Tuesday, 29 September 2009

Yang....

Yang best sebelum raya
Tak sangka pulak bos nak bagi duit raya. RM100. Duit juga kan. Tapi dalamnya terselit sehelai kertas. Saya rasa kalau saya tak cakap pun, anda semua tahu apa yang dia tulis :-) Tak apa bos. Saya dah maafkan. Lama dah hehehehe tahun depan duit rayanya berganda ye boss

Yang rasa nak jadi Incredible Hulk sebelum raya
Boleh pulak tak ada air. Buatnya air tak ada sampai ke senja, pukul berapa pulak nak masak berbuka ni? Nak beli malasnyalah nak keluar. Tak apa tak apa. Kita tengok pada tahap kecemasan. Call SYABAS lah tanya apa masalahnya. Cik call dari mana? Dari blok XX. Nama Cik siapa? Arisa Hamada. Macam ni Cik, ada paip pecah dekat blok A6. Kami sedang baiki. Pukul berapa boleh ada air balik tu? Dalam pukul 3. Memang syabaslah SYABAS ni buat kerja. Yang paip tu pandai pulak dia pecah dekat-dekat nak raya. Nak kata mogok nak kena sembelih buat lauk raya, rasanya tak ada pulak orang nak buat rendang batang paip kan? Badan makcik dah nak hijau sikit-sikit masa tu.

Yang sakit telinga semasa raya
“Kak, daging ni awak masak apa? Apa nama masakan ni. Awak masak macam mana? Semalam awak masak spaghetti ke. Bau dia macam kuah spaghetti”. Wohhh…tak macam rupa rendang ke daging tu? Aduhhhh…..penat tau makcik ni masak start dari petang sampai ke malam. Masa dah siap masak tu, kepala makcik terangguk-angguk je menandakan “ya…akhirnya jadi jugak rendang aku”. Sambil tersenyum-senyum. Kuah spaghetti? Macam tak jadi je rendang tu bila mak tanya macam tu. Sedih tau.

Yang geram semasa raya
Dua pupu saya sebelah mak, hulur duit raya kat Alya. Tau apa dia cakap? “Laaaaa…seringgit je?”. Ya Allah, rasa nak robek-robek je mulut dia. Saya jangan cakaplah. Malu sangat-sangat. Siapalah ajar mulut jadi laser tak agak-agak. Tapi bila difikir-fikirkan balik, nak tergelak pun ada. Ni off-topic sikit. Semalam saya call dia tanya dia tengah buat apa. Dia cakap dia tengah tengok kartun. Saya cakap kat dia dah besar-besar pun tengok kartun lagi. Dia jawab apa tau, alahhh…semua orang pun buat macam tu. Rasa nak cili je mulut tu.

Yang boring semasa raya
Bapa-bapa saudara – diulangi bapa-bapa saudara ya sebab ibu-ibu saudara ni buat macam “Aiman tak kisah” – kalau dah menyinggah rumah bapa-bapa saudara mereka pula, macam tak ingat yang kita ni ada berpuluh-puluh buah rumah lagi nak beraya dalam masa yang terhad ni. Dah ada berpuluh-puluh bapa saudara, kenalah singgah kejap-kejap. Ni siap ada yang sempat buat peta dunia versi baru.

Yang tak dapat rasa semasa raya
Lemang. Kenapa, saya pun tak tahu. Padahal ada je lemang kat kampung tu. Mungkin sebab saya ikat kontrak seumur hidup basuh pinggan, buatkan saya penat dan hilang selera makan. Basuh pinggan bukan sikit-sikit. Banyak sebab kami buat tahlil sekali. Saya dah terbayang-bayang lemang yang dijual kat Jusco. Tak ada kat Jusco, kat The Mall pun ada. Ahhh…tak kira. Nak jugak.

Yang rasa serik nak balik kampung beraya
Bersiapnya mengalahkan perempuan. Bersembangnya mengalahkan macam tiada esok bagimu. Kenalah tunggu dia balik baru boleh bergerak nak balik kampung. Suka sangat bergerak tak ikut plan. Suka sangat balik bila jalan mula beratur macam semut. Adoiiiii lah abah......

Yang tenteram semasa raya
Balik kampung yang penuh dengan pokok-pokok hijau, rasa damai. Terutama kat Mela. Rasa nak tinggal menetap kat kampung. Tapi mak dah warning awal-awal. Tak kasi. Kalau ikutkan hati saya, lepas je balik Temerloh, saya nak pecut ke Mela semula tapi semua orang dah buat muka eh-dia-ni-taknak-kerja-ke-esok? kat saya.

Sunday, 20 September 2009

Salam Lebaran

Selamat Menyambut Aidilfitri. Semoga Syawal di sambut dengan penuh kesyukuran dan kemenangan di atas usaha-usaha Ramadan dan diteruskan dengan puasa yang 6.

Saya mohon maaf kalau ada terkasar bahasa, terlanjur bicara sama ada saya sedar atau pun tidak selama berada di alam virtual reality ini.

Memandu atau tidak ke kampung atau ke mana-mana, sila berhati-hati.

STICKY ENTRY. PLEASE SCROLL DOWN FOR NEW ENTRY. THANKS.

Friday, 18 September 2009

Tanya

1. Masih bayi
Eh comelnya budak ni. Bilalah nak besar agaknya? Asyik sesedu je. Orang kata kalau sesedu tu tandanya nak besar. Cariklah sikit tikar mengkuang tu letak kat dahi dia. Nanti hilanglah sesedu tu. Petua orang dulu-dulu. Tak tahu sejauh mana benarnya.

2. Zaman kanak-kanak
Dah pandai berjalan jatuh dah. Lepas ni dah dapat kaki, habislah semua barang dalam rumah. Tak boleh letak bawah. Tak boleh nak hias rumah cantik-cantik. Semua kena letak tempat tinggi. Dinding rumah tak boleh cat warna putih. Kena cat warna hitam sebab diorang jadikan dinding tu macam papan hitam. Conteng sana sini. Terpaksalah jabatan pembangunan dan penyelidikan kilang-kilang cat hasilkan cat yang mudah cucilah, tanpa bau lah, tahan lama lah. Masa ni orang tanya, bilalah nak sekolah ni?

3. Zaman sekolah rendah
Laaa...dah besar. Dah masuk sekolah pun. Dah besar nanti nak jadi apa ni. Kat sekolah dah mula isi borang yang minta kita bagi senarai cita-cita sekurang-kurangnya 3 pilihan (lupalah apa nak borang tu) Masa tu kita senaraikan yang best-best je. Kita lupa yang sekeliling kita ada juga profesion tukang masak, tukang emas, tukang paip dan segala jenis tukang lagi. Masa ni orang akan tanya, lambat lagi ke nak masuk sekolah menengah? Dah besar dah ni. Besar badan je.

4. Zaman sekolah menengah
Masa ni dah disuruh pilih aliran apa kesukaan kita berdasarkan keputusan peperiksaan SRP. Sekarang dipanggil PMR. Kalau ke aliran Sains, tak sedar ada yang kembang kempis hidung bila ada perhimpunan. Macamlah best sangat aliran Sains tu. Ingat senang ke nak kira momentum dengan pita detik dan troli tu. Masa tu ingat macam main tolak-tolak troli je. Langsung tak tau apa tujuannya. Ingat senang ke nak hasilkan NaCO3. Main campur-campur je semua cairan Kimia. Siap berasap-asap lagi. Ingat best ke nak bedah lipas yang sebesar ibu jari tu. Dengan baunya. Terpaksalah pakai sapu tangan nak tutup mulut. Masa dulu tak terfikir pulak nak pakai mask macam yang ada sekarang. Tapi nak cari lipas tu pun satu hal. Cari ceruk mana-mana. Nampak sangat rumah kotor. Kalau rumah bersih, tak bolehlah nak bedah lipas. Takkan nak bedah katak. Eeeiiiiiiiiii....dok le. Daripada katak, lebih baik lipas. Dah habis SPM, orang tanya bila nak masuk universiti?

5. Zaman universiti
Bila dah masuk universiti, tanya kat diri sendiri pulak bilalah nak grad ni. Letih dah rasanya mengukur jalan, naik bukit turun bukit nak pergi ke kelas. Dah penat rasanya nak repeat paper Business Law, Corporate Finance, Taxation dan Management Accounting. Balik-balik mengadap lecturer yang sama. Kalau dapat bodek lecturer takpe jugak. Ini tidak, kalau kita bodek pun, paper kita bukan dia yang tanda. Nuuuu....dihantarnya ke negara Queen Elizabeth.

6. Zaman lepas grad
Bila nak dapat kerja ni? Entahlah. Cari ke tak? Tak. Tak cari macam mana nak dapat? Ingat kerja tu jatuh dari langit? Ye la ye la....cari lah ni. Hello...I am bla bla bla. Calling from bla bla bla. I saw your advertisement in bla bla bla. Can we arrange for an interview bla bla bla. Horeyyy....dapat kerja pertama. Eh McNa, ko buat apa kat sini? Ko pun dapat kerja sini? Oh, ni la surprise yang ko cakap tu ye. Cissss....ko duduk sebelah aku diam-diam.

7. Zaman kerja
Orang tanya lagi. Bila nak pakai kereta? Diorang ingat kereta tu harganya seringgit dua kot eh. Kalau kat Mydin boleh jugak beli 10. Apsal tak tanya terus bila nak beli rumah banglo? Baru-baru kerja, benda yang paling mampu beli ialah handbag kulit. Masa sekolah dulu paling anti dengan handbag. Bila dah kerja, terpaksa. Habis tu, dah segala benda nak letak dalam tu. Dengan payungnya, dengan benda-benda sparenya, dengan entah apa-apa lagilah. Dah beberapa tahun kerja barulah dapat pakai benda beroda 4. Orang lain tak sampai 6 bulan dah pakai kereta sebab mak ayah bantu. Kita kena usaha sendiri. Tiada bantuan FAMA sejak universiti. Usahalah sendiri nak tergolek ke, terlentang ke. Beruntung betul budak-budak sekarang.

8. Zaman anak dara
Laaaaaaa....ni bila nak kahwin ni? Nak tunggu siapa? Nak tunggu matahari terbit sebelah barat? Diorang ingat senang kot eh nak cari. Ingat boleh main sauk je kat tepi jalan. Diorang ingat macam beli kain ela kat Jalan TAR. Diorang tak tahu macam mana susahnya nak cari. Diorang yang senang cari tak akan faham perasaan orang yang susah cari. Sangat subjectif. Diorang tau tak sekarang ni ramai sangat kaum mereka-meraka tu kat penjara. Bukan setakat penjara Sg Buloh tapi kat Alcatraz, Belmarsh dan Serenti. Ni soalan wajib tanya tiap-tiap tahun setiap kali balik beraya.

9. Zaman dah kahwin
Ada lagi orang nak tanya. Soalannya, bila nak dapat anak ni? Jangan tunggu lama-lama. Usia dah semakin lanjut. Diorang ingat anak tu main cetak je kot eh. Kalau boleh fotostet, ada agaknya orang nak buat. Kita tak pernah fikir soalan yang kita tanya tu sensitif pada yang mengalami. Kita yang tak pernah mengalami dapat anak lambat atau tiada anak, tak akan faham perasaan orang yang dapat anak lambat atau tak dapat langsung.

10. Zaman dah tua
Kita ni dah tak lama dah. Ke surau ke masjid je lah kerja kita. Kalau larat sikit, bolehlah berkebun. Dapat juga makan sayur kangkung percuma, lada percuma, serai percuma, daun pandan percuma. Masa ni orang tak tanya secara langsung dah kat kita. Orang tanya dalam hati je: Bilalah agaknya masa dia ni nak sampai....

11. Alam kubur
Dah sampai alam ni, jangan ingat tak kena tanya dah. Kat sinilah tempatnya soalan yang senang tapi ada yang tak boleh jawab. Bukan ke masa kat alam satu lagi dulu aku dah hafal jawapannya. Tak sama ok walau betapa banyaknya kita makan kismis semasa hidup. Habuan kat sini bukan calang-calang. Kalau kat alam satu lagi, tak dapat jawab, boleh abaikan. Kat sini, tak dapat jawab, terimalah azabnya.

Panjang lagi kalau nak sambung ni. Saya buat entry ni sebab saya dah terbayang-bayang dan terkenang-kenang soalan yang ke 8 tu bila saya sampai ke kampung nanti. Saya dah bersedia TANPA jawapan dengan senyuman :-)

SUDOKU III

Saya jeles tengok blog KAWAN saya ni ada game SUDOKU. Leka saya main game tu. Kalau saya letak kat dalam blog saya, alamat saya tak buat kerja lah. Yang buku saya beli tu pun belum habis saya "game-over"kan. Yang kat handphone pun sama.

Terima kasih lah kat KAWAN saya ni sebab buat hari saya "melompat-lompat".

Gloss: Jumpa game SUDOKU macam dapat duit raya sejuta dari langit(!)

Tuesday, 15 September 2009

Resume

*Sambil lambai-lambai tangan ala ala Ratu Dunia* Saya baru timbul dari tempat persembunyian ni. Perjuangan saya, anda, anda dan anda belum selesai lagi kan? Eh…tahun ni kita puasa 29 hari je ye? Saya terkilan belum dapat minum air katira :-( Hehehe gila tak senonoh ayat. Orang terkilan sebab ibadat tak memenuhi piawai ke kan. Tu la, bertapa lagi. Bertapa sampai nak putus fius.

Cuti raya. Tahun ni saya tak peduli dah. Tahun lepas ada la peduli sikit-sikit. Tahun lepas, raya ke-3 saya dah kerja sebab nak simpan cuti punya pasal. Berkorban sebab tak ada orang jaga ofis pun ya. Tahun ni, siapa yang bersuara, memang saya nak bagi se das dua. Kalau tanya lebih-lebih, saya resign hehehe Wohhh….gila kejam. Saya dah mohon cuti dengan tamaknya. Bermula dari 19hb – 27hb. Berapa hari eh? Lupa nak kira. Jap nak kira. 9 hari ok. Apa la nak buat 9 hari tu. Macamlah nak raya sakan. Mengalahkan budak-budak.

Baju raya. Sejak umur saya 18 tahun, saya tak pernah ada baju raya dah. Tu yang rasa nak jadi umur 17 tahun memanjang tu. Kain pun mak atau abah belikan. Saya ingat lagi ada satu tahun tu, mak belikan saya kain ela latarnya warna hitam, bunga warna biru. Punyalah saya anti dengan kain latar warna hitam tu. Saya reject. Mak kata suruh abah belikan yang lain je lah. Bila abah belikan kain ela yang lain, punyalah seronok nak buat baju kurung baru la tahun tu kononnya. Tahun tu saya terpaksa buat muka cemberut pakai baju yang abah beli tu dibuat kurung cekak musang sebab abah belikan kain ela bunga warna merah dan latar warna hitam(!) Hitam jugak. Haaa…padan dengan muka memilih sangat. Sekarang, saya paling suka kain ela berlatarkan warna gelap hehehe. Tu la orang cakap kan, kalau tak suka, jangan benci sangat. Tahun ni, pakai je lah baju kerja tu. Orang kampung bukannya tahu pun yang tu baju kerja kita.

Kasut raya. Kalau beli karang, nampak sangat tak sedar diri dah tua. Pakai je lah kasut yang ada tu. Kasut kerja jugak ahaksss. Si Razlan cakap: “Aiseh senang betul Kak Is ni, raya takyah pening-pening”. Memang takyah pening-pening dik. Kang bertambah singkat hidup.

Biskut raya. Yang ni saya buat dek je sebab saya tak makan biskut raya. Buat apa lah lagi. Tak tahu lah sejak bila tak makan. Kalau makan je, mulalah nak terjeluak balik. Chocolate chips yang saya beli dari Kak Aishah (ni bukan Aishah housemate saya ya) pun buat syarat je. Daripada dengar dia berceramah kat telinga saya, order je la yang paling minimum buat tutup mulut dia. Hikkss…termengumpat sikit ye Kak Aishah. Nanti saya mintak ampun peluk-peluk cium-cium balik 28hb ye (Tokey biskut ni dah start cuti semalam). Biskut tu saya nak buat apa kan? Saya bagi mak je lah. Tapi saya letak tersorok dalam bilik kat rumah sewa saya. Kalau saya lupa tu, ada yang hidang chocolate chips raya haji pulak nanti kang.

Duit raya. Uwaaaa!!!!!!!!! Yang ni sadis je nak cerita. Orang nak tukar duit, awak pun nak tukar duit. Tapi budgetnya tak ada. Kira punya kira, buat sampai ada. Yang ofis saya pulak, peket raya bagi beribu-ribu lemon. Cuba la letak sekali kertas warna ungu barang 10, 20 keping sekali sekala. Semalam saya dah masukkan kertas-kertas tu dalam peket raya masing-masing mengikut warna dan amaun. Wohhh....dalam tak ada-tak ada tu, sakan mengisi peket. Gila awal. Saya rasa kan, by end of Syawal, saya kena keluarkan balik kertas-kertas tu dari peket-peketnya hehehe.

Semua ada perkataan “raya”. Eh…nak cerita jugak ke pasal langsir raya? Hahahaha….

Rendang. Tahun ni macam nak buat eksperimen rendang je hehehe. Bapa-bapa saudara saya semua dah bagi amaran. Balik jangan bawak mulut dan perut je. Bawak sekali badan lembu ke ayam ke. Ok, saya yang menurut perintah. Anak saudara yang baik. Bapa saudara ok. Bukan ibu saudara yang suruh masak ni. Bapa saudara yang lebih nak makan rendang. Ye la kan….diorang puasa penuh. Kang kalau ibu saudara yang suruh masak, ada pulak yang kena balik: “puasa penuh ke yang sibuk nak makan rendang tu” hehehehe. Gurau je ye ibu-ibu saudaraku semua. Tapi, errrr….saya tak pernah masak rendang ni. Boleh tak ngelat guna yang dalam peket-peket tu. Adabi ke, Brahim ke, Seri Aji ke, Nona ke. Uiii…tahu semua, buatnya tak pernah. Yang seramnya, diorang siap cakap; “kakak, tahun ni keme nok rasa awok punya rendang pulok”. Aduhhhh….terpaksalah angguk-angguk geleng-geleng tunduk-tunduk macam tapir kena marah.

Balik kampung. Sebenarnya kan, sepanjang bulan puasa tahun ni, tiap-tiap minggu saya balik kampung. Minggu lepas saya balik kampung, saya ke pekan sari Temerloh (sebenarnya kan saya tak tau ejaan dan sebutan yang sebenar nama pekan ni. Pekan SARI ke pekan SEHARI?). Tak kisahlah kan. Asal bila sebut tu ada ira-iras. Orang faham. Masa mula-mula saya sampai, gerai yang mula-mula tu, makcik tu jual kelapa biji. Saya tak hirau pun kelapa biji tu tapi saya terfikir jugak, siapa nak beli kelapa tu? Bukan ke sekarang orang beli santan je. Lepas saya haruk satu pekan tu (di tangan penuh nasi ulam yang dah siap racik untuk mak, maman untuk mak jugak buat jeruk, gula kabung untuk abah & bunga kunyit untuk mak), kami nak ke kereta nak balik. Aikkk….plinggg!!!! Macam magik pulak. Kelapa yang bertimbun-timbun tu semua habis(!) Masa tu saya tengok ramai sangat orang kerumun ada satu van ni yang belakangnya penuh dengan kelapa biji(!) Masing-masing pilih kelapa masuk dalam guni. Hairan kejap saya. Kalau kat KL orang berebut santan. Kat Temerloh orang berebut kelapa biji. Rajin betul diorang ni nak belah kelapa tu, tapis air kelapa, parut, perah, tapis santan, perah lagi. Issskkk....idok le.

Kubur. Lepas balik dari pekan sari tadi, kami semua ke kubur. Dah janji dengan semua bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara (gila comel panggil diorang bapa & ibu saudara) serta sepupu sepapat nak buat tahlil sikit di kubur pagi tu. Ni keluarga sebelah abah kat Kg Paya Kecik. Orang kampung situ selalunya buat tahlil kat kubur pada Ramadan ke-28. Tapi Ramadan ke-28 kan ke hari Jumaat. Mana la sempat kami-kami yang dok KL ni nak balik. Jadinya, kami buatlah minggu yang baru ni. Kebetulan sebelah malamnya hujan. Basah habis lah segala rumput dan tanah. Kasut macam baru balik bendang je rupanya. Nyamuk-nyamuk bukan main suka lagi sebab “makanan” datang menyerah diri kat dia. Pik Tang saya cakap, setiap kali dia datang ke kubur tu, nyamuk-nyamuk tu paling suka kat dia sebab darah dia “manis”. Saya tanya, umur dah dekat 50 pun manis lagi? Dia jawab, abis…dah ada kencing manis. Hahahaha. Ahhh…tak kira. Redah jugak. Lapik dengan kertas surat khabar tebal-tebal. Duduk la situ sampai lebam dan kebas baca Yaasin dan tahlil sekali. Bila ubat nyamuk dah pasang beberapa minit, baru kurang sikit nyamuk. Angin je rasa kena gigit.

Dalam banyak-banyak tu, paling best pergi pekan sari. Saya kalau ke pasar, teruja habis tengok sayur-sayur dan barang-barang basah yang lain. Lagi satu yang best, peniaga-peniaga ni macam saudara mara kita je semuanya. Macam dah kenal lama. Punya la ramah bersembang. Pak Teh saya, beli tempoyak kat sorang makcik ni. Dia cakap dia nak masak ikan patin yang dia baru beli. Lepas dah beli tempoyak, tiba-tiba makcik tu hulur daun kesum. Dia tanya makcik tu nak masak tempoyak kena letak daun kesum ke? Errrr…Pak Teh ni berpuluh kali masak ikan patin, dia tak pernah letak daun kesum ke? Makcik tu cakap, letak lagi sedap. Tak apa, saya bagi je percuma. Dapat la percuma seikat daun kesum. Saya jeling plastik daun kesum dia. Ada beberapa ikat. Nak jual pun sempat lagi bagi percuma. Terima kasih makcik ye. Kalau jual tu, dapat jugak dia seringgit. Kebanyakan barang harganya seringgit. Itu seringgit ini seringgit. Kat KL apa benda yang jual seringgit?

Wednesday, 9 September 2009

Respite

Alya yang add gambar hihihi. Jangan bagitahu Mak Long.

Saya berehat buat seketika tetapi saya masih menziarahi blog-blog anda semua dan tinggalkan jejak, insya-Allah.

Kepada anda yang saya TIDAK tinggalkan jejak, saya mohon maaf sebab mungkin PC saya yang banyak kekurangan. Saya tetap baca posting-posting anda.

Jumpa lagi ketika Aidilfitri hampir tiba.


Tuesday, 8 September 2009

Fridge


Source: www.cartoonstock.com. Thank you.

I have stocked-up Aishah's fridge again :-) It started with Sotong Percik & Kailan Goreng yesterday.

Gloss: 1. Kailan Goreng - bawang putih, bawang merah, udang, kailan, air dan garam. Siap.

2. Sotong Percik - Sumbat sotong dgn campuran kentang + ayam kisar + bawang kecil + daun bawang + daun sup + lada sulah + garam. Jangan sumbat penuh sangat sebab kalau dah bakar sotong tu kecut dan isi dia terkeluar. Cucuk hujung sotong dengan lidi supaya "isi perut" dia tak terkeluar terlalu banyak. Bakar sotong dalam oven sampai masak. Tak masak, tak boleh makan. Kuah percik - kunyit hidup + halia + daun kesum + daun kunyit + belacan + cili besar + cili kering kisar + serai + bawang putih + bawang merah + garam + santan. Masak sampai pekat. Siram atas sotong yang dah masak dan dikelar-kelar. Siap.

Gloss II: Sengaja bagi resepi macam tu supaya nampak tak pandai masak langsung dan otak tak berapa betul huahuahua!!!!

Gloss III: Alah el...peduli apa orang nak kata.

Monday, 7 September 2009

Lalalalalala

Sumber: rasamalaysia.com. Terima kasih.
Lala

Saya dah pecahkan rekod sendiri. Minggu lepas, hari Jumaat, saya ke pasar Ramadan berdekatan rumah. Puncanya sebab saya malas sangat masak sebab saya penat kerja. Hari jumaat tu la diorang suruh buat itu ini macam tak ada minggu depan. Bukan hari tu je. Hari jumaat sebelum-sebelum tu pun macam tu. Hari jumaat la hari terbaik untuk balik awal. Malah ofis saya pun tutup 4.45 pm setiap jumaat. Tapi saya kadang-kadang stay sampai jam 8:00 pm. Ehhh…terlebih cerita pulak.

Ok sambung cerita malas masak. Saya buntu nak masak apa pun ya jugak. Padahal dalam peti ais ada ikan dan daging. Hati teringin nak makan roti john konon-kononnya apsal nama dia tak roti Michael ke, David ke. Senang-senang je John dapat nama. Daripada Chenor hari tu lagi teringin nak makan roti john. Dalam banyak-banyak makanan, kenapa la roti john tu pulak yang tekak ni nak makan. Ramainya orang jual roti john. Mana satu nak beli ni. Saya taknak yang dah siap bungkus tu. Saya nak yang baru masak dan dibungkus depan mata saya. Lepas tu saya nak yang pendek je. Saya taknak yang panjang tu. Tak larat saya nak makan sorang. Demand la pulak. Tak ada siapa la nak layan engkau la el.

Akhirnya, saya terpaksa redha - beli yang siap bungkus. Dapat yang pendek. Dalam kepala saya terus ingat nak balik. Taknak beli apa-apa dah sebab dah set dalam kepala nak beli roti john je. Tapi kaki saya terus melangkah ke minimarket berdekatan. Saya beli L.A.L.A. mentah. Akhirnya, masak jugak saya(!)

Gloss: Lala goreng cili. Bawang putih, bawang merah, cili kering kisar, telur, kicap manis, garam dan lala. Siap. Bijak tak bagi resepi macam ni? Hehehehe. Masak ikut turutan bahan-bahan tu. Kacau semua sekali. Beres. Takkan tak boleh siap dalam masa 1 jam kan? Kalau tak boleh siap, tu goreng lala ke atau ber lalalalalala tu..........

Nuzul Qur'an

Orang dan kereta tu tiada kena mengena dengan saya.

Ramadan yang ke-17. Sekejapnya rasa. Ingatkan ada lagi 2 minggu. Lagi beberapa hari akan masuk 10 Ramadan terakhir. Patutlah mercun berdentum sana sini. Kadang-kadang bunyinya macam kat sebelah tingkap bilik je. Punyalah kuat. Kat mana diorang dapat mercun tu tak tau lah. Katanya diharamkan. Tapi tak ada mercun tak rasa pulak macam bulan puasa, dekat-dekat nak raya.

$$$$$$$$$$

Nuzul Al-Quran. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq yang bermaksud:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

$$$$$$$$$$

Ada pulak kawan yang lahir pada tarikh 17 Ramadan. Sahur tadi wish dia birthday. Dia reply: "Mengkasih. Aku kat kg. Lum keje lagi". Wahhh....nampaknya from Taiping with love. Rindunya kat Kg Pinang. Teringat masa naik ke Bukit Maxwell.

Didoakan semoga lailatul qadar menjadi milik kita, insya-Allah.

Gloss: Huarggghh....kenapa la Wilayah tak cuti. Ngantuk niiiii......

Friday, 4 September 2009

Hak Kita Milik Orang Lain

Beberapa hari lepas saya beli stok bulanan ini,

ini,
dan ini. Semuanya diletakkan dalam satu plastik.

Sebelum balik, macam biasa saya singgah ke kedai buku, MPH untuk mencari novel-novel yang belum saya baca. Lama juga saya mencari novel. Kejap duduk. Kejap berdiri. Plastik barang-barang yang kat atas tu, kejap saya jinjit. Kejap saya letak atas lantai. Akhirnya, saya dapat dua buah novel-novel ini.



Saya langsung tak rasa apa-apa bila saya dah sampai rumah. Sampailah keesokan harinya baru saya tersedar yang barang-barang dalam plastik yang kat atas tu semua T.E.R.T.I.N.G.G.A.L.



Nota EoP: Nampak sangat dah tua....hiksss. Masalahnya saya tak tau saya tinggalkan kat mana. Tempat terakhir saya pergi adalah kedai buku MPH tu. Esoknya bila saya ke sana semula, diorang tak jumpa pun barang-barang saya tu. Terpaksa saya beli 1 set lagi. Kenapa mesti jadi time nak dekat-dekat raya. Oh, mungkin ada sebahagian daripada hak saya adalah milik orang lain.

Thursday, 3 September 2009

Tiada Pilihan

Gambar: Ihsan Arkib The Star

Beberapa hari lepas saya terdengar perbualan salah seorang pekerja Rapid KL dengan salah seorang penumpang di dalam LRT. Mungkin mereka ni kenal sesama sendiri kot. Perbualannya lebih kurang begini:

Pekerja RAPID KL: Sekarang ni dah nak hujung-hujung tahun ni kena jaga sikit la perkhidmatan. Takut tak dapat bonus. Tak boleh silap.

Penumpang: Oh...akak jaga stesen ni ke?

The rests are history.

Petang semalam, perkhidmatan LRT tergendala dari stesen Dang Wangi hingga ke stesen Ampang Park. Jam 8:00 pm baru semuanya berjalan dengan lancar. Dan jam 8:00 pm juga saya baru dapat naik LRT dan balik ke rumah.

Saya percaya hari ini Contact Centre RAPID KL dihujani surat-surat dan panggilan-panggilan komplen berkenaan kejadian semalam. Semalam salah seorang penumpang dah bising-bising kat platform.

Kerosakan teknikal tak mengira waktu tapi masalahnya kenapa mesti berlaku di bulan puasa dan dekat-dekat waktu nak berbuka puasa?

SAYA DOAKAN PEKERJA-PEKERJA RAPID KL DAPAT BONUS YANG BANYAK TAHUN INI.

p/s: Komplen setinggi gunung, seluas lautan pun, orang tetap guna perkhidmatan LRT juga. Nak buat lagu mana lagi? Ada pilihan?
INI ADALAH ENTRY SAYA YANG KE-100

Wednesday, 2 September 2009

SUDOKU II

Semalam saya beli ni.

Akhirnya dapat jugak saya beli dengan harga yang berpatutan - RM13.90. Malaysian version. Overseas version harga puluh-puluh. Tak mampu :P

Saya dah cop mohor dan rasmikan malam tadi.

Ternyata game Sudoku berbentuk buku lebih susah kalau nak dibandingkan dengan game Sudoku dalam handphone. Buktinya, gentle stage pun saya ambil masa lebih dari 20 minit. Sedangkan kalau game dalam handphone, gentle stage boleh siap dalam masa 1 minit je. Yang saya bulat-bulatkan tu adalah kesalahan yang saya buat (click to enlarge). Belum siap sepenuhnya. Guna buku, perlukan pensil dan pemadam sebagai rakan karib. Guna handphone, ada button 'check' sama ada nombor-nombor yang kita isi tu betul atau salah. Kalau guna buku, tak boleh check. Salah, kena padam. Check jawapan kat belakang, tu kira mengelat. Tu lebih baik tak payah buat.

Buat dalam LRT. Terhuyung-hayang tulis nombor-nombor tu.

Dilema? Delima?

Dilema orang tak pernah masuk dapur dulu-dulu:
- Wehhh...keras gila kepala ikan sepat ni. Susahnya nak siang.

Dilema tinggal sebelah masjid:
- Takkan tengok je orang pergi tarawih. Tak reti-reti.

Dilema orang modified kereta:
- Rugi kalau modified kereta tapi bawak macam siput. Modified bukan kasi laju. Harap bunyi je kebabom.

Dilema beli kuih kat pasar ramadan:
- Mula-mula letak tepung pelita dalam bekas polisterin dengan lemah gemalainya elok je tersusun. Sampai rumah, bukan setakat tepung, dengan pelita-pelita sekali terbarai.

Dilema orang balik kampung:
- Kakak, kalau pergi pekan sari, kirim asam keping RM5 ye.
p/s: gila jauh kirim asam keping....dari KL ke Temerloh.

Dilema orang tak pernah minum air katira:
- Nampak sedapnya lah air katira tu. Kaler feveret lagi. Apa la rasanya. Nak beli, Pak Teh dah kasi signal geleng-geleng kepala....isskkk.
p/s: Pasar ramadan Kg Awah, Chenor. Pecah rekod. Akhirnya pergi jugak ke pasar ramadan.

Dilema dapat bapa saudara yang laju macam kilat:
- Kakak, jom balik Pahang. Siap la cepat. Pak Teh datang dalam 10-15 minit lagi.
p/s: Dalam kepala orang yang di hujung talian sana: Adoyaiii..........kita ni baru lepas basuh kain, kemas rumah(!)

Dilema hantu ikan patin:
- Kakak, habiskanlah ikan patin tu. Orang tu buat cair sikit.
p/s: Dah la suruh aku habiskan, lepas tu bagi komen macam tak sedap pulak. Yang tak sedap tu la disuruhnya jadi DBKL kasi perabih.


Tuesday, 1 September 2009

Ini Kerja Korang Ye....

Hari itu saya cuma nak beli cili padi dan limau nipis je. Nak singgah kedai lepas balik kerja, takut lambat. Lalu saya ke Mercato di Pavilion gila kaya beli cili padi dengan limau nipis je tu kat Pavilion. Errr...sebab harga dia tak sampai RM2, saya paksa jugak beli. Kebetulan bos saya pun nak beli barang-barang buat biskut. Dia nak beli gula terutamanya.

Yang bestnya, pusing keliling cari gula tak ada. Saya tanya kat jurujual kat situ, kat mana diorang letak gula. Dia pun tunjukkan kami tempat diorang letak gula. Dari jauh lagi dah nampak tempat tu K.O.S.O.N.G.

Mata saya pun melilau mana la tahu kot-kot tersilap pandang. Melilau punya melilau saya pandang ke rak ketiga, rak yang paling atas, saya ternampak macam bungkusan yang saya kenal. Saya suruh diorang semua ke tepi sebab saya nak jengket dan capai bungkusan tu. Saya nak tengok betul tak apa yang saya sangka. Memang sah(!).

G.U.L.A.

Saya keluarkan sebungkus. Lepas tu saya keluarkan sebungkus lagi. Jurujual tu terus ambil stool untuk panjat nak tengok ada lagi tak gula kat situ. Memang ada. Lagi sebungkus.

Wooohhhhhhhhhhh.....sorok gula ye!!!!!