Tuesday, 17 November 2009

Ampang Puteri

Kalau sebut Ampang Puteri, apa yang terbayang di dalam fikiran kita? Kawasan Perumahan? Taman Rekreasi? Hospital? Pandai. Ye, hospital. Saya dan adik ke bahagian pesakit luar. Sampai di depan pintu, suhu badan diambil dan disuruh cuci tangan dengan sanitizer yang disediakan. Setelah itu satu pelekat kecil warna hijau ditampal di baju saya menandakan saya tidak demam. Kemudian kami diarahkan ke tingkat 2 untuk berjumpa doktor M apabila saya mengatakan untuk berjumpa dengan doktor pesakit luar. Sesampai di klinik doktor M, saya ditanya tentang sakit apa oleh pembantu doktor. Doktor tiada dibiliknya. Saya diberikan topeng hidung & mulut. Sementara menunggu doktor datang, saya diminta mengisi borang pendaftaran. Kemudian saya diarahkan untuk membuat ujian darah dan hidung di makmal.

Saya ke makmal bersama adik. Adik saya yang kelaparan, beredar untuk bersarapan. Ramai juga orang yang menunggu tetapi masa menunggu tidak lama. Dicucuk dengan jarum di lengan (kiri) bukanlah pengalaman pertama. Tetapi dimasukkan semacam plastik halus ke dalam hidung untuk ujian influenza, adalah pengalaman pertama. Selama saya selsema hampir sebulan, tidak pernah sekali pun saya bersin. Tetapi ujian influenza ini menyebabkan saya bersin beberapa kali. Setelah itu saya turun ke lobi mencari adik saya yang ke kedai makan berhampiran. Kesian dia.

Tidak lama kemudian saya mendapat panggilan dari klinik doktor M mengatakan doktor ada pesakit di wad ICU dan tidak dapat berjumpa saya. Sebagai alternatif, saya diarahkan ke wad kecemasan di mana di sana pegawai perubatan dapat membantu saya. Setelah menunggu agak lama, saya dipanggil oleh pegawai perubatan (dibaca: doktor). Doktor bertanya saya seperti peluru berpandu sehingga saya tidak sempat habis menceritakan keadaan saya. Ada sakit kat bawah mata? Tidak. Ada sakit kepala kat bahagian dahi? Tidak. Sinus lah tu. Sinus? Jawapannya semua TIDAK, sinus? Come on ok doc. Sudah puas bertanya, soalan terakhir doktor tanya sama ada saya bersin setiap pagi. Saya jawab tidak. Dia baru nak tanya selepas buat kesimpulan saya menghidap sinus tadi? Macam yang saya cakap tadi, sepanjang saya selsema tidak pernah sekali saya bersin. Bagaimana doktor dengan mudah membuat kesimpulan sebelum tanya saya habis-habis? Siap nak buat x-ray hidung(!).

Doktor memberitahu, saya perlu dimasukkan ke wad. Huh? Keputusan ujian darah saya belum keluar, saya hendak dimasukkan ke wad atas dasar apa? Kemudian saya didatangi oleh jururawat bertanyakan saya hendak bilik yang berapa orang. Saya kira, Ampang Puteri perlu ada jururawat yang sebegini untuk mencari pengaliran wang masuk dengan cepat. Saya tidak dibenarkan berfikir, terus ditanya sama ada deposit bilik hendak dibayar tunai atau kad kredit. Saya ketika itu sedang diambil darah lagi sekali di tangan sebelah kanan pula. Penghentian darah tidak dibuat dengan betul menyebabkan darah saya mengalir laju keluar mengenai seluar saya dan cadar katil. Rupa-rupanya doktor di wad kecemasan itu tidak mengetahui yang darah saya sudah diambil untuk diuji di makmal tadi. Bazir darah je. Mentang-mentang darah saya banyak. Dia juga bertanya mengapa ada pelekat kecil warna hijau di baju saya. Hairan kan? Sepatutnya dia tahu. Sebelum semuanya berakhir, saya dipanggil sekali lagi oleh doktor di wad kecemasan itu. Dia diarahkan oleh klinik doktor M untuk memasukkan saya ke wad. Saya dan adik saya menolak untuk dimasukkan ke wad. Saya cuma mahukan keputusan ujian darah dan mahu ke Gleneagles Intan pula.

Dengan keputusan ujian darah influenza A & B negatif, denggi negatif, saya dikenakan caj RM170. Ok, dah nama Ampang Puteri kan. Untuk apa saya dimasukkan ke wad kalau keputusan semuanya negatif?

Semoga timbul ilham untuk mereka memperbaiki kesilapan. Yang boleh dipuji hanyalah doktor dan pembantu perubatan di hospital itu bersikap baik. Terima kasih. Proses perkhidmatan tidak seindah nama.

No comments: