Wednesday, 25 March 2009

Emak

Ketika emak menghantar mesej kepada saya mengatakan dia terjatuh di bilik air sudah 2 hari, jantung saya berdegup kencang. Sebelah petangnya saya dapat isyarat yang kurang enak. Saya sangat bimbang. Saya bimbang itu menjadi punca hal yang tidak saya ingini. Maklumlah emak saya sudah berumur, walaupun di usia 57 tahun, ada yang mengatakan usia emak saya masih muda. Saya bimbang dengan gerak hati saya. Adakala saya marah dengan gerak hati sendiri. Saya tidak menyalahkan otak saya yang memikirkan yang bukan-bukan. Sebarang kejadian yang berlaku pada emak, sangat membimbangkan hati saya.

Pada tahun 2001 emak pernah dimasukkan ke hospital kerana tiba-tiba emak sakit kepala. Memandangkan emak dimasukkan ke wad wanita, saya menawarkan diri menjaga emak di hospital walaupun ketika itu saya hendak menduduki peperiksaan di universiti. Saya tidak benarkan adik perempuan saya menjaga emak kerana dia juga sedang menduduki peperiksaan. Kebetulan kami belajar di universiti yang sama ketika itu. Saya sangat risaukan emak. Walau apa pun terjadi ketika itu, saya mahu emak berada di depan mata saya. Selama menjaga emak di hospital, saya hanya akan pulang ke rumah di awal pagi untuk bersihkan diri dan memasak makanan tengahari untuk adik-adik. Usai kerja rumah, saya akan ke hospital semula. Lebih kurang seminggu, begitulah rutin harian saya. Kalau hari tersebut saya ada peperiksaan, saya akan ke dewan peperiksaan. Habis peperiksaan, saya akan ke hospital semula. Kalau ditanya sekarang sama ada saya rasa penat atau tidak, jawapan saya tidak. Ajaib sungguh. Sekarang, balik dari kerja, penatnya seolah-olah saya buat kerja bendang(!).

p/s: saya gagal subjek Business Calculus yang saya ambil ketika saya menjaga emak di hospital tetapi ada hikmah lain yang saya dapat. Ketika orang lain bertungkus lumus mengira itu ini di dewan peperiksaan, saya menulis lirik lagu Siti Nurhaliza(!)

5 comments:

a.b geldofg said...

tkpa..jasa pada mak adalah sgala2nya

Unknown said...

ada kebaikan d sebalik keburukan..ada petanda d sebalik kejadian..so..itulah hikmah dlm setiap kejadiaan...mak adalah segalanya.

Anonymous said...

oh...
mmg betul ada hikmah...
Tuhan mmg permudahkan kerja org yg sayang emak dia...
berkorban ke jln yg betul dan segala kebaikan yg kita buat..

MaRdHatILLah(Fatahiyyah) said...

mak adalah segala-galanya..ingt waktu kat kolej dl pernah blajr bsnns calcls.memg susah

Solehah Muhammad said...

kak el, smg mak akak cepat sembuh ok