Thursday, 30 July 2009

Saya Kehilangan

2 minggu lepas saya dan keluarga menghadiri majlis nikah anak sepupu saya di Triang. Saya ingat hanya kenduri bertunang. Rupanya kenduri nikah sekali. Salah saya juga sebab tidak bertanya lanjut pada mak akibat daripada mulut pendiam sangat tidak suka bertanya itu ini.

Kenduri kahwin sebelah tengaharinya menyaksikan majlis tahlil pula pada sebelah malamnya. Ketika menulis entry ini airmata tiba-tiba mengalir.


Kakak kepada mak saya, iaitu Mak Teh saya telah pergi selama-lamanya. Mak Teh memang selalu sakit-sakit sejak akhir-akhir ini tapi tidak sampai terbaring. Tidak di sangka berpecahnya kami pada petang Ahad itu menuju destinasi masing-masing adalah pertemuan terakhir dengan Mak Teh. Destinasi kami - saya dan keluarga ke Kuala Lumpur. Abg Mi - suami Kak Nah - ke Kuala Lumpur juga untuk menghadiri kursus.
Mak Teh dan Kak Nah ke Mela. Kak Yah dan keluarga ke Bentong. Kami berpecah kira-kira jam 4 pm. Kejadian itu berlaku jam 5.15 pm. Kami sampai di Kuala Lumpur jam 7 pm dan kami terima berita itu jam 9.30 pm. Ketika kejadian itu berlaku jam 5.15 pm kami masih berada di dalam negeri Pahang, singgah rumah Pak Cek saya di Temerloh - adik kepada abah saya.

Mak Teh terlibat di dalam kemalangan bersama anak perempuannya - Kak Nah - sepupu saya. Kak Nah selamat walaupun luka-luka. Kak Nah kata dia tidak berlanggar dengan sesiapa. Dia hilang kawalan lalu terlanggar tiang lampu. Bagaimana dia hilang kawalan dia sendiri tidak tahu. Saya sendiri tidak percaya kalau-kalau dia memandu laju sebab dia bukan orang yang sebegitu. Tiang lampu menghempap kereta. Mak Teh tercampak keluar. Kak Nah yang tersepit di kerusi pemandu terpaksa dikeluarkan oleh bomba. Kedua-duanya sempat di bawa ke hospital. Menangis-nangis Kak Nah meminta maaf daripada Mak Teh. Sebaik saja Mak Teh berkata "Mak maafkan", Mak Teh pergi buat selama-lamanya. Doktor kata tulang belakang Mak Teh patah dan salah satu tulang tertusuk pundi kencingnya.

Siapa yang menyangka sekelip mata Mak Teh pergi sedangkan siang harinya semasa kenduri kahwin dia sihat. Saya tidak menyangka Mak Teh pergi di dalam kemalangan. Janji Allah itu tepat. Tiada lengah walau sesaat pun. Mak Teh pergi di usia 77 tahun.

Kak Nah cerita, sebulan dua sebelum kejadian ini, Mak Teh selalu bawa kain kapan & kain tutup keranda di dalam sebuah beg walau kemana pun dia pergi. Bila Kak Nah suruh tinggalkan beg itu, dia akan cakap: "Biarlah mak bawa. Mana tahu kalau jadi apa-apa, awak dah senang dah. Semua dah ada dalam beg ni. Tinggal keluarkan je". Dia sudah tahu dia akan pergi. Cuma tidak tahu bila.


Mak Teh, kakak redha Mak Teh pergi. Kakak minta maaf andai ada salah dan silap. Halalkan semua makan minum kakak. Mak Teh tunggu kakak di sana. Semoga Mak Teh ditempatkan bersama orang-orang yang dikasihi Allah. Al-fatihah.


p/s: Semua entry saya minggu lepas adalah auto-published.

Saturday, 25 July 2009

Not RM50


Kejadian berlaku di Aquaria KLCC semasa saya membuat pengeluaran wang. Saya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut ketika wang kertas bernilai RM50 keluar beberapa keping melalui mesin ATM. Dalam hati saya terus berkata: "Eh, duit apa ni? Mimpi ke aku? Macam duit kartun. Biar betul". Daripada pandangan mata kasar, saiznya nampak lebih kecil daripada not RM50 yang lama. Tetapi jika diukur, saiznya adalah sama besar.

Penting ke saiznya? Penting juga. Kalau saiznya sebesar kertas A4, nampaknya terpaksalah kita lipat letak dalam wallet atau pakai beg ketika membawanya. Itu kalau sekeping. Kalau berkeping-keping? Kembung wallet. Yang sedia ada pun memang sudah kembung sebab penuh dengan macam-macam kad. Kad kredit, kad ATM, kad keahlian shopping complex, kad restoran makanan segera dan macam-macam kad lagilah yang menandakan kita ni memang mewah. Huh...berat, berat. Saiz yang mesra pengguna juga memainkan peranan yang penting bukan saja ciri-ciri keselamatannya yang semakin dipertingkatkan.

p/s: 1. Malu wehhh....kerja bank tapi tidak tahu not RM50 berwajah baru(!)
2. Not RM50 lama boleh masuk dalam album koleksi matawang.

Wednesday, 22 July 2009

Dua Hala

Saya jarang fokus bila mendengar radio kerana di pejabat, saya tidak pasang radio kuat-kuat. Cukup sekadar ada bunyi bising sikit-sikit di telinga saya. Tapi hari itu, saya terdengar seorang ibu menangis-nangis menelefon radio Era menceritakan perihal anaknya yang menghalaunya dari rumah kerana masalah yang saya kurang pasti. Fokus saya mendengar ceritanya sehingga saya hilang fokus untuk buat kerja pagi itu. Akhirnya anaknya sedar dan meminta maaf pada ibunya.

Ya Allah, berdosanya kita menghalau ibu macam tu. Pak Nil menasihatkan ibu itu jangan mendoakan anak itu yang tidak-tidak. Saya setuju dengan Pak Nil. Doa ibu sangat makbul. Andai kita tidak mahu anak kita tidak diredhai Allah, janganlah kita, sebagai ibu bapa mendoakan yang tidak baik terhadap anak.

Di dalam sebuah buku yang sedang saya baca sekarang, tulisan Abu Saif, bertajuk Aku Terima Nikahnya, ada menceritakan tentang bapa beliau yang hanya hendak hidup jangan sampai nyanyuk. Susah anak-anak hendak jaga katanya. Ini kerana bapanya tidak mahu anaknya derhaka.

Teringat kata-kata Pak Tam saya, ibu bapa boleh menjaga 10 orang anak. Kalau anak degil, ibu bapa boleh marah atau rotan. Tetapi seorang anak akan rasa payahnya menjaga kedua ibu bapa kerana jika ibu bapa itu degil, ibu bapa ini tidak boleh dimarah atau dirotan. Entah manalah Pak Tam saya dapat idea tu.

Sebenarnya hubungan ini bersifat dua hala. Andai anak itu buat salah, tidak akan ada ibu bapa yang tidak marah. Anak kena faham kenapa ibu bapa marah atas kesalahan itu. Tunjukkan kepada saya ibu bapa mana yang tidak marah andai anak buat salah. Jangan salahkan ibu bapa andai mereka marah kerana kita ada akal untuk berfikir sebelum melakukan setiap perkara. Andai kita meletakkan Allah di hadapan kita, nescaya kita berfikir sejuta kali untuk berbuat tidak baik.

Sebaliknya juga, andai anak kita berbuat salah, janganlah mulut kita laju menyumpah seranah anak itu. Kita kena tahu bahawa kata-kata yang keluar dari mulut kita merupakan doa. Andai keluar kata-kata yang tidak baik, tidak baiklah anak itu. Bila anak tidak baik, pernah tak kita terfikir yang kata-kata kitalah yang menjadikan anak-anak itu tidak baik. Kita yang mencorakkan mereka. Andai sesuatu terjadi kepada anak kita, jangan salahkan orang lain. Tanpa kita sedar 4 jari akan menuding kepada kita.

Monday, 20 July 2009

Nasi & Kuah Kari

Tergerak hati saya untuk menulis entry ini selepas dialog saya dengan receptionist pejabat saya (Ms Yap - Chinese), tealady (Mas - Indonesian) dan seorang cleaner lelaki (Saya tak tahu nama dia. Diorang panggil dia Tambi je - Indian). Ms Yap datang ke arah kami yang sedang bersembang. Di tangan ada sebungkus muruku. Dia offer pada kami.

Ms Yap: Nak tak? What is this called?

Saya: Muruku

Ms Yap: Tambi, you don’t want? Dia makan apa je tadi. Dia makan nasi je. Takde lauk pun. Itu pun kenyang?

Saya: What did you say?

Ms Yap: He ate rice & kuah curry only just now.

Saya: Is it? Why?

Mas: Dia dah biasa.

Errrghhh….hati saya tiba-tiba tersentuh. Bahawa di sekeliling saya masih ada lagi orang yang sebegini. Kita tidak tahu masalah dia. Mungkin memang dia suka makan seperti itu atau dia hendak berjimat. Jika telahan yang kedua saya benar, saya sangat simpati.

Cubalah bayangkan keadaan nasi yang disiram dengan kuah kari. Itu sahaja yang dimakannya untuk mengalas perut seharian. Macam makan nasi dengan garam. Di zaman yang serba moden ini orang terpaksa mengajar nafsu dan minda untuk menerima apa seadanya demi kelangsungan hidup. Itu pun kita masih lagi membazir tanpa kita sedar.

Sunday, 19 July 2009

Latihan

Buat semua umat Islam:


Selamat menjalani latihan berpuasa di bulan Rejab & Syaaban ini.

Semoga kita lebih bersedia menghadapi Ramadhan.


Dan gembira menerima kehadiran Syawal.



Jangan lupa Isra' Mikraj ya.



Selamat Ulangtahun Suhaila

Saya masih ingat lagi ketika saya di tingkat 4, kumpulan saya memasuki pertandingan Biologi. Eksperimen kami sangat ringkas. Tidak macam eksperimen kelas-kelas lain. Kami hanya memerlukan piring petri dan beberapa produk makanan untuk mencipta bakteria. Beberapa hari selepas piring petri ini "diperam" ia masih belum menampakkan hasil. Saya seorang yang kurang sabar, hampir putus asa dan segala yang negatif berlegar di dalam kepala saya. Tidak jadikah eksperimen ini? Beberapa hari selepas itu, kelihatannya piring petri itu mampu membuat saya tersenyum.

Dengan rasa yang sangat teruja, saya berlari ke kelas dan mengheret Suhaila ke makmal biologi. Untuk ke makmal kami perlu melalui taman yang dipisahkan dengan lorong-lorong kecil. Ketika berlari memegang tangan Suhaila, saya tidak menyangka dia telah tersadung pokok renek di tepi makmal. Terjelepuk dia jatuh di tepi longkang. Dek kerana rasa teruja saya sedikit pun tidak rasa bersalah. Dan dah tentu saya tidak meminta maaf kerana secara logiknya kalau saya berlari ikut lorong kecil yang disediakan, mengapa dia perlu langgar pokok renek itu? Hehehehe...kalau dia baca ni, mau dia sumpah saya dalam terminologi undang-undang. Nasib baik kain dia tidak koyak. Selepas dia jatuh, baru dia cakap kenapa saya tarik dia. Kenapa dia tak cakap semasa saya tarik dia. Bela diri depan peguam ni.....hehehehe.

Kami pernah berkawan baik. Ibu bapa kami saling mengenali. Entah di mana silapnya kami sudah tidak serapat dulu lagi. Mungkin kerana selepas berkahwin, dia menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga sehingga tiada masa untuk kawan (bab ini ada disentuh oleh Abu Saif di dalam bukunya Aku Terima Nikahnya). Selepas dia berkahwin dan mempunyai anak, kami pernah terputus hubungan. Jika berhubung sekalipun, amat jarang. Apa yang saya tahu, dia masih wujud.

Sekarang, dia seorang peguam dan hari ini adalah hari jadinya. Selamat ulangtahun kelahiran Suhaila. Semoga Allah merahmati hidup ukhti sekeluarga.

Saturday, 11 July 2009

"Saya Tak Baca Buku Bahasa Melayu"

Saya ke kedai buku MPH di Alpha Angle rabu lalu. Niat hati ingin menghadiahkan sesuatu untuk ulangtahun sendiri. Tiada niat nak beli buku tertentu. Sedang saya membelek buku himpunan doa-doa bersaiz poket terbitan Telaga Biru, tiba-tiba saya terdengar seseorang perempuan eksyen menjawab; "Eeeiii.....Saya tak baca buku bahasa melayu".

Apa agaknya perkara pertama yang terlintas di fikiran kita? Meluat? Menyampah? Bohong kalau saya katakan saya tidak berfikir begitu (tak kenal pun boleh meluat, menyampah ye eL). Tapi apa yang lebih pasti saya sangat kasihan dengan dia. Laju saja kepala saya mengatakan dia tidak layak berada di negara ini.

Mengapa agaknya ayat-ayat seperti itu harus keluar dari mulut seorang yang sebangsa dengan saya di dalam negara yang bahasa rasminya adalah bahasa melayu? Tak malukah kita ada bangsa lain yang berusaha untuk menguasai bahasa melayu lebih dari kita. Bangsa lain menguasai bukan saja bahasa melayu komunikasi seharian malah menerobos disiplin bahasa melayu yang paling akar seperti sajak, gurindam dan seloka. Saya sangat bangga.

Di negara seperti Jepun, jangan harap kita hendak menggunakan bahasa lain untuk berkomunikasi dan belajar. Hendak belajar di sana, wajib belajar bahasa mereka. Tak lulus peperiksaan , jangan mimpi hendak belajar di sana. Mereka bangga dengan bahasa mereka. Walau menggunakan bahasa sendiri, mereka tetap maju.

Jangan kata orang lain, sedangkan adik saya sendiri pun pernah gagal di dalam peperiksaan kertas bahasa melayu. Alangkah malunya seorang melayu tetapi gagal kertas bahasa sendiri. Dimanakah puncanya? Apakah sebabnya? Tak lain tak bukan berpunca dari diri sendiri yang memandang sepi bahasa sendiri. "Aku orang melayu, takkan kertas bahasa melayu aku tak boleh jawab". Begitu agaknya pemikiran mereka. Tetapi mereka lupa, sesuatu yang dekat dengan kita mungkin tidak akan jadi milik kita andai kita tidak usaha.

Menguasai bahasa lain bagus tetapi jangan sisihkan bahasa sendiri.

Jangan kita terkejut jika anak-anak kita nanti memang sangat petah berkata-kata (terutama bila menjawab atau melawan cakap kita) tetapi keputusan peperiksaan bahasa melayu gagal setiap semester persekolahan.

Wednesday, 8 July 2009

Happy Birthday

kek tu tak penting....yang penting tu nombor....kekekeke


Happy
birthdaytome. Mayalltheprayersandhappinessintheworldbemine

Wednesday, 1 July 2009

Cashier

Kedai 1

Saya beli frankfurter di pasar mini dekat rumah saya. Masa nak bayar, cashier tu tunjuk-tunjuk barang tu kat saya. Saya faham tapi buat-buat tak faham sehinggalah dia bagitahu saya yang frankfurter tu tak ada harga:


Cashier: Takde harga la kak.


Saya: Habis tu awak nak suruh saya buat apa? Bukan salah saya.



Kedai 2


Setiap hari jumaat ada pasar ala-ala pasar malam di belakang Affin Bank (tengah-tengah Golden Triangle ada pasar ok). Waktu tengahari sahaja. Saya sangat stress tengahari tu terus ajak tealady saya, Mas, ke pasar tu. Bukan nak bershopping sakan. Cuma nak beli lunch. Pergi beli tempat biasa. Dah ambik semua yang berkenan di hati, kena beratur untuk bayar. Panjang juga queuenya. Sampai giliran saya, cashier tu dah kira tiba-tiba dia tanya saya:



Cashier: Berapa tadi kak?


Saya: Entah...mana saya tahu. Awak yang charge, awak tanya saya pulak.


Kedai 3

Saya jarang makan mihun sup waktu lunch. Hari tu entah tebiat apa, saya order. Macam biasa, air dulu sampai. Air dah tinggal separuh, mihun sup tak sampai-sampai. 3 kali saya bertanyakan mihun sup saya. Jawapannya asyik; "tengah buat kak". Tengah buat mihun sup ke tengah buat tepung untuk buat mihun? Sesudah habis air saya minum, saya ke kaunter untuk bayar harga minuman. Cashier tu tanya saya:



Cashier: Eh kak...mihun sup ni dah siap ni.


Saya: Saya taknak. Cancel.


Adakala saya rasa saya kejam.