Saya jarang fokus bila mendengar radio kerana di pejabat, saya tidak pasang radio kuat-kuat. Cukup sekadar ada bunyi bising sikit-sikit di telinga saya. Tapi hari itu, saya terdengar seorang ibu menangis-nangis menelefon radio Era menceritakan perihal anaknya yang menghalaunya dari rumah kerana masalah yang saya kurang pasti. Fokus saya mendengar ceritanya sehingga saya hilang fokus untuk buat kerja pagi itu. Akhirnya anaknya sedar dan meminta maaf pada ibunya.
Ya Allah, berdosanya kita menghalau ibu macam tu. Pak Nil menasihatkan ibu itu jangan mendoakan anak itu yang tidak-tidak. Saya setuju dengan Pak Nil. Doa ibu sangat makbul. Andai kita tidak mahu anak kita tidak diredhai Allah, janganlah kita, sebagai ibu bapa mendoakan yang tidak baik terhadap anak.
Di dalam sebuah buku yang sedang saya baca sekarang, tulisan Abu Saif, bertajuk Aku Terima Nikahnya, ada menceritakan tentang bapa beliau yang hanya hendak hidup jangan sampai nyanyuk. Susah anak-anak hendak jaga katanya. Ini kerana bapanya tidak mahu anaknya derhaka.
Teringat kata-kata Pak Tam saya, ibu bapa boleh menjaga 10 orang anak. Kalau anak degil, ibu bapa boleh marah atau rotan. Tetapi seorang anak akan rasa payahnya menjaga kedua ibu bapa kerana jika ibu bapa itu degil, ibu bapa ini tidak boleh dimarah atau dirotan. Entah manalah Pak Tam saya dapat idea tu.
Sebenarnya hubungan ini bersifat dua hala. Andai anak itu buat salah, tidak akan ada ibu bapa yang tidak marah. Anak kena faham kenapa ibu bapa marah atas kesalahan itu. Tunjukkan kepada saya ibu bapa mana yang tidak marah andai anak buat salah. Jangan salahkan ibu bapa andai mereka marah kerana kita ada akal untuk berfikir sebelum melakukan setiap perkara. Andai kita meletakkan Allah di hadapan kita, nescaya kita berfikir sejuta kali untuk berbuat tidak baik.
Sebaliknya juga, andai anak kita berbuat salah, janganlah mulut kita laju menyumpah seranah anak itu. Kita kena tahu bahawa kata-kata yang keluar dari mulut kita merupakan doa. Andai keluar kata-kata yang tidak baik, tidak baiklah anak itu. Bila anak tidak baik, pernah tak kita terfikir yang kata-kata kitalah yang menjadikan anak-anak itu tidak baik. Kita yang mencorakkan mereka. Andai sesuatu terjadi kepada anak kita, jangan salahkan orang lain. Tanpa kita sedar 4 jari akan menuding kepada kita.

3 comments:
Adoyai!cakap pasal anak2 ni memang pening kepala...kecik cara kecik,dah besar cara besar plak!!Akak ni ada 7 orang anak dan kena melayan 7 jenis perangai yang berbeza...
Memang semua ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak2 mereka.Bagi mereka tidak perlu balasan wang ringgit dari anak2,cukup sekadar ingatan dan kasih sayang yang berkekalan hingga ke akhir hayat...
salam kak..berwajah bar..ye blognye..cmne mjlis kat pahang..?mesti bestkan..btul tu kata akk..ibu bapa pn x blh ungkapkan sbrg kata2 yg x elok pd anak2..walaupun tgh marah skalipun..dn anak perlu la h tahu mghormati ibu bapa..org yg bnyak berjasa pada kt
Ibubapa adalah permulaan kita, sebagaimana mereka boleh bersabar dgn kerenah kita di masa kecil, begitulah juga kita kena bersabar dgn perangai mereka dikala lanjut usia...
Post a Comment