Saya sebenarnya tidak tahu ke mana Aishah dan Dahlia hendak bawa saya petang itu. Mereka cuma memberitahu hendak bermain layang-layang. Katanya di taman rekreasi di kawasan Kepong. Kepong? Jauhnya main layang-layang. Ikut sajalah daripada tidak buat apa-apa di rumah. Lagipun sudah banyak kali Aishah ajak saya ke sana tapi banyak sangat alasan saya. Alasan saya pun bukan alasan yang sengaja saya reka. Setiap kali dia ajak, mesti hari yang saya ada kelas. Sudah tentulah saya menolak.
Ketika kami bertolak dari rumah ke sana, jam menunjukkan jam 6:15 p.m. Dalam hati saya berkata, berapa lama sangatlah dapat main layang-layangnya. Tapi disebabkan orang yang ajak, saya mengikut saja tanpa sebarang kata. Sampai di sana, jalan masuk menuju ke taman rekreasi tersebut sangat sesak. Kereta langsung tidak boleh masuk. Kami memarkir kereta di luar kawasan taman rekreasi. Saya pun hairan apa yang membuatkan jalan itu sesak.
Setelah memasuki ke kawasan taman rekreasi itu, baru saya faham kenapa jalan masuk ke sana amat sesak. Manusia yang berada di taman rekreasi tersebut teramat ramai. Belum pernah saya melihat mana-mana taman rekreasi begitu sesak. Yang bermain layang-layang juga sangat ramai. Saya mula berfikir, macam mana hendak bermain layang-layang macam tu. Sudah tentu tali layang-layang akan bertembung antara satu sama lain. Apa yang saya agak memang benar terjadi bila layang-layang yang Dahlia main telah bertembung dengan layang-layang orang lain.
Kami mula mencari kawasan yang kurang orang. Tiba-tiba hujan turun renyai-renyai. Aduh...baru saja hendak mula terbangkan layang-layang. Kami berlari ke kereta yang diletakkan jauh di luar.
Sebenarnya saya bukan hendak bercerita tentang betapa kanak-kanaknya kami bermain layang-layang tetapi tentang manusia-manusia yang berada di situ. Saya kira mereka ke sana bukan untuk suka-suka melainkan untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga terutama dengan anak-anak. Anak-anak tidak perlu tempat yang mahal untuk menghabiskan masa bersama ibu bapa. Mereka cuma mahu ibu dan bapa mereka ada di sisi mereka ketika mereka membesar. Mereka gembira dan terhibur walaupun dengan hanya bermain layang-layang, permainan tradisi yang amat murah. Kita hanya perlu membayar harga layang-layang yang amat murah (ada dijual di situ dan kalau rajin/kreatif, boleh buat layang-layang sendiri) dan tidak perlu membayar harga angin untuk menerbangkan layang-layang. Waktu yang berharga bersama keluarga tidak boleh kita beli. Jangan pula kita menyesal satu hari nanti jika anak-anak kita 'terbang' dari sisi kita kerana kita kedekut untuk meluangkan masa bersama mereka. Kita yang belum ada anak perlu bersedia dengan ilmu-ilmu ini.

6 comments:
wah!!! menarik n3 kali ni ttg "Layang-layang"..mean d sebalik nya sgt2 baik dan ada unsur2 nasihat.good job.. yep..mmg betul..cara bersama ngn mereka dan memahami ank2 dgn cara mcm ni..sekurangnya anak2 akan lbh akrab dgn kita..lbh closed dan lbh kasih syg..keep in touch.
ok, saya dah bersedia dgn ilmu layang-layang..;)
seronoknya kalau dah berkeluarga
Yus: Dah jadi ayah nanti jangan kedekut luangkan masa dengan anak-anak ye :P
Lan: Alhamdulillah dah bersedia. Apa tunggu lagi :-)
PJ: Seronok ke? Bila lagi?
Post a Comment