Friday, 14 May 2010

Mawar Itu Milik Siapa

Sumber foto. Terima kasih.

Alya: Hari tu Alya bagi Wan bunga.
Saya: Bagi Wan bunga? Bunga apa?
Alya: Bunga ros.
Saya: Berapa ringgit Alya beli?
Alya: 50 sen.

Saya: 50 sen? Murahnya. Alya beli kat mana?
Alya: Bunga ros plastik. Sekolah jual untuk Mother’s Day.
Saya: Ceritalah kat Maklong macam mana Alya bagi Wan.
Alya: Alya balik sekolah kan, Alya pegang la bunga tu. Alya sampai rumah, Alya ketuk pintu, Wan bukak pintu terus Alya cakap “Happy Mother’s Day”.
Saya: Wan cakap apa?
Alya: Wan cakap terima kasih. Hmm…tapi Wan bukan mak kandung Alya.

Inilah puncanya saya tidak lagi menulis apa-apa tentang Hari Ibu sejak 7 tahun lalu.

Inilah juga puncanya saya tidak lagi mengendahkan hari istimewa itu kerana bagi saya setiap hari adalah hari yang istimewa untuk ibu.

Kerana inilah saya tidak pernah lagi merancang apa-apa perhimpunan keluarga seperti keluarga lain di hari istimewa itu walaupun ianya bukan budaya masyarakat Islam khasnya.

Kenapa pula Alya yang sudah tiada ibu maka ibu saya pula yang menjadi ‘mangsa’ keadaan?

Tiada siapa yang jadi mangsa keadaan. Emak amat memahami. Cukup dengan sambutan ulangtahunnya Februari lepas untuk menggantikan Hari Ibu katanya.

Meskipun dia anak kecil yang tidak tahu akan erti kehilangan ibu, hatinya perlu dijaga walaupun dia tidak tahu kita menjaga hatinya.

Ketika Alya petah bercerita, tiada sebarang riak di wajahnya waima wajah sedih sekalipun. Susah saya hendak lihat dia bersedih ketika bercerita tentang ibu. Kehilangan ibu ketika usia 2 tahun menyebabkan dia tidak tahu langsung apa yang berlaku ketika itu. Mundar mandir ke hulu ke hilir ketika orang ramai memandi dan mengkafankan arwah ibunya membuatkan saya hiba ketika itu.

Selepas Alya bercerita tentang mawar itu, tiada setitis pun air mata saya keluar. Saya juga tidak memeluknya setelah dia selesai bercerita seperti selalu bimbang air mata ini tumpah. Sungguh saya tidak menangis di depan Alya kerana saya tidak mahu dia bertanyakan alasannya. Tetapi saya gagal membendung air mata saya di belakangnya. Sehingga ke hari ini ceritanya masih terngiang-ngiang di telinga saya walau apa pun yang saya lakukan dan di mana saja saya berada. Dan air mata bagaikan mengerti perasaan saya.

Sungguh sukar untuk saya terus menaip mengenai anak ini.

Gloss: Wan adalah emak saya.

No comments: