Hujung minggu lepas saya ke MPH. Saya borong 4 novel Faisal Tehrani. Salah satunya adalah Detektif Indigo Kembali. Saya baru habiskannya semalam.
Detektif Indigo Kembali mengisahkan bagaimana para pelajar Maktab Tinggi Remaja Indigo di Nilai bergabung tenaga dengan para pelajar Maktab Rendah Remaja Indigo di Sepang diminta membabitkan diri menyiasat kes berprofil tinggi iaitu penculikan Profesor Aslan iaitu Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan juga penculikan Dr. Recep Gul iaitu pengasas Akademi Indigo.
- Maktab Tinggi Remaja Indigo diwakili oleh Dendy & Furqan.
- Maktab Rendah Remaja Indigo, Sepang diwakili oleh Chen-Chung (al-hafiz), Faruq (si serba tahu), Mihrimah Maryam (pakar sains forensik), Ruzbihan (mempunyai deria bau yang tajam), Rabiah Zaitun (ahli kimia) dan Isamu (entomologis).
- Maktab Rendah Remaja Indigo, Berlin diwakili oleh kembar Hasan dan Husin
Profesor Aslan telah diculik di Jeddah oleh setiausaha peribadinya, Mushtaq yang telah 4 tahun bekerja dengannya, kerana fanatik mazhab. Beliau diculik kerana berminat dalam hal perpaduan umat Islam dan usaha untuk mengendurkan ketegangan antara agama. Mushtaq minta kematian Saddam dibela. Dia mahu orang syiah semua mati dibunuh di Iraq. Dia mahu Al-Qaeda mengambil tempatnya. Dia mahukan keenam-enam Detektif Indigo Sepang sebagai "tebusan".
Dr. Recep Gul pula diculik di Thailand oleh pembantu kanannya, Bojan yang telah bekerja dengannya selama 6 tahun. Bojan mungkin terlibat dengan kumpulan pemisah yang sudah mulai diresapi fahaman ekstrim wahabi.
Mushtaq dan Bojan adalah anak-anak indigo dan merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Remaja Indigo Jalalabad. Penculikan kedua-duanya ada kaitannya dengan konspirasi, mengalih perhatian dari isu sebenar.
Kelakuan Dr. Mama - salah seorang tenaga pengajar Maktab Rendah Remaja Indigo Sepang -telah menimbulkan keraguan sehinggakan beliau disyaki telah terlibat dengan penculikan kedua-duanya.
Kesemua anak-anak indigo ini berjumlah 10 orang semuanya telah menggunakan kelebihan mereka di dalam menyiasat kes ini. Akhirnya Profesor Aslan telah dijumpai di Makkah dengan menggunakan telepati Chen-Chung, Hasan dan Husin. Profesor Aslan telah meninggalkan bukti di tempat dia dikurung oleh Mushtaq. Dengan bukti itu Detektif Indigo dapat mengesan Profesor Aslan. Dr. Recep pula telah bertindak nekad dan berani serta dapat melarikan diri dari Bojan dan berjalan kaki sejauh 50km mencari balai polis. Dia dijumpai di Pattaya.
Sekali lagi apabila kes ini hampir selesai, ianya telah ditarik balik secara mendadak daripada Detektif Indigo ini. Kes ini telah diserahkan kepada pihak polis secara rasmi. Ini adalah kerana anak-anak ini masih belajar dan bantuan mereka kepada pihak polis hanyalah bersifat pertolongan dan bukan kewajipan. Demikian Ustaz Azaharee, Pengetua Maktab Rendah Indigo Sepang menjelaskan. Dia juga mengingatkan yang Akademi Indigo adalah struktur rahsia di dalam OIC. Maka mereka tidak boleh terdedah kepada publisiti atau media. Disebabkan itu pertolongan mereka hanya setakat fasa yang tidak bahaya. Tetapi misi mereka telah tercapai iaitu untuk mengesan mangsa dan menyelamatkan mereka.
Kesimpulannya, saya berpendapat untuk melonggarkan permusuhan antara agama yang cuba dilakukan oleh Profesor Aslan bukanlah kerja yang mudah. Novel ini banyak menyentuh isu semasa termasuklah kes berprofil tinggi yang melibatkan warga Mongolia di negara kita. Dunia Islam sekarang sudah mula mengkafirkan sesama mereka. Yang kita hendak banteras sekarang adalah keganasan dan penindasan. Sekiranya yang mengganas itu orang Islam di mana agama Islam tidak mengajar umatnya begitu, maka orang seperti ini patut dibanteras. Andainya yang menindas itu orang bukan Islam, maka manusia seperti inilah yang harus dilawan dan yang kena tindas juga orang bukan Islam, mereka ini juga patut dibela nasibnya. Semua ini boleh kita lihat berlaku di Iraq dan Thailand. Dunia mendewakan orang yang zalim.
Novel ini juga ada bahagian-bahagian jenakanya di mana Mihrimah Maryam selalu saja bergesel pendapat dengan Faruq lantas menerbitkan suasana yang lucu. Dialog-dialog jenaka Mihrimah Maryam dan Rabiah Zaitun juga adakalanya menambah warna di dalam novel ini.
Saya sedang menyudahkan Karbala karya Faisal Tehrani lagi.

8 comments:
rindunya nak mula aktif membaca lagi. Tapi selalu tak banyak masa...
Kena cari betul2 free baru nak start membaca balik. Sebab kalau dah mula, susah nak berhenti selagi tak khatam buku tuh...hiks.
:)
Yuhuuuu eedany!! Ayat yang akhir tu memang sangat-sangat betul. Dah mula baca, memang susah nak berhenti. Bila dah berhenti, nak mula balik pulak susah.
congrat..
fans of faisal tehrani nih...
bagus.. terus mbaca n mengkaji..
sy prn bc karya faisal tehrani..kerana manisnya epal x silap sy..pg tak pesta buku 2008...faisal tehrani ad kt situ sy smpat la tgk dia..huuhuu
a.k.a P@i: terima kasih :-) bila nak bukukan cerpen?
Warda: Beruntungnya dapat jumpa FT. Semalam jenuh belek novel-novel dia yang lain sebab nak tau lebih pasal dia. Jumpa dia punya interview dgn beberapa majalah kat belakang novel Karbala.
ooo..kt nk pggil ape erk kt awk..x tau la..akak blh? knal noor suraya x.?penulis buku kt Creative dl la
Warda: Boleh panggil akak. Noor Suraya, akak tak kenal personally tapi akak tau penulis tu. Akak baru habis baca novel dia, Tanah Andriyana, kalau tak silap tajuknya (cepat lupa sebab dah banyak sangat baca novel) dalam kumpulan novel Gurindam Jiwa.
Post a Comment