Thursday, 28 May 2009

Moga Bonda Disayang Allah

Kulit novel Moga Bonda Disayang Allah oleh Tere-Liye

Baru habis baca novel ini. Kisah Melati, berumur 6 tahun yang buta, tuli dan bisu ketika dia berumur 3 tahun terkena bisbee. Anak tunggal kepada ibu bapa yang berada. Berhabis duit untuk menyembuhkan Melati tetapi gagal. Bonda HK dan suami sangat sabar melayan kerenah Melati yang seolah-olah tidak boleh menerima keterbatasannya.

Karang, seorang anak jalanan dulunya, membesar dan membanggakan penjaganya apabila dewasa. Mengambil alih Taman Bacaan daripada arwah penjaganya. Karang dikatakan sangat rapat dan sangat sukakan kanak-kanak sehinggakan apabila orang mempunyai masalah dengan anak-anak, mereka meminta bantuan Karang. Hidupnya kusut apabila 18 kanak-kanak di bawah jagaannya meninggal dunia ketika berada di lautan oleh kerana ribut taufan. Dia tinggalkan Taman Bacaan dan tidak mahu terlibat dengan kanak-kanak lagi.

Kehidupan Melati dan Karang mula berubah ketika mereka ditemukan bila Bonda Melati pergi bertemu Karang untuk meminta pertolongannya membantu Melati. Karang enggan pada mulanya tetapi menukar fikiran kemudiannya. Melati perlu diajar berdikari dan Karang perlu berubah demi masa depannya. Mereka saling memerlukan sebenarnya. Karang mengajar Melati bagaimana untuk berdikari. Susah sebenarnya untuk mengajar kanak-kanak seperti Melati berdikari. Jika kita sebut bola, dia cuma boleh rasa. Dia tak dengar kita sebut bola. Dia tak boleh sebut perkataan bola dan dia juga tak boleh nampak bentuk bola. Akhirnya Karang dapati untuk mengajar Melati sesuatu benda agar dia tahu persekitarannya adalah melalui tapak tangan Melati sendiri. Sebelum Melati menampakkan perkembangan yang baik melalui tapak tangan itu, Karang hampir putus asa.

Setelah mengetahui yang dia hampir berjaya membantu Melati dan ibu bapanya, hidup Karang mulai berubah. Dia menyedari bahawa kegagalannya menyelamatkan 18 orang kanak-kanak di bawah jagaannya dulu bukanlah berakhirnya sebuah dunia.

Nota EoP: Bukan senang menjaga anak istimewa. Kesabaran dan ketabahan yang amat tinggi diperlukan. Dalam masa yang sama kita perlu mengajar anak ini berdikari bukan dimanjakan. Bukan untuk kita tetapi untuk diri dia sendiri di masa depan. Anak seperti Melati tiada harapan untuk sembuh tetapi harapan untuk dia berdikari sangat tinggi kerana dia hanyalah cacat anggota tetapi tidak cacat akal. Kebiasaan mengajar dia mengenali persekitarannya. Usaha Bonda yang tidak putus asa memohon Karang membantu Melati menghasilkan berita gembira buat keluarganya padahal kalau hendak diikutkan, melihat keadaan Karang pun belum tentu kita yakin Karang boleh membuatkan Melati jadi anak istimewa yang luar biasa. Ini bermakna pengalaman pahit yang lalu bukanlah alasan untuk kita terus-terusan merasa diri tidak berguna.

Wednesday, 27 May 2009

Jerat Tidak Pernah Lupakan Pelanduk

Makan tengahari dengan McNa. Sejak akhir-akhir ini saya kerap makan tengahari dengan dia memandangkan pejabat kami berdekatan sekarang. Dia rajin bawa saya ke tempat-tempat makan yang baru. Salah satunya di restoran belakang Boustead.

Pernah satu hari ketika makan di sana, ada seseorang kerap memandang ke arah kami. Rimas juga. Saya cakap pada McNa: "Kenapa budak tu pandang-pandang 'kita'?" (dibaca: 'aku'....hahahaha perasan). McNa bagitahu: "Dia tu satu ofis dengan aku". Oh...patutlah. Dia kenal McNa rupanya.

Semalam.

McNa: Ko ingat tak Is ko cakap hari tu ada budak pandang-pandang ko tu?

Saya: Haa...kenapa?
McNa: Dia dulu budak KPMG. Dulu dia penah audit K**. Masa mula-mula dia tengok ko dia kata dia macam kenal. Lepas tu dia tanya aku. Dia kata ko garang masa kat K**. Aku tanya dia apa korang dah buat sampai dia jadi garang tu. Dia kata, ye la....kitorang audit, silap simpan dokumen, berterabur.
Saya: Eh ye ke? Aku tak ingat la aku penah marah dia. Sebenarnya aku tak ingat pun dia penah jadi auditor KPMG. Tak cam muka dia. Dia kenal pulak aku. Ingat pulak. Patut la pandang-pandang. Haaa....tau pun salah. Kira tak salahlah aku marah kan. Betullah, jerat memang tak pernah lupakan pelanduk. Akulah pelanduk tu hahaha(!)

Selalunya kalau barang atau benda orang lain, kita selalunya akan buat tidak cakna saja. Sebab apa? Mudah. Sebab bukan kita punya. Kita simpan ikut suka hati kita. Contoh dalam kes di atas, macam manalah saya tak marah atau bersalin kulit menjadi garang kalau dokumen di dalam fail saya tidak disusun semula sepertimana mula-mula ketika fail itu diambil. Macam manalah darah saya tidak mendidih andai dokumen untuk syarikat ini, dimasukkan di dalam syarikat itu. Saya bukan jaga sebuah syarikat sahaja ketika itu. Saya jaga 80 buah kesemuanya. Kesilapan yang sebegini memerlukan saya mengorbankan hari sabtu dan ahad saya untuk datang ke pejabat dan menyusunfailkan semula semua dokumen yang berterabur gara-gara juruaudit.

Dari tahun ke tahun perkara yang sama berulang. Lama kelamaan saya membuat undang-undang sebelum mereka membuat audit (bos saya tidak berkata apa-apa sebab itu tanggungjawab saya. Asalkan audit siap):
i. Selepas fail diambil, simpan semula ditempatnya mengikut abjad.
ii. Dokumen yang telah distaple tidak boleh dikeluarkan dari fail dan tidak boleh difotostat.
iii.Sebelum habis waktu pejabat, pulangkan semula fail ke jabatan saya walaupun fail itu belum habis digunakan. Untuk kegunaan esok, sila ambil esok.
iv. Sebelum beredar untuk hari itu, sila berdiri di sebelah saya untuk saya memastikan fail-fail semua telah dimasukkan di tempat yang betul.

Memang ini membebankan mereka. Saya? Kalau saya kena datang kerja hari sabtu dan ahad semata-mata untuk membetulkan kesilapan mereka, tidakkah ia membebankan saya? Itu adalah harga yang mereka perlu bayar atas kesilapan mereka sendiri. Sehingga hari terakhir saya di syarikat itu pun saya masih berhadapan dengan masalah yang sama kerana saya berhenti ketika mereka sedang sibuk mengaudit. Tiada siapa yang "berani" ambil alih tempat saya berkaitan dengan juruaudit-juruaudit ini ketika itu.

Mengapa? Sebabnya, saban tahun KPMG akan menghantar juruaudit-juruaudit baru. Mereka ini sepatutnya telah dilatih oleh senior mereka tentang menjalankan audit di K**. Bukanlah K** tu gah sangat tapi kerja kenalah teratur lebih-lebih lagi berada di syarikat orang. Segala syarat di atas tidak pernah wujud sebelum terjadinya bencana akibat kesilapan mereka sendiri. So, they asked for it. Selalunya junior-junior ini yang terpaksa saya "libas" dulu. Saya tahu yang sepatutnya kena dulu adalah senior mereka. Kalau saya hilang sabar, saya akan cari senior mereka sampai dapat.

Bukan nak tunjuk bagus tapi cubalah fikir apa kita rasa kalau orang buat kat kita pulak.

Tuesday, 26 May 2009

Cik Siti Datang Lagi

salah satu jenis mouse trap glue board

Cik siti datang lagi (macam lagu Dina - Cinta Datang Lagi). Saya sudah mula risau. "Perangkap" yang ada dalam simpanan saya cuma "insect/lizard trap glue paper". Itu untuk serangga/cicak dan yang sewaktu dengannya. Kalau cik siti boleh melekat kuat ke nanti. Tak apa. Cuba dulu.

Saya cuba untuk pertama kali. Malam pertama dan kedua tiada apa-apa kesan sebab saya letak di atas oven. Dia senang lepaskan diri bila dia dapat capai apa-apa yang ada di sekitar oven. Baru saya tahu. Saya letak di situ sebab ada tanda-tanda dia datang ke situ bila dia makan roti hotdog Aishah sampai 3 buku. Semuanya dia makan separuh.

Malam ketiga, saya letakkan di atas lantai. Pagi esoknya saya nampak seekor anak cik siti sedang melepakkan-diri-bermain-main-dengan-kertas-gam tersebut. Saya bungkus dan buang. Dalam perjalanan untuk buang, saya cakap dengan dia jangan datang lagi dengan kawan-kawan dia. Kak Hai yang nasihatkan saya buat macam ni.

Esoknya saya letak lagi perangkap insect/lizard glue paper tu. Tak sampai 3 jam seekor lagi bermain-main untuk lepaskan diri. Pagi esoknya saya nak buang pun, saya bersembang lagi dengan dia. Jangan ajak kawan-kawan dia datang rumah saya lagi.

Hari yang seterusnya, glue paper saya dah habis. Tinggal 2 keping je hari tu. Kak Aida cakap dekat TS Mega ada jual yang khas untuk cik siti. Saya ke TS Mega. Mak oiiii....RM3.50. Mahal untuk cik siti. Mouse trap glue board menggunakan teknologi German. Boleh re-cycle. Caranya, kalau cik siti dah melekat, ambik dengan playar, buang. Huarrghhhhh........tak ada kerja makcik nak buat semua tu. Makcik buang dengan board-board sekali.

Semalam kali ke-4 saya letak glue trap tapi kali ke-2 saya letak yang jenis board punya. Cik siti yang ni bijak sikit. Mungkin besar dan badan dia panjang sikit sebab dia boleh makan je umpan tu dari tepi kiri kanan board tu. Saya tahu sebab makanan yang saya letak atas board tu luak banyak, bukan sikit. Darah makcik sudah naik sikit-sikit. Tapi makcik urut dada. Makcik cakap kat Aishah, tak apa....tak apa, sepandai-pandai cik siti terbang, akhirnya dia landing juga.

Hssfff....hssfff....ok sabar makcik ye.

Monday, 25 May 2009

Milo + Honey-Green-Tea

coffee bar

Jari saya sudah biasa tekan "Honey-Green-Tea" pada coffee bar di pantry pejabat saya.
tumbler

Lazimnya saya akan memenuhkan Honey-Green-Tea ke dalam tumbler (Patutlah Honey-Green-Tea cepat habis. Dia ni rupanya yang tukang perabihkan. Sekali isi bukan main banyak hahaha!!!) Mana tidaknya, main tekan suka suki je kan. Untuk mengisi penuh tumbler ini saya perlu menekan coffee bar sebanyak 2 kali.

Hari ini, tiba-tiba saya teringin hendak minum milo sebagai sarapan. Minum milo sahaja sebab saya terlambat sampai ke pejabat hari ini. Saya tekan "Milo" sekali. Kali kedua, jari saya tertekan "honey-green-tea" ke dalam tumbler(!) (hidup memang selalu tertekan kan?) Nak alihkan tumbler bimbang pulak bekas takungan air di bawah tumbler tu penuh. Melimpah pulak nanti. Jadi crime scene kat situ. Terpaksa la tadah jugak.

Milo + honey-green-tea jadi air apa?

p/s: terlambat bangun gara-gara habiskan novel "Moga Bonda Di Sayang Allah".

p/s 2: marahlah saya sebab saya buang semua air tu. saya tak sanggup minum walaupun cuma rasa. perut saya sangat sensitif.

Tuesday, 19 May 2009

Tom Yam Solehah

Bahan:
Bawang putih - 1 biji - hiris
Bawang kuning - 1/2 biji - hiris
Sebarang seafood - ikut suka - udang/kepah/sotong atau ayam/daging
Sayuran - ikut suka - tomato/bunga kobis/lobak merah/jagung muda
Serai - 1 batang - ketuk
Daun limau purut - 2 helai
Minyak
Garam
Air

Cara:
1. Masukkan minyak.
2. Tumis bawang putih & bawang kuning.
3. Masukkan serai & daun limau purut.
4. Masukkan seafood/ayam/daging.
5. Masukkan sayuran.
6. Masukkan air & garam.
7. Biarkan mendidih & tutup api.

Nota untuk Solehah:
Ini untuk makan seorang. Semuanya boleh masuk ikut suka hati tapi berpada-pada. Jangan pulak letak serai sampai serumpun ye walaupun serumpun tu ikut suka hati kita :-) Tiada penggunaan sebarang pes. Resepi emak. Ikutkan ini bukanlah simple sangat. Kalau nak lebih simple, guna hanya sejenis seafood sahaja atau ayam sahaja atau daging sahaja tanpa sayur. Itu pun dah boleh. Yang penting kena ada serai & daun limau purut.

Courier dekat kak eL sikit eh.

Friday, 15 May 2009

Adalah Tu.....

Masalah, masalah, masalah(!) Sakit jiwa saya dibuatnya. Bukan baru hari ini. Sudah hampir sebulan saya tidak dapat komen apa-apa di blog-blog ini:

1. Titik Bukan Noktah (Pakcik Hashim)
2. PJSelamba (PJ)
3. Hai-Hantamsajala (Kak Hai)
4. Caklam

Mereka ini mempunyai blog layout dan comment box layout yang lebih kurang sama. Layout jenis ini sahaja yang tidak dapat saya komen. Sangat kecewa bila saya sudah taip panjang lebar, bila klik butang hantar, ia tidak berfungsi apa-apa. Pegun. Tiap-tiap hari saya ziarah blog-blog ini. Saya hanya menjadi silent reader sekarang. Adakala meronta-ronta saya hendak komen tetapi tidak dapat.

Ini sama sekali BUKAN salah mereka atau blog layout itu tetapi saya pasti ia adalah salah komputer (di pejabat...padanlah muka kan. siapa suruh buat kerja peribadi waktu pejabat dan guna alatan pejabat. saya jarang sempat online di rumah sejak akhir-akhir ini - alasan...) yang saya guna ini yang di dalamnya tidak membenarkan saya komen blog layout jenis itu. Kemungkinan besar blog layout jenis itu memerlukan biskut cookie di mana komputer saya tidak membenarkan cookie ini. Atau saya yang buta IT?

Hmmm......ok, tarik nafas........

Terasa-rasa tekanan darah naik.

p/s: Cookie - a short line of text that a web site puts on your computer's hard drive when you access the web site.

p/s 2: Saya cuba online di rumah dan komen di blog-blog anda ok.

p/s 3: Kecoh kejap....hahahaha(!)

p/s 4: Errr....eh-eh, lupa pulak nak hembus nafas balik.

Tuesday, 12 May 2009

Panas & Pashmina


Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan kenyataan bahawa cuaca panas di bawah suhu 31 - 35 darjah Celcius akan berlanjutan dari bulan Mei sehingga September tahun ini. Bermakna ini termasuklah bulan puasa yang bakal kita jalani di akhir bulan Ogos nanti. Tidak dinafikan cuaca sekarang sangat panas. Hujan hanya akan turun di waktu kita semua sedang nyenyak tidur. Itu pun hanya hujan renyai.

Tanpa kita sedar mulut kita merungut. Rata-rata orang merungut panas sana, panas sini. Yang berbadan seperti kerengga tanpa lemak di badan pun bising kepanasan. Selama ini dialah orangnya yang melilit pashmina ke sana ke mari di dalam pejabat. Sejuk katanya tetapi nampak selekeh di mata saya. Pashmina itu memang cantik tetapi cara memakainya yang membuatkan seseorang itu nampak selekeh. Serabai semacam (!). Gelebeh sana, gelebeh sini. Kalau betul cara pakainya, ia akan nampak kemas.

Sekarang pashmina ke mana, jaket ke mana. Apa saja yang ada atas meja dijadikan "kipas" terutama hari Isnin. Dikatakan bahawa setiap hari Isnin, aircond di pejabat ini tidak berfungsi dengan baik. Kedinginan mula terasa menjelang hari-hari terakhir dalam minggu itu. Macam ayat mistik je. Saya tidak tahu bagaimana sistem aircond berfungsi. Agaknya selama 2 hari cuti Sabtu dan Ahad ia tidak "bekerja", maka untuk memanaskan sistemnya supaya berfungsi dengan baik, ia memakan masa.

Kita tidak sedar agaknya yang kita rungutkan itu adalah salah satu nikmat Tuhan. Merungutnya kita bermakna kita tidak puas hati dengan apa yang Tuhan berikan pada kita. Apalah salahnya kita mengucapkan syukur dengan cuaca yang sebegini. Bukan sepanjang tahun. Bukan setiap minit. Cuma sekejap. Itu pun kita rasa lama. Kita yang abaikan perintah Tuhan bertahun-tahun itu, tidak pula kita fikirkan. Bukan tidak ada kebaikan langsung cuaca yang sebegini. Banyak kalau kita cuba fikirkan jauh sikit. Contoh, kain baju cepat kering. Kalau hujan? Tidak ke kita kena basuh semula baju-baju yang hapak kerana tidak kering dengan sempurna. Ini contoh yang sangat biasa. Banyak lagi contoh lain yang terpacul dari mulut kita tanpa kita sedar tentang kebaikan cuaca yang sebegini:

"Nasib baik cuaca elok hari ni. Kalau tidak susah jugak nak buat kenduri time-time hujan".

Ini ayat yang sengaja keluar dari mulut kita tapi kita tidak sedar bahawa apa yang kita sebut sebentar tadi adalah salah satu kebaikan cuaca yang sebegini.

Tapi....kalau hujan pun:

"Alaaaa.....hari hujan".

Manusia tidak pernah puas kan.
Lagipun cuaca yang sebegini berpunca dari kita juga.

Monday, 11 May 2009

Singgang Solehah

Bahan:
Kunyit hidup - 1/2 cm - hiris
Halia - 1/2 cm - hiris
Lengkuas - 1/2 cm - hiris
Bawang kecil - 1 biji - hiris
Serai - 1 batang - ketuk
Daun kunyit - 1 helai
Ikan - 1 ekor - kembung/selar
Asam keping - 1 keping
Garam
Air

Cara:
1. Masukkan semua bahan dalam periuk kecuali ikan.
2. Didihkan.
3. Setelah mendidih masukkan ikan.
4. Didihkan sehingga ikan masak.

Nota untuk Solehah:
Ini untuk seorang makan. Untuk Solehah yang kurang selera makan atau sudah jemu dengan menu di luar. Boleh makan dengan nasi putih atau bubur nasi.

Selepas ini:
Tom Yam ringkas.

Nota EoP: Macamlah pandai masak sangat EoP ni.

Thursday, 7 May 2009

Kitalah Kakak, Kitalah Abang

Bukan mudah menjadi seorang yang tiada kakak atau abang. Kitalah kakak, kitalah abang kepada adik-adik.

Adik-adik kalau ada masalah, pada kakak inilah mereka mengadu. Kalau ada berita sedih, pada bahu kakak inilah mereka bersandar. Kalau ada berita gembira, pada kakak inilah dikongsi. Kalau mereka memerlukan pertolongan, pada kakak inilah mereka cari dahulu. Kalau takut cakap dengan abang, kakak inilah jadi orang tengah. Kalau takut cakap dengan mak dan abah, kakak inilah yang kena mulakan buka mulut dan langkah.

Tapi kalau kakak ada masalah, ada berita sedih, ada berita gembira, memerlukan pertolongan dan takut untuk sampaikan apa-apa pada mak dan abah, pada siapa kakak ini hendak tuju pula?

Selalunya kakak ini pendam saja. Selalunya kakak ini diam saja. Kakak ini kadang-kadang sangat kuat menyimpan rahsia. Kakak ini tidak banyak kerenah. Kakak ini tidak banyak bercakap. Adik-adik tidak akan tahu emosi kakak ini kerana dalam banyak-banyak keadaan kakak ini jarang tidak ceria. Syukur alhamdulillah adik-adik kakak ini belum ada yang buat masalah negara. Yang pasti kakak ini kena kuat sekuat-kuatnya untuk adik-adik. Kakak ini kena gigih semangat untuk menjadi teladan adik-adik.