Wednesday, 29 April 2009

Inflasi Di Zimbabwe

Saya dapat artikel ini melalui email. Ianya menarik perhatian saya. Saya ingin kongsi bersama anda. Mungkin ada yang belum pernah baca. Mungkin ramai yang sudah baca. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran artikel ini kerana tiada bukti sahih tetapi ia tidaklah mustahil. Cuba bayangkan andainya ia benar-benar berlaku di mana-mana di dunia ini. Ketika saya belajar subjek Ekonomi dulu saya tidak pernah terfikir tentang inflasi yang begitu tinggi seperti ini. Ketika itu, inflasi naik sebanyak 0.02% pun sudah membimbangkan saya. Bimbang andainya keluarnya saya nanti, susah untuk mencari pekerjaan.

Ya, wang pecahan 500 juta dollar Zimbabwe yang baru saja dicetak pada Mei 2008 ini hanya bernilai sekitar 2 dollar amerika atau hanya cukup untuk sekali makan saja.

Zimbabwe ketika ini pemegang rekod inflasi terbesar di dunia iaitu 2,200,000% (2.2 juta persen!). Parahnya, harga-harga melambung begitu cepat dengan hanya dalam beberapa minit sahaja, jadi tak hairan jika peniaga-peniaga di Zimbabwe begitu sibuk mengganti label harga barangan mereka hampir setiap minit!

Pada tanggal 20 Julai 2008 ini bank Zimbabwe juga telah mengeluarkan pecahan wang sebesar 100 Juta Dollar! yang merupakan rekod pecahan wang dengan nominal terbesar di dunia....!!! Zimbabwe memang memegang banyak rekod dunia, tapi sayang semua rekod itu tidak ada yang membanggakan.

Harga-harga barang di pasar Zimbabwe

Nota EoP: Saya tidak pasti sama ada huruf "M" di tanda harga itu bermaksud million atau mempunyai maksud lain. Nak merasa jadi "jutawan", bolehlah ke sana.


Nota EoP: Harga semua main ribu-ribu. Nampak macam kaya je beli barang dalam dominasi ribu-ribu. Beli telur macam nak beli emas. Tebalnya duit sampai kena ikat dengan getah.

Wang yg diperlukan untuk makan sekeluarga di kedai

Nota EoP: Bayangkan, hendak makan bersama keluarga di kedai, kita perlu membawa wang sebanyak ini. Kena bawa kereta. Kalau tiada kereta?


"Pengemis" yg boleh dianggap "kaya" sebab dapat juta-juta setiap hari...hihihi


Kalau susah nak bawak duit banyak-banyak tukarkan ke USD...dapat sekeping je

Kilang buat wallet dan handbag tepaksa tutup bisnes sebab orang tak guna lagi dah....

Cuba bayangkan kalaulah semua ini berlaku kepada kita di sini. Senario yang kita fikirkan akan jadi panjang dan tidak akan habis. Nauzubillah. Saya sangat bersyukur masih berada di sini.

Wednesday, 22 April 2009

Ingat Dah Betul

Saya baru saja mendaftarkan diri ke kelas tilawah di universiti yang berdekatan dengan rumah saya. Ramai juga yang datang mendaftar pada hari itu. Ramai yang sebaya dengan ibu bapa saya dan saya bukanlah yang paling muda mendaftar. Pendaftaran memakan masa yang tidak lama.

Saya ambil kelas paling asas kerana saya percaya untuk mencapai tahap tertinggi, saya mesti bermula dari bawah walaupun saya pernah belajar ilmu itu berpuluh-puluh tahun lalu. Sesiapa yang mahu terus ke kelas tajwid, seseorang itu hendaklah melalui fasa interviu yang diadakan pada hari itu juga.

Memasuki kelas pertama seperti memasuki kelas di dalam cerita P. Ramlee. Saya sangkakan selama ini huruf-huruf asas yang saya sebut sejak kecil itu sudah betul sebutannya di mulut saya. Saya silap kerana di dalam banyak-banyak huruf itu, menyebut huruf "ain" adalah amat susah bagi saya. Tempat kena betul. Bukan sebutan "ain" yang macam selalu kita sebut itu. Bukan di hidung kata ustaz yang berasal dari Arab itu.

Saya ingat mudah untuk menyebut setiap huruf asas Al-Quran. Susah rupanya. Saya ingat saya dah betul menyebutnya. Salah rupanya. Saya ingat saya dah pandai membaca Al-Quran dengan tajwid yang asas. Belum lagi rupanya. Saya tidak silap memilih kelas asas ini. Buat pertama kalinya saya betul.

Monday, 20 April 2009

Mana Dia?

Tengah menonton Channel 703, tiba-tiba ada seseorang ketuk pintu. Saya intai di cermin kecil. Saya tidak kenal siapa lelaki itu tetapi memakai tag di leher. Saya capai tudung dan buka pintu tanpa membuka jeriji besi. Dia perkenalkan diri. Dia datang untuk memeriksa tong gas, dapur gas dan soket. Dia minta kebenaran untuk masuk setelah saya tanya dari mana. Saya bagitahu dia yang saya cuma seorang di rumah kerana Haiza balik kampung dan Aishah ke dewan peperiksaan. Dia beristighfar dengan mengatakan niatnya datang adalah untuk menjalankan tugas. Dia telah periksa hampir semua rumah di kawasan saya. Jangan salahkan saya tidak percayakan dia. Saya tidak yakin kerana dia bukan dari mana-mana agensi yang biasa buat kerja-kerja ini. Saya menjawab: "Saya bagitau saya sorang kat rumah bukan apa, sebagai perempuan saya kena berhati-hati". Setelah berbalas soalan dan jawapan, saya menyuruh dia periksa sendiri di dapur. Saya capai telefon bimbit lalu keluar dari rumah dan tunggu di depan pintu berdekatan rumah jiran. Tiba-tiba:

Lelaki Itu: Kak, mana kepala gas ni?

-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
Saya lupa yang kami pakai dapur elektrik(!)

Saturday, 18 April 2009

Sembang Dengan Diari 6 - Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Salam diari.

Dengan izin.

Aku terima sms dari J. Desparate sangat nak jumpa. Heran jugak. Kenapa pulak. Aku dah la tengah bz. Nak jumpa time lunch pulak tu. Lagi la aku tak boleh layan. Dah tak dapat jumpa waktu lunch, nak jumpa lepas aku balik keje. Tak tau orang penat ke? Aku suruh dia bagitau jugak melalui sms apahalnya yang desparate sangat nak jumpa aku. Dia cakap, kalau dia bagitahu kat sms, aku tak nampak betapa seriusnya dia dengan hal ni. Dia cakap ni penentu hidup dia, aku je yang dia percaya, yang boleh tolong dia. Aku balas balik, kalau percaya kat aku, bagitau je la kat sms. Nape nak kena berahsia sangat.

Dia cakap dia nak buat bisnes. Dia dah taknak jadi J yang dulu yang suka joli, abiskan duit dan buang masa. Sekarang semua duit ASB dia dah gunakan untuk buat modal tapi dia tak puas hati. Dia nak jadi franchisee. Untuk tu, dia mintak aku tolong buatkan loan bank untuk dia. Dia sanggup ambik risiko yang besar dan dia nampak aku yang boleh tolong dia. Dia akan buat satu agreement utk bertanggungjwb atas segala utang bank termasuk interestnya sekali. Dia tak boleh buat loan sebab dia takde pekerjaan tetap. Dia kata dia bukan masuk skim cepat kaya. Dia cuma nak jadi businesswoman. Dia cakap dia komited dengan apa yang dia buat.

Memang tekanan darah aku naik pasal ni. Sebabnya?

1. Aku ingat dia nak mintak tolong buat loan tu, nak mintak tolong check kan kat bank procedures macam mana nak buat loan bank. Rupanya dia suruh aku yang buat loan tu. Atas nama aku(!). Aku yang ada pekerjaan tetap pun tak pernah seumur hidup buat loan dengan bank. Apa jenis loan pun. Macam mana dia yang masih student tu sangat berani. Berani tu sifat yang bagus tapi dah fikir panjang ke?

2. Aku bukan sesiapa dengan dia. Kenapa aku? Mana pegi family dia? Even aku dengan McNa sekalipun, tak pernah aku terfikir nak suruh McNa buat loan untuk aku walaupun aku dengan dia adalah kawan baik sangat-sangat. Inikan pulak si J ni yang hanya aku kenal di company lama, itupun dia buat praktikal kat situ.

3. Nak suruh aku buat loan, tapi bisnesnya nak rahsia dengan aku. Kalau dia bagitau bisnesnya pun, jawapan aku tetap NO. Mungkin dia ingat lepas dia dah berjaya nanti baru dia nak bagitahu aku kot. Itu kalau berjaya. Kalau tak? Aku tau orang-orang bisnes kat luar sana akan marah dengan aku dengan cara pemikiran aku ni. Aku bukan tak suka dia nak buat bisnes tu tapi aku kurang setuju cara dia untuk memulakan bisnes tu.

4. Dia masih student, apa la salahnya habiskan dulu degree tu. Dah grad cari keje. Sambil keje nanti, sambil buat bisnes. Dah nampak bisnes stabil sikit, baru benti keje. Dah benti keje, tumpukan bisnes supaya profit meningkat. Dah meningkat profit baru la buat kertas keje untuk apply loan bank. Bank pun mungkin boleh consider. Dah ada kertas keje nipis pun baru la boleh panjang langkah. Ini tak, suruh aku yang buat loan. Kalau tak menjadi, tak ke aku yang menanggung. A piece of paper called agreement, is nothing to me(!). I just do not trust her. Pardon my language.

5. Tak salah berniaga masa belajar. Ramai yang buat macam tu. Ramai. Even blogger yang aku kenal pun buat bisnes masa belajar. Takde salahnya. Sangat bagus usaha tu. Tapi yang buat tu takde la sampai kena suruh orang lain yang buat loan utk dia. Kalau family dia takpe la. Ni aku takde kena mengena dgn dia pun. Aku rasa ramai je yang berjaya dgn bisnes kecik2 masa belajar. Aku tak rasa yang dah jadi jutawan skrg pun suruh org lain yang bukan darah daging dia utk buat loan bank utk dijadikan modal. Kalau aku ni orang kaya lain cerita. Mungkin aku bagi pinjam $ aku je. Sekarang, aku bukan taknak tolong tapi aku bukan di dalam capacity untuk membantu.

6. Dia ni yang aku kenal, budak baik. Sangat baik especially menjaga agama. Tapi cara dia tu yang aku pertikaikan. Kalau dia berjaya one day, alhamdulillah. But, I definitely do not want to involve at this initial stage. Bukan aku nak demotivate dia. Niat dia sangat bagus tapi matlamat dia untuk dapatkan modal semudah itu, tak menghalalkan cara dgn menyuruh org lain buat loan bagi pihak dia. Dia cakap dia mintak tolong dengan cara tu atas nasihat orang lain yang berjaya dengan cara itu. Dik, come on ok. Takde bisnes yang berjaya dengan cara yang paling mudah.

7. Mcm mana dia boleh ckp dia komited apa yang dia buat? Sedangkan sekarang tengah belajar dapat subjek susah pun, dah lemah semangat. Kalau dah masa belajar ni dah lemah semangat, kat luar sana, dunia bisnes yang luas tu, boleh tahan ke? Ambik course yang berkaitan bisnes dah elok dah. Kalau kuatkan semangat untuk excel dlm course bisnes tu sebagai modal pengetahuan untuk memulakan bisnes, rasanya tu lebih afdal. Abiskan dulu degree tu. Kenapa tak sabar sangat? Macam seseorang cakap, macam mana nak buat bisnes kalau takde knowledge?

Hmmmm.......sakit kepala aku.

Friday, 17 April 2009

Cicak

Saya baru saja mempunyai masa luang untuk mengemas laci baju dan tudung saya. Setelah selesai, saya menutup laci dengan hati yang lapang sebab setelah sekian lama saya hendak mengemasnya, barulah tercapai. Ketika menutup laci tersebut tiada apa-apa yang aneh berlaku.

Ketika hendak solat, saya ternampak ada sesuatu terlekat di laci tersebut. Saya buat tidak tahu saja. Di dalam hati berkata mungkin serpihan kayu laci itu. Tetapi hati tertanya-tanya juga, tiada pula bunyi seperti kayu laci pecah sehingga jadi serpihan ketika saya menutup laci tempoh hari. Saya membiarkannya beberapa hari.

Semakin hari saya rasa benda itu semakin mengganggu penglihatan saya terutama ketika saya solat. Selepas solat saya cuba mengambil benda tersebut. Ketika saya memegangnya, saya perhatikan betul-betul. Hah???? Ada tulang? Makkkkkkk.....C.I.C.A.K!!!!!

p/s: Satu-satunya haiwan rumah yang sangat saya takut. Saya tidak akan dapat tidur sekiranya saya nampak cicak berada di siling bilik saya. Saya akan pastikan ia keluar dari bilik saya dengan mata kepala saya sendiri. Antara cicak dewasa dan anak cicak, anak cicaklah yang paling susah untuk dihalau keluar. Sebab? Ia masih kecil. Ia masih belum tahu cara menyelamatkan diri jika diserang musuh. Ia akan lari lintang pukang tanpa arah. Tidak tahu ke mana hendak tuju. Berbeza dengan cicak dewasa, kita bergerak sikit sahaja, ia sudah lari ke tempat yang tidak perlu kita betul-betul pastikan ia telah tiada. Anak cicak pula, ia akan lari ke tempat yang boleh buat kita menangis untuk menghalaunya bagi memastikan ia benar-benar telah lari. Contohnya, ia akan jatuh ke atas tilam dan lari ke bawah bantal atau tilam(!). Atau ia lari ke tempat-tempat yang susah untuk kita halau. Saya pernah demam kerana tidak cukup tidur semata-mata kerana saya tidak jumpa anak cicak yang telah lari ke bawah tilam saya, untuk saya halau keluar.

p/s II: Takut cicak tapi tahu pula tabiat cicak-cicak ni hehehehehe..........

Thursday, 16 April 2009

Karbala dan Pengalaman Ketika Membacanya


Saya baru habis baca Karbala karya Faisal Tehrani. Secara keseluruhannya, novel ini mengisahkan pembunuhan cucunda Rasulullah, Saidina Hussein di Karbala. Apa yang saya faham dari novel ini, selepas Rasulullah wafat, masyarakat Islam tidak sukakan kepimpinan Yazid bin Mu'awiyah dan mereka mahukan Saidina Hussein sebagai khalifah yang baru sehingga membawa kepada pembunuhan kejam Saidina Hussein di Karbala.

Ketika saya bergelumang dengan novel ini saya membawanya ke mana-mana saya pergi di dalam beg tangan. Saya cuma membacanya jika saya perlu manfaatkan masa ketika itu terutama sekali ketika menunggu LRT, ketika di dalam LRT dan ketika menunggu Aishah.

Pengalaman saya ketika membaca novel ini?

Pengalaman pertama. Berlaku di dalam LRT. Kebetulan saya duduk bersebelahan dengan seorang yang berkulit hitam. Saya rasa dia pelajar UIA. Dia menegur saya novel apa yang saya baca. Mungkin dia intai apa yang saya baca dan ternampak banyak perkataan Rasulullah dan Imam Husein lalu menegur saya tentang novel itu. Saya tidak banyak menjawab, cuma menjawab “Karbala”. Saya sebenarnya melarang diri saya dari terus berbual. Sampai di stesen tempat saya turun, saya terus menuju ke rumah. Saya terdengar dia memanggil saya. Semakin dia panggil semakin saya percepatkan langkah saya. Saya takut(!). Dia memang pelajar UIA memandangkan dia turun di stesen yang sama dengan saya.

Pengalaman kedua. Di luar sana hujan lebat ketika saya membaca novel ini di dalam LRT sambil berdiri di bahagian tengah LRT. Tiba-tiba air hujan menitik ke atas novel saya. LRT bocor? Aduhhh……terasa macam hidup zaman Flintstone(!).

Friday, 3 April 2009

Tikus

Beberapa bulan yang lalu rumah sewa saya diserang tikus. Bukan banyak pun. Dua ekor saja. Tapi sudah cukup untuk memporak-perandakan dapur saya. Setiap hari ada saja benda yang dia makan. Apa yang tidak dimakan. Tiada makanan, bekas plastik pun cukup untuk dia makan. Habis kacang tanah saya dimakan. Niat untuk memasak nasi lemak terpaksa saya kuburkan sebelum terkuburnya tikus-tikus itu. Kami tidak lagi membiarkan makanan di dapur.
Kami membeli racun tikus jenis serbuk berwarna kelabu gelap sebagai langkah terakhir setelah berbagai-bagai jenis racun Aishah beli. Dia yang paling kuat menjerit jika terserempak dengan tikus. Masalahnya, dia seorang saja yang selalu terserempak. Saya dengan Haiza tidak pernah pula. Jadi, dialah orang yang paling prihatin tentang mengnyahkan tikus-tikus itu. Setelah projek "makanan" tikus siap, saya meletakkan makanan itu di bawah sinki. Beberapa hari tiada tanda-tanda makanan itu disentuh.

Pada hari itu, saya MC. Semasa saya ke dapur saya ternampak dengan seekor tikus sedang duduk diam di tepi penyapu. Saya hendak mengganggunya tetapi bimbang dia akan lari ke dalam bilik tidur salah seorang dari kami sebab masing-masing pergi kerja tidak tutup pintu bilik. Saya biarkan saja dia diam di situ. Selepas beberapa jam saya menghendap semula. Dia masih di situ. Sudah matikah tikus itu? Saya biarkan lagi. Beberapa jam kemudian, saya lihat dia sudah ke tepi beranda dapur. Tinggal nyawa-nyawa ikan. Disebabkan tahu yang sahabatnya sedang nazak, muncul lagi seekor bermain-main di tepi mesin basuh berdekatan bilik air, mungkin untuk menyelamatkan kawannya. Masing-masing sebenarnya dalam keadaan yang amat lemah sebab beberapa lama kemudian mereka menghembuskan nafaskan yang terakhir. Nasib baik dia pergi depan mata. Kalau tersembunyi, alangkah susahnya untuk membersihkan.

Manalah tahu yang racun jenis itu yang paling mujarab untuk mengnyahkan mereka. Kalau tahu sudah lama kami beli sejak dari hari pertama tikus-tikus itu menyerang. Kalau tidak, tidak payahlah isytiharkan perang berminggu-minggu dengan tikus-tikus itu. Hmmmm......
Betul ke orang kata rumah yang ada tikus, ada jin yang tinggal? Wallahu'alam.

Wednesday, 1 April 2009

Bukan Kena Bayar

Saya ke pejabat pos Taman Setiawangsa pada hari sabtu bersama adik perempuan saya yang pulang bercuti. Orang tidak ramai. Saya nombor 7. Saya ke kaunter setelah nombor saya tiba. Seorang wanita mengendalikan kaunter itu. Sangat cantik di mata saya. Tiada sebaris senyuman lahir diwajahnya menyebabkan kecantikan itu telah ternoda. Masam semasam masamnya. Saya berbisik (dibaca: mengumpat) kepada adik saya: "Masamnya. This kind of person cannot be seated as frontliners". Adik saya mengiyakan saja.

Mungkin terdengar percakapan kami walaupun berbisik, dia mula tersenyum sikit. Biarpun sikit, sudah cukup untuk menyerlahkan kemanisan wajahnya. Yang penting pelanggan berhati senang berurusan dengan orang-orang seperti ini.

Rugi ke kalau kita senyum? Bukan kena bayar pun(!)