Thursday, 28 May 2009

Moga Bonda Disayang Allah

Kulit novel Moga Bonda Disayang Allah oleh Tere-Liye

Baru habis baca novel ini. Kisah Melati, berumur 6 tahun yang buta, tuli dan bisu ketika dia berumur 3 tahun terkena bisbee. Anak tunggal kepada ibu bapa yang berada. Berhabis duit untuk menyembuhkan Melati tetapi gagal. Bonda HK dan suami sangat sabar melayan kerenah Melati yang seolah-olah tidak boleh menerima keterbatasannya.

Karang, seorang anak jalanan dulunya, membesar dan membanggakan penjaganya apabila dewasa. Mengambil alih Taman Bacaan daripada arwah penjaganya. Karang dikatakan sangat rapat dan sangat sukakan kanak-kanak sehinggakan apabila orang mempunyai masalah dengan anak-anak, mereka meminta bantuan Karang. Hidupnya kusut apabila 18 kanak-kanak di bawah jagaannya meninggal dunia ketika berada di lautan oleh kerana ribut taufan. Dia tinggalkan Taman Bacaan dan tidak mahu terlibat dengan kanak-kanak lagi.

Kehidupan Melati dan Karang mula berubah ketika mereka ditemukan bila Bonda Melati pergi bertemu Karang untuk meminta pertolongannya membantu Melati. Karang enggan pada mulanya tetapi menukar fikiran kemudiannya. Melati perlu diajar berdikari dan Karang perlu berubah demi masa depannya. Mereka saling memerlukan sebenarnya. Karang mengajar Melati bagaimana untuk berdikari. Susah sebenarnya untuk mengajar kanak-kanak seperti Melati berdikari. Jika kita sebut bola, dia cuma boleh rasa. Dia tak dengar kita sebut bola. Dia tak boleh sebut perkataan bola dan dia juga tak boleh nampak bentuk bola. Akhirnya Karang dapati untuk mengajar Melati sesuatu benda agar dia tahu persekitarannya adalah melalui tapak tangan Melati sendiri. Sebelum Melati menampakkan perkembangan yang baik melalui tapak tangan itu, Karang hampir putus asa.

Setelah mengetahui yang dia hampir berjaya membantu Melati dan ibu bapanya, hidup Karang mulai berubah. Dia menyedari bahawa kegagalannya menyelamatkan 18 orang kanak-kanak di bawah jagaannya dulu bukanlah berakhirnya sebuah dunia.

Nota EoP: Bukan senang menjaga anak istimewa. Kesabaran dan ketabahan yang amat tinggi diperlukan. Dalam masa yang sama kita perlu mengajar anak ini berdikari bukan dimanjakan. Bukan untuk kita tetapi untuk diri dia sendiri di masa depan. Anak seperti Melati tiada harapan untuk sembuh tetapi harapan untuk dia berdikari sangat tinggi kerana dia hanyalah cacat anggota tetapi tidak cacat akal. Kebiasaan mengajar dia mengenali persekitarannya. Usaha Bonda yang tidak putus asa memohon Karang membantu Melati menghasilkan berita gembira buat keluarganya padahal kalau hendak diikutkan, melihat keadaan Karang pun belum tentu kita yakin Karang boleh membuatkan Melati jadi anak istimewa yang luar biasa. Ini bermakna pengalaman pahit yang lalu bukanlah alasan untuk kita terus-terusan merasa diri tidak berguna.

2 comments:

hai said...

berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.Akak pun ada adik istimewa,kadang tu memang tak sabar ngan karenah dia.Dia down syndrome tapi otaknya damage menyebabkan dia tak pandai bertutur tapi faham bila kita bercakap. alhamdullilah dia pandai urus diri,itupun setelah mak hantar dia kat KT selama 3 tahun.(tinggal di asrama).tapi mak terpaksa pekakkan telinga bila org asyik mengata mak tak sayangkan anak.
Bagi mak kerana dia sayang,dia anta dia belajar berdikari.Ini semua ujian Allah.

eL said...

Akak, cakap kat mak akak, kalau adik akak tak tau berdikari bukan mereka yang mengata tu yang menolong. Mak akak dah tunaikan sebahagian amanah Allah ke atas adik akak.