Monday, 26 April 2010

Senyum Lebar-Lebar

Masa mula-mula abah guna telefon bimbit, dia tak tahu langsung macam mana nak hantar sms. Dia tak pernah rasa nak cuba pun.

Lepas tu mak pula yang ada telefon bimbit. Emak belajar macam mana nak taip sms. Akhirnya pandai juga dia walaupun banyaknyalah kesilapan ejaan. Kadang-kadang saya terpaksa forward kat adik-adik saya bertanyakan kalau-kalau mereka faham apa maksud yang mak saya taip. Kadang-kadang jadi bahan ketawa kami adik beradik termasuk mak sekali. Saya pernah cerita dalam entry sebelum ni. Malas nak cari entry tu balik untuk buat link :-)

Sehingga ke hari ini, ejaan dalam sms mak semakin baik tetapi masih ada kesilapan di sana sini.

Abah?

Abah dah pandai sms sekarang. Selama abah sms dengan saya, belum pernah ada kesilapan ejaan. Dia cuma ada kesilapan ejaan bahasa malaysia zaman dulu-dulu dan zaman sekarang.

Contoh: Perkataan "boleh". Abah akan taip "bolih".

Saya bukan nak bercerita pasal kesilapan ejaan atau penggunaan sms atau penggunaan telefon bimbit.

Ini ceritanya. Mukadimah panjang macam khutbah Jumaat.

Saya menunggu abah datang ambil saya di rumah pada setiap malam Khamis untuk di hantar ke kelas. Selalunya saya menunggu dia sebelum dia sampai. Abah ni, kalau nak datang jemput saya, dia tak akan datang seorang. Dia mesti angkut mak saya dan Alya sekali.

Khamis lepas, macam biasa saya menunggu abah kat kerusi kat bawah kawasan perumahan saya. Tiba-tiba masuk sms di telefon bimbit saya; "eL, abah dah ada kat bwh skrg".

Saya nak ketawa kuat-kuat tapi tiba-tiba saya sedar yang saya adalah perempuan melayu terakhir di kawasan itu. Saya senyum lebar-lebar sambil membalas sms abah:

"Kekekeke mana ada abah kat sini. Kakak tunggu dah 5 minit dah".

LOL. Kantoi.

Gloss: Saya tak pasti sama ada abah faham ke tidak maksud "kekekeke" tu LOL.

Thursday, 22 April 2010

Hancur

Lepas makan tengah hari dengan McNa, saya ke 7-Eleven. Selalu juga saya ke 7-E lepas makan.

Kadang-kadang beli aiskrim.
Kadang-kadang beli Lays.
Kadang-kadang beli Saji.
Kadang-kadang beli Nur.
Kadang-kadang beli Rasa.
Kadang-kadang beli APO?
Kadang-kadang beli Ujang.
Kadang-kadang beli i.

Sampai kat kaunter untuk bayar:

Juruwang: Haaa ni mesti tengah tension ni.

Saya: (Terkedu kejap, eh macam mana dia tau? lepas tu saya gelak). A’ah la dik. Macam mana tau?

Juruwang: Tau kak. Kalau dah beli komik ni memang tengah tension la ni.

Saya: Raja Lawak dah habis, tu yang beli komik pulak.

Gloss: Takut la dengan mamat tu. Macam mana dia tau saya tengah tension? Ada ilmu kasyaf ke apa?

Gloss II: Orang kalau tension, baca la Qur’an kan. Ini tidak, pergi beli komik. Hancur lebur.

Tuesday, 20 April 2010

Natberry



Sepanjang hidup saya, saya tak pernah berkacamata betul ke eja macam ni? eja "kacamata" dekat ke jarak?

Tapi entah kenapa saya ambil vitamin kat atas tu untuk mata sejak akhir-akhir ini. Akibatnya, kadang-kadang bila saya tak fokus memandang sesuatu, pandangan saya menjadi bertindan-tindan.

Pelik betul. Kalau makan vitamin mestilah tak ada masalah kan?

Mungkin saya tak cukup tidur. Mengantuk rupanya. Ahaksss!!!!!

Gloss: Sebenarnya saya dah rasa pandangan saya bertindan-tindan sebelum saya ambil vitamin tu lagi. Itu pasal la saya makan vitamin tu kalau-kalau ia dapat membantu saya. Kalau dah mengantuk tu, makan cili api macam ulam pun mata tetap berpinar-pinar.

Monday, 19 April 2010

Telefon Awam vs Telefon Bimbit

Jarang kita nampak telefon awam sejak akhir-akhir ini kan? Semakin berkurangan sejak penggunaan telefon bimbit semakin berleluasa.

Sudah tak berguna lagikah telefon awam?

Berguna.

Bila?

Ketika pengguna prepaid kehabisan kredit ;-)

Dulu. Saya hairan kenapa dia bercakap kat telefon awam tu sedangkan ditangannya ada telefon bimbit? Lama-lama baru saya faham.
i. Telefon bimbit tu gunanya nak tengok nombor yang dia hendak dail.
ii. Dia guna telefon awam sebab dia kehabisan kredit.

Kalau telefon awam itu masih relevan, mengapa berlakunya vandalisma terhadapnya yang tak berdosa? Kena pijak, kena tendang. Jatuh terjelepuk.

Cuba kita pijak sikit telefon bimbit kita tu. Jatuh sikit pun kita dah meraung sampai seisi kompleks membeli belah boleh dengar suara kita.

Anda ada jawapan?

Gloss: Saya mula memakai telefon bimbit (prepaid Hotlink) setelah saya mengalami 2 kali kejadian yang menyebabkan saya berbuka puasa sendirian di perhentian bas Lebuh Ampang(!) Ketika itu, simcard Maxis berharga RM235(!) Alangkah beruntungnya pengguna prepaid Hotlink sekarang. RM10 dah boleh dapat 1 simcard.

Gloss II: Saya menukar kepada postpaid kerana saya seorang pengguna telefon bimbit yang "ganas" LOL.

Saturday, 17 April 2010

Jangan Pindahkan Salah Kita Pada Orang Lain

Kita pinjam duit kat bank untuk beli rumah. Masa nak pinjam bukan main berusaha untuk dapatkan. Sanggup turun naik bank. Sanggup cari yang boleh lulus dalam masa 24 jam. Bila dah dapat, kita default payment beberapa bulan. Bank pun keluarkan pelbagai surat peringatan termasuk la surat terakhir - surat saman atau surat lelong rumah. Agaknya la kan. Saya pun tak berapa tahu sangat pasal default payment rumah ni. Tak tau la pulak kalau ada surat yang lebih akhir dari surat saman atau surat lelong rumah tu. Dapat surat-surat tu kita melenting. Kita datang ke bank buat kecoh.

Salah siapa? Orang dah bagi pinjam duit senang-senang, bila sampai masa nak bayar, kita buat liat. Siapa tak marah. Cuba kalau kena kat kita, kita pun akan buat macam bank buat. Tahu pinjam, tapi tak tahu bayar. Memang patutlah bank ambil tindakan. Dah salah tu, buat cara salah. Datang ke bank bincang elok-elok untuk selesaikan masalah. Bukan menambahkan masalah dengan membuat laporan polis dan enggan memberi salinan surat-menyurat. Laporan polis tu untuk apa? Kita yang tak bayar hutang, lepas tu kita buat laporan polis sebab bank nak lelong rumah kita? Yang salah tu kita. Yang buat laporan polis sebab kita yang salah tu kenapa? Nak tutup salah kita ye. Bank hantar surat peringatan, kita buat dek je. Lepas tu kita kata bank tak ikut procedure. Yang kita tu ikut procedure sangatlah ye, tak ikut jadual bayar hutang. Dah orang bagi pinjam tu, bayarlah. Tak bayar tu yang orang ambil tindakan. Kalau kita tak bayar, datanglah ke bank bincang. Yang buat kecoh tu dapat apa? Lagi panjang cerita jadinya. Tak cukup lagi ke darah tinggi dah sampai stage 3 tu, nak menaikkan tekanan darah lagi tu buat apa.

Kita guna telefon macam tak ingat dunia. Bila bil sampai, mata kita terbeliak. Mula la kita buat lambat bayar. Padahal boleh bayar separuh dulu kalau kita nak untuk mengelakkan pemotongan talian. Ni bukan untuk pengguna prepaid la ye. Pengguna prepaid, kredit tak ada, duduk diam-diam. Bila default payment beberapa bulan, syarikat telefon pun sekat talian kita. Kita naik angin. Marah kononnya sebab bar handphone kita tak bagitahu.

Salah siapa? Masa guna, kita tak fikir pasal bil. Pakai ikut suka. Hujung bulan bayar. Memanglah hujung bulan boleh bayar. Tapi kalau dah bil pun sampai nak sama dengan sebulan gaji, nak makan apa nanti? Pasir? Kalau pernah makan pasir macam saya tak apalah LOL. Bila talian dah kena potong, mulalah menggagau pergi syarikat telefon tu nak tunjuk perasaan. Yang salahnya kita. Nak dimarah staf-staf kat situ, dapat apa? Cubalah bawak berbincang, barulah orang boleh tolong. Kalau datang main aci serang je, ingat ada orang nak tolong ke? Kalau kita jadi staf syarikat telefon tu, kita sendiri pun tak nak tolong orang yang macam tu. Kita yang buat masalah, kita heret orang lain sama dalam masalah kita. Kalau nak selesai elok-elok tak apalah jugak. Ini tidak, macam syarikat telefon tu pulak buat salah.

Gloss: Budak-budak sekarang ni bukan main senang; "Kakak, tolong top up". Main oder je. Mentang-mentanglah postpaid Maxis boleh top up prepaid Hotlink melalui handphone orang yang pakai postpaid tu. Saya lupa la nama servicenya. Postpaid Topup kot.

Friday, 16 April 2010

Berdua-duaan Tengah Bandar Dalam Panas Terik

Semalam saya lunch dengan McNa. Dalam perjalanan balik ke pejabat, dari jauh lagi mata saya sudah tertangkap dengan pemandangan yang menarik perhatian. Sepasang suami isteri yang sudah berumur. Saya assume suami isteri lah ye. Berjalan lambat-lambat berdua-duaan di dalam terik panas, berpimpin tangan. Di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Ke mana tujuannya, tak pula saya tahu.

Berselisih bahu dengan kami, McNa bagitahu saya:

McNa: Aku suka tengok couple macam tu. Jalan pegang tangan. Lembut je muka wife dia.
Saya: A'ahkan. Kau nanti kenalah jadi macam tu.
McNa: Oiii...mak bapak sape la yang terlepas tengah-tengah bandar ni.

Hampeh betul budak McNa ni. Perkataan terlepas tu bunyi macam k*mbi*g terlepas kandang je.

Gloss: Sama-sama fikirkan pemandangan yang jarang kita lihat tu ye.

Thursday, 15 April 2010

Macam Makcik-makcik....

Perbualan 2 orang mak dara dan seorang anak dara yang bujang trang tang tang (hahahaha…macam hampeh promotion):

Mak Dara A: You senang la Mak Dara B, pakai apa pun cantik. I ni susah nak cari baju.

Mak Dara B: Eh kan sekarang dah ada yang Plus Size tu..ok apa yang selalu you pakai tu. Ni I cakap terus terang la eh…you all janganlah pakai baju kurung je. Pakailah seluar panjang sekali sekala
(dia tak sebut seluar panjang, dia sebut pants). Baru la nampak muda. Orang tua macam I ni, lagi tua lagi rasa nak bergaya tau.

Hoh! Rasa nak cili je mulut dia kan.

Dia memang jenis yang rajin bercakap. Dia sambung lagi:

Mak Dara B: Macam you ni eL, sesekali pakailah pants. Pakai baju kurung tiap-tiap hari nampak macam makcik-makcik.

Rasa apa? Rasa nak lempang laju-laju kan?

Lantak kaulah. Ada aku kesah? Yang jaga aurat, bukan kau. Aku.

Saya tak marah dia cakap macam tu. Saya senyum je. Dalam kepala saya, yang saya taip kat bawah ni:

Saya tak suka orang atur hidup saya suruh buat itu buat ini. Suka hati saya la nak pakai apa. Ingat kita pakai ni suka-suka, nak cantik dan bergaya ke? Kalau nak, tak payah suruh. Dah lama reti buat. Kita selesa macam ni. Tak menyusahkan orang. Yang penting, ini adalah suruhan Tuhan. Tak rasa lebih selamat ke?

Saya rasa tak perlu malu orang nak panggil kita makcik-makcik ke, sarung nangka ke. Nak malu kat dunia buat apa? Kat sana esok lebih malu. Depan semua manusia. Kat dunia ni, dengan kita-kita je. Orang yang pakai dedah sana dedah sini tu sepatutnya lebih malu.

Nak buat apalah ikut cakap orang. Apa yang kita buat hari ini, dikira hari esok. Apa yang kita pakai hari ini, kat sana esok bukan kita yang jawab, tapi anggota yang kita dedahkan akan menjawab bagi pihak kita. Kita nak tutup mulut anggota kita? Kat mana mulut diorang? Kita nampak? Kita tahu?

Tidak kan? Habis tu, nak tutup mulut anggota kita macam mana?

Setakat kita bagitau orang; “I ada intention nak pakai tudung. I tengah kumpul warna-warna tudung. sekarang ni dah banyak dah. I tak bolehlah, I kena betul-betul bersedia baru I boleh pakai”.

Setakat banyak je buat apa kalau tak pakai? Warna tudung pulak yang jadi pentingnya. Simpan dalam almari, esok lusa tudung tu yang tutup kita jadi kain kapan.

Bilanya kita betul-betul bersedia? Esok Tuhan dah panggil balik, baru betul-betul bersedialah. Ya lah, dah kena tutup semua dari atas sampai bawah dengan kain putih.

Tapi semua yang di atas tu saya tak cakap kat Mak Dara B sebab bagi saya untuk buat benda yang baik, kita tak boleh mulakan dengan kata-kata yang tak baik. Kita nak ajak dia tutup aurat tapi kita kutuk dia pulak. Lagi lah dia tak mahu pakai nanti.

Saya akan cakap sesuatu yang buat dia diam selama 3 saat. Tu tandanya terkesan jugalah dalam hati dia selama 1 saat. Yang 2 saat lagi tu, dia sempat kutuk saya pulak dalam hati hehehe. Buruk sangka betul.

Setiap kali saya nampak dia, saya mesti berdoa dalam hati supaya Tuhan bukakan hatinya untuk menutup aurat sebelum dia menutup mata.

Gloss: Yang nak angin tu kenapa eL? Hari ni tumbuh tanduk sikit.

Gloss II: Cerita ni dah lama, tapi baru hari ni saya sempat tulis.

Tuesday, 13 April 2010

1/4

Dah lama tak menulis - walaupun hati ini meronta-ronta nak menulis - mula la nak menulis benda yang merepek kan. Ewah, ayat extreme tak ingat. Ni semua salah kerja la ni. Sebab banyak sangat, terus saya tak dapat menulis.

Tapi tak boleh salahkan kerja juga sebab kerja ni buat kita dapat pahala gaji. Tulis blog ni dapat kepuasan yang tak boleh bayar sewa rumah, bil telefon, bil letrik, bil air, perfume DKNY. Nanti macam mana pulak saya nak beli tudung harga RM850 kan ahaksss!!!

Tadi, lunch kat gerai Pak Tam duda. Jarang. Tapi tiap kali ke gerai dia, saya mintak nasi separuh. Saya memang tak boleh makan penuh. Nanti tak boleh berjalan pulang ke pejabat adanya. Tiap kali mintak separuh dia selalu suruh saya makan penuh. Tak kira, suruh dia bagi separuh jugak.

Tengah cedok lauk, tiba-tiba saya terdengar; "Pak Tam, nasi 1/4".

Saya terberhenti sekejap 3 saat. Lepas tu saya cakap kat Pak Tam; "Pak Tam, lain kali saya nak mintak macam tu jugaklah".

Gloss: Terima kasihlah kat mamat tu sebab bagi saya idea.

GlossII: Pak Tam, kalau tak kasi saya nasi 1/4, saya taknak datang dah kedai Pak Tam. Saya terdengar-dengar Pak Tam jawab "Ada aku kesah?".

Wednesday, 7 April 2010

Tudung

Saya rasa semua orang tahu JENAMA TUDUNG yang dipakai oleh isteri penyanyi terkenal tanah air yang menjadi juara di dalam rancangan realiti tv. Saya assume kaum lelaki juga tahu lah ye.

Saya tak pakai tudung jenis itu. Buat masa ini.

Kawan saya ajak ke outlet tudung ini di PWTC. Saya kata ok. Saya pun nak tengok. Apa yang yang best sangat. Tengok je ye. Saya kalau tak ada orang ajak, memang saya tak masuk.

Terduduk juga bila tengok tanda-tanda harga kat situ. Saya tak pasti kain jenis apa tapi berlabuci dan bermanik berharga RM850! Kalau saya ada duit berlebih tak tahu nak buat apa sekalipun, saya tak rasa saya akan beli walaupun hanya sehelai untuk merasa.

Saya rasa itu jenis paling mahal di situ. Yang lain semuanya berharga antara RM50 - RM100 walaupun sekarang ni ada diskaun, beli 1 percuma 1.

Lagi satu, kat tanda harga ada ditulis "Made in Italy". Eh, kenapa dibuat di Italy ye? Dia punya promosi macam barang buatan Malaysia. Nama pun macam nama kemelayuan. Saya sangat ingin tahu. Saya bertanya pada jurujual yang ada kat situ. Dia kata kain-kain, manik dan labuci semua datang dari Itali tapi tudung tu di buat di Malaysia. Oh(!)

Saya tanya lagi. Macam peguam pun ada. Dah kerja dikelilingi peguam, ni la jadinya Kat mana kilangnya? Jurujual tu jawab tak tahu sambil geleng kepala.

Saya cakap kat jurujual tu, tanda harga ni tak sepatutnya tulis Made in Italy. Sepatutnya ia ditulis "Fabric Made in Italy". Baru betul. Ini sudah jadi "misrepresentation" kalau ikut Undang-undang Perniagaan. Tapi kat Malaysia ni, siapa yang kisah kan?

Patutlah harganya gila-gila macam tu. Saya rasa syarikat tu sasaran dia adalah orang-orang yang selalu berhimpun di PWTC tu kot. Tapi bukannya tiap-tiap hari diorang berhimpun kan? Bagi diorang, apalah sangat harga RM850 tu kan untuk sehelai tudung kalau dapat mengekalkan status.

Gloss: Bertambah tak minat dengan tudung macam tu. Buat masa ini.

Thursday, 1 April 2010

Habislah.......

Saya tak tau sama ada kamu semua pernah alami ke tak. Tersalah hantar email. Nak hantar kat orang lain, terhantar kat orang lain. Orang lain tu pulak adalah Chief Financial Officer (CFO) ofis kamu. Aduhhhh....

Saya punya kerja la ni. Ni bukan pertama kali berlaku. Ni kali kedua. Kalau berlaku kali pertama dinamakan kesilapan. Tapi berlaku kali kedua, nampaknya memang sengaja nak tempah maut.

Yang email tu pulak adalah email kelakar. Tajuknya bukan main ada 18sx bagai tapi isi dalamnya tak menggambarkan tajuknya langsung.

Masa nak hantar email tu, tekan butang forward, taip huruf pertama nama kawan kita tu, lepas tu akan keluar senarai nama semua orang yang bermula dengan huruf pertama yang kita taip tu. Lepas tu, tak tengok-tengok nak cepat sangat, main klik je kat nama orang yang pertama dalam senarai sebab yakin yang kawan kita tu nama dia adalah yang teratas dalam senarai. Kalau kita selalu hantar email kat orang tu, nama dia akan berada di dalam senarai paling atas. Ni Microsoft Outlook la ni. Email lain saya tak pasti.

Entah macam mana, nama CFO tu pulak yang berasa di senarai teratas hari ni. Mungkin sebab dia orang yang terakhir yang saya hantar email pagi tadi agaknya. Pagi tadi hantar email berkenaan dengan kerja kat dia.

Yang saya boleh tau terhantar kat dia tu bila saya dapat "read receipt" daripada dia. Bila saya ternampak je nama dia masuk mailbox saya, rasa dunia ni berhenti sekejap. Terasa darah sejat sampai ke tapak kaki. Aduuhhhhhh...........malunya saya(!)

Masalah malu satu hal, masalah kredibiliti ofis saya pun satu hal. Kalau email tentang kerja tak pernah pulak saya tersalah hantar. Kalau tersalah hantar email pasal kerja tak apa lah jugak.

Ini kali kedua. Kali pertama Disember lepas. Selang berapa bulan je dah buat kesilapan kali kedua. Kali pertama dulu, saya terhantar kat dia gambar farewell budak-budak HR. Nak hantar kat kawan yang sama juga tapi terhantar kat CFO ni. Lepas tu siap tulis lagi kat dalam email tu; "tengoklah gambar aku yang gebu". Muahahahaha...gelak golek golek(!)

Yang pertama kali tu pun sama, saya tau saya tersalah hantar kat dia bila saya terima "read receipt" daripada dia. Tapi lepas tu, saya hantar email kat dia balik mintak maaf sebab tersalah hantar. Dia tak jawab apa-apa pun. Tapi kali ni saya dah malu nak mintak maaf. Saya recall je email saya walaupun saya tau kalau recall pun mesti fail. Memang pun, saya dapat "Message Recall Failure". Dah la pakcik tu muka serius je. Dalam boardroom selalu menggelabah hehehehe <--- sempat lagi gelakkan orang.


Kenapalah buat kesilapan b*d*h macam tu. Dead meat(!)

Moral cerita - lain kali extra berhati-hati. Jangan gopoh. Jangan fikir nak cepat je.

Gloss: Saya dah mula fobia.

Gloss II: Bukan email 18sx ye. Email april fool gambar monyet. Nak hantar kat bestfriends saya je. Tengok-tengok saya yang kena april fool balik. Cissss(!)