu kepunyaan si gadis. Terkial-kial dia mengutip kad dengan susah payah dalam keadaan eskalator yang bergerak. Dah dapat. Terlepas pulak. Yang memandang ini – sayalah tu - cuba membantu. Ah, terlepas kad tu dari tangan saya. Orang (lelaki) di belakang saya pula mencuba nasib. Terlepas juga. Orang (lelaki) yang berada di eskalator sebelah pula membantu. Kali ini, Alhamdulillah, walaupun kad itu hampir terlipat dua.

Bukan masalah akhirnya kad itu dapat diambil - si gadis boleh saja ke kaunter untuk membuat pembayaran denda kehilangan kad – tapi keprihatinan orang di sekelilingnya.

Bayangkan andainya lelaki yang berjaya mendapatkan kad itu tidak prihatin akan kesusahan gadis tu yang terkial-kial cuba mencapai kadnya dalam keadaan eskalator yang sedang bergerak, pelbagai kemungkinan boleh berlaku:

1. Pagi si gadis itu sudah dimulai dengan stres. Mungkin stres gadis itu tiada kena mengena dengan kita tetapi membuat seseorang lega dan gembira, bukankah menjadi kegembiraan kepada kita juga?

2. Kemalangan mungkin berlaku kepada gadis tersebut di atas eskalator yang sedang bergerak. Si gadis mungkin saja tersungkur ketika hendak mengutip kadnya. Kain atau bajunya mungkin tersangkut di celah celah eskalator itu. Mahukah kita melihat berita dia di muka depan akhbar keluaran hari esok dengan insiden ini?

3. Terpaksa membayar tambang lebih dari yang sepatutnya. Mungkin kita mengatakan itu adalah harga yang dia patut bayar di atas kecuaiannya. Kalau kena kat kita?

Andai kejadian itu berlaku pada kita, sedih tak kalau orang di sekeliling kita tengok je?

Monday, 18 January 2010

Jangan

Mula-mula entry ini saya main taip je ikut kepala dan jari saya. Saya malas nak edit. Bukan bukan. Bukan malas. Saya tidak sempat. Tidak sempat hendak buat kerja dua kali. Ada kerja lain yang menuntut lebih dari kudrat saya yang sikit ini. Ini bad habit saya. Suka buat kerja dua kali. Salah satu resolusi saya tahun ini untuk kurangkan buat kerja dua kali. Hepppp….masuk landasan masuk landasan. Apa cerita pasal azam azam ni? Eh bagus apa buat kerja dua kali. Contohnya kalau menyapu rumah buat dua kali. Tak ke bersih rumah tu sampai menciutkan keh keh keh. Tak habis lagi nak menegakkan benang basah.

Sudah sudah. Cepat tulis. Ok ok, semua orang maklum cuti sekolah sudah habis kan? Secara tidak langsung, kenduri kahwin pun berkurang. Dah nak masuk cuti sekolah bulan Mac dan dah nak mula kenduri kahwin balik barulah blog ni sibuk nak cerita pasal kenduri kahwin.

Nak buat kenduri kahwin bukan senang walaupun dirancang dengan teliti. Nampak je senang. Sesiapa yang banyak duit, bolehlah suruh duit yang buat. Kadang-kadang suruh duit buat pun, tuan punya duit masih lagi pening kepala. Inikan pulak sesiapa yang kekurangan duit. Sesiapa yang belum pernah terlibat secara langsung di dalam menguruskan kenduri kahwin atau belum kena tempias sikit-sikit tidak akan rasa apa yang saya mahu ketengahkan. Tiba harinya ada je yang tak kena. Pertimbangkan pandangan di bawah:

Tempat
Di kawasan perumahan. Jangan buat kenduri di rumah kalau kita sudah maklum kawasan rumah kita sempit. Kalau nak buat juga, boleh. Pasanglah khemah dari hujung sana ke hujung sana. Ini pasang khemah cuma satu atau dua, nak suruh orang makan berdiri? Kalau kawasan rumah kita luas, lain cerita. Kalau kat kampung, lagi lain cerita. Kita kat dalam rumah sedang sibuk menyiapkan itu ini tidak akan tahu apa yang berlaku di dalam khemah. Untuk mengelakkan tetamu makan berdiri, pastikan semuanya cukup walaupun di setiap kenduri kahwin tetamu diarahkan untuk layan diri. Lantik seseorang untuk kendalikan bahagian ini. Pastikan kerusi, meja, makanan, minuman semua cukup. Air basuh tangan nampak remeh. Tapi mahu ke kita tengok tetamu kita basuh tangan melalui paip getah yang disalurkan ke longkang dan tetamu kena kangkang longkang tu sambil basuh tangan?

Khabarkan
Jangan khabarkan lambat sangat kepada saudara mara yang kita nak adakan walimah. Beritahu awal, banyak membantu. Tak adalah kita penat buat kerja sorang-sorang. Dah nak tiba hari pun, masih lagi menyapu laman. Muka cemberut je. Nak tegur pun takut. Esok dah nak kenduri, kita sibuk menghias itu ini lagi. Memang adat ke bila esok nak kenduri, malam ni semua berjaga? Tak tidur. Buatnya masing-masing collapse masa kenduri kahwin, terus jadi kenduri arwah.

Hantaran
Hantaran yang tak termasuk dalam kategori cepat rosak atau cepat basi, jangan dibuat malam sebelum hari nikah. Selalunya bakal pengantin perempuan nak buat hantaran dengan sentuhan tangan sendiri. Hantaran yang termasuk dalam kategori ini, tolonglah buat awal. Ini untuk mengelakkan kita tidak cukup tidur. Ini tidak, esok nak akad nikah, malam ni masih lagi bersengkang mata menyiapkan hantaran. Esoknya mata lebam. Muka sembab. Tak dinafikan kita mengupah jurusolek untuk mekapkan kita untuk menutup segala cela di muka. Di muka boleh ditutup tapi keadaan fizikal kita yang lemah tak cukup tidur, kita nak tutup dengan apa? Takkanlah kasut atau telekung atau sejadah atau toiletries termasuk dalam kategori hantaran cepat basi. Semua ni boleh dibuat awal. Jangan bagitahu saya, esok nak akad nikah, barang-barang tu baru dibeli hari ini.

Bunga
Selalunya hantaran penuh dengan bunga. Kalau boleh, tolonglah jangan guna bunga hidup. Atau jangan guna tema bunga hidup. Bunga hidup tak tahan lama kalau nak buat hantaran awal. Kalau nak guna sangat, siapkan awal-awal hantaran yang tak termasuk dalam kategori cepat rosak. Awal-awal ni bukan bermaksud 3 bulan sebelum kenduri. Seminggu sebelum kenduri pun dah boleh buat hantaran yang tak cepat rosak tu. Esok nak akad, malam ni boleh hias hantaran dengan bunga hidup. Kurang kerja. Boleh tidur awal. Pengantin kenalah tidur awal. Kalau jatuh pengsan masa walimah, tak ke jadi adegan kat situ. Ke memang semua orang tak boleh tidur bila nak kahwin? Excited la sangat ye. Kalau hantaran kita tak canggih sangat bolehlah jugak kita buat sehari sebelum. Ini hantaran kita, selagi tak penuh menimbun dulang tu, selagi tu la kita nak letak semua bunga.

Berkat (kenapa panggil benda alah ni berkat?)
Selalunya kalau itu ajelah anak perempuan yang kita ada, semua acara kita nak buat. Khatam Quran lah, berinai kecil lah, berinai besar lah, bersalin pakaian lah. Macam mana agaknya rupanya berinai kecil besar tu ye. Berinai jari kelingking, berinai kecil lah kot. Berinai ibu jari, baru berinai besar agaknya kan. Setiap acara ni, ada je berkat yang kita sediakan untuk tetamu yang datang. Dah buat banyak acara, banyak jenis lah berkat nak kena sediakan. Bukan tak boleh sediakan berkat untuk setiap acara tapi tak payah la sediakan yang canggih-canggih atau mahal. Akibatnya berkat untuk majlis kenduri yang sebenar terpaksa dicatu ikut bajet. Lebih memburukkan, ada yang tak dapat bawa balik apa-apa. Faham-faham je majlis orang kita. Memang dah dididik kita mesti bawa balik berkat. Kalau tak ada, orang mesti tertanya-tanya. Kita yang bau-bau bacang ni, tak tahu mana nak sorok muka bila orang bertanyakan berkat sebab berkat dah kena catu. Kena diberi kepada tetamu tertentu je. Berkat ni kena bagi pada semua orang kalau kita ada menyediakannya. Kenapa mesti ada konsep orang-ni-boleh-bagi-orang-ni-tak-boleh-bagi?

Dewan
Kalau buat kenduri kat dewan, jangan sediakan makanan asing-asing. Bahagian dalam dewan, makanan dihidangkan. Di luar dewan, makan secara buffet. Orang yang segan masuk ke dalam dewan yang gah, akan beratur ambil makanan di luar. Macam ada kasta pula. Macam ikut darjat. Apa salahnya buat semua sama untuk semua orang. Mati nanti pakai kain kapan warna putih juga. Boleh pulak sama. Apa tak mintak kain warna hijau ke, biru ke.

Baju.
Kalau kita sewa baju, sebelum pakai untuk hari kenduri, cuba dulu kat badan. Tapi jangan pulak cuba lagi satu jam nak nikah. Mencuba baju boleh dibuat awal. Kalau masa tu nak pakai, masa tu baru nak cuba, alamatnya mak andam terpaksa berlari balik ke kedai untuk cari baju yang muat dengan kita. Akhirnya kita pakai baju berlainan warna dengan pasangan kita. Tak ke haru. Seumur hidup kita malu nak tengok gambar kenduri kita. Orang tertunggu-tunggu kat meja beradap. Nak makan dulu ke tak makan dulu ke tak. Perut dah main lagu tekno. Dapat yang sabar tak apa. Dapat yang pantang berpeluh, terus nak bersilat?

Ini yang saya nampak kalau kita buat kenduri tapi tanpa perancangan atau mesyuarat. Selalunya ini terjadi bila kita nak buat gah. Semua nak buat sendiri. Percayalah, kita tak akan mampu buat sendiri. Kita hidup dihubungkan dengan rantaian kerjasama. Diulangi yang penting KERJASAMA. Macam Wonderpets pulak.

Ok, sampai sini dulu cik kiah membebel. Kalau ikutkan cik kiah, memang panjang lagi cik kiah nak bebelkan.

Tuesday, 12 January 2010

Nak Ke Tak Nak?

Pernah tak alami? Woh…ayat permulaan sama macam entry semalam.

Kita pergi ke pusat membeli belah. Lepas tu, ternampak barang yang kita nak sangat beli tetapi kita sekat kemahuan kita. Kita berulang kali beritahu diri kita sendiri bahawa apa yang kita mahu tu bukanlah barang keperluan tetapi barang kehendak. Macam ayat dalam buku pinjaman Perdagangan tingkatan 1.

Kemahuan (dibaca: nafsu) tidak boleh diturutkan sangat. Binasa dalam diam. Kita mesti mula berfikir dengan hati dari sekarang bahawasanya tanpa barang tu, kita masih boleh hidup seperti biasa. Serba sederhana. Kalau kita ada barang tu pun, ia tidak boleh digadai atau ditukarganti untuk beli beras. Ok, itu nasihat khidmat masyarakat.

Minggu depannya, kita ke pusat membeli belah itu lagi. Terserempak dengan barang yang kita hendak tu lagi. Medula oblongata kita mula ligat berfikir lagi. Banyaknya lagi. Kita bermonolog dengan diri sendiri dengan pertanyaan ini, “hendak beli atau tidak?”. Berjuta kali.

Akhirnya.

Kita beli juga barang tu dengan menafikan kata hati kerana menurut kata nafsu.

Lebih baik kita beli sahaja barang tu masa mula-mula kita ternampak barang tu kan? Lain kali, kalau dah nak tu, beli je. Kalau tahan pun, esok lusa kita beli juga. Perempuan. Memang macam tu. Lelaki pun sama ke?

Nasihat khidmat masyarakat yang tak boleh pakai(!)

Monday, 11 January 2010

Great Minds Think Alike

Pernah tak alami?

Orang datang pada kita minta pendapat. Alih-alih, apa yang ada di dalam kepala dia juga yang dia ikut.

Ye la, pendapat kita itu bukanlah muktamad untuk dia buat keputusan. Sila jangan perasan. Dia cuma minta pendapat kedua daripada kita sahaja.

Alah, itu pun pelik ke?

Entahnya. Biasalah begitu kan? Janganlah emosional.

Sebenarnya, dia sudah ada keputusan di dalam kepala. Dia datang pada kita tanya pendapat hanya untuk:

i. sedapkan hati dia sendiri
ii. menguatkan lagi keputusan dia kalau pendapat kita tu sama dengan apa yang ada dalam kepala dia.

Terangguk-angguk dia mengiyakan pendapat kita. Kerana sama pemikiran. Orang cakap apa, “wise men think alike?”, “great minds think alike?”. Errrggghhh…ye la sangat.

Tapi kalau pendapat kita tidak sama dengan dia, bermati-matian dia mempertahankan keputusan yang sudah ada dalam kepala dia.

Habis, kalau sudah ada keputusan sendiri, kenapa tanya orang lagi?

Untuk:

i. sedapkan hati dia sendiri
ii. menguatkan lagi keputusan dia kalau pendapat kita tu sama dengan apa yang ada dalam kepala dia.

Maaf. Jawapan ulangan ^_^

Janganlah marah saya.