Thursday, 30 July 2009

Saya Kehilangan

2 minggu lepas saya dan keluarga menghadiri majlis nikah anak sepupu saya di Triang. Saya ingat hanya kenduri bertunang. Rupanya kenduri nikah sekali. Salah saya juga sebab tidak bertanya lanjut pada mak akibat daripada mulut pendiam sangat tidak suka bertanya itu ini.

Kenduri kahwin sebelah tengaharinya menyaksikan majlis tahlil pula pada sebelah malamnya. Ketika menulis entry ini airmata tiba-tiba mengalir.


Kakak kepada mak saya, iaitu Mak Teh saya telah pergi selama-lamanya. Mak Teh memang selalu sakit-sakit sejak akhir-akhir ini tapi tidak sampai terbaring. Tidak di sangka berpecahnya kami pada petang Ahad itu menuju destinasi masing-masing adalah pertemuan terakhir dengan Mak Teh. Destinasi kami - saya dan keluarga ke Kuala Lumpur. Abg Mi - suami Kak Nah - ke Kuala Lumpur juga untuk menghadiri kursus.
Mak Teh dan Kak Nah ke Mela. Kak Yah dan keluarga ke Bentong. Kami berpecah kira-kira jam 4 pm. Kejadian itu berlaku jam 5.15 pm. Kami sampai di Kuala Lumpur jam 7 pm dan kami terima berita itu jam 9.30 pm. Ketika kejadian itu berlaku jam 5.15 pm kami masih berada di dalam negeri Pahang, singgah rumah Pak Cek saya di Temerloh - adik kepada abah saya.

Mak Teh terlibat di dalam kemalangan bersama anak perempuannya - Kak Nah - sepupu saya. Kak Nah selamat walaupun luka-luka. Kak Nah kata dia tidak berlanggar dengan sesiapa. Dia hilang kawalan lalu terlanggar tiang lampu. Bagaimana dia hilang kawalan dia sendiri tidak tahu. Saya sendiri tidak percaya kalau-kalau dia memandu laju sebab dia bukan orang yang sebegitu. Tiang lampu menghempap kereta. Mak Teh tercampak keluar. Kak Nah yang tersepit di kerusi pemandu terpaksa dikeluarkan oleh bomba. Kedua-duanya sempat di bawa ke hospital. Menangis-nangis Kak Nah meminta maaf daripada Mak Teh. Sebaik saja Mak Teh berkata "Mak maafkan", Mak Teh pergi buat selama-lamanya. Doktor kata tulang belakang Mak Teh patah dan salah satu tulang tertusuk pundi kencingnya.

Siapa yang menyangka sekelip mata Mak Teh pergi sedangkan siang harinya semasa kenduri kahwin dia sihat. Saya tidak menyangka Mak Teh pergi di dalam kemalangan. Janji Allah itu tepat. Tiada lengah walau sesaat pun. Mak Teh pergi di usia 77 tahun.

Kak Nah cerita, sebulan dua sebelum kejadian ini, Mak Teh selalu bawa kain kapan & kain tutup keranda di dalam sebuah beg walau kemana pun dia pergi. Bila Kak Nah suruh tinggalkan beg itu, dia akan cakap: "Biarlah mak bawa. Mana tahu kalau jadi apa-apa, awak dah senang dah. Semua dah ada dalam beg ni. Tinggal keluarkan je". Dia sudah tahu dia akan pergi. Cuma tidak tahu bila.


Mak Teh, kakak redha Mak Teh pergi. Kakak minta maaf andai ada salah dan silap. Halalkan semua makan minum kakak. Mak Teh tunggu kakak di sana. Semoga Mak Teh ditempatkan bersama orang-orang yang dikasihi Allah. Al-fatihah.


p/s: Semua entry saya minggu lepas adalah auto-published.

2 comments:

hai said...

salam takziah buat semua yang terlibat!!
Akak rasa seminggu dua ni,asyik dengar cerita sedih..semua melibatkan kematiaan,akak pun baru je menghadiri pengkebumian pangkat anak sedara di ubai pagi tadi,kelmarin anak sedara ipar meninggal eksiden di melaka...belum habis rasa serun dengan kemalangan yang melibatkan cikgu purun di maran tu.Kadang2 terfikir camna dengan kita pulak???

eL said...

Kak Hai: Kita ni tak tahu bila. Kita sama-sama bersedia.