Ujang
Hari tu saya tak nampak pun ada majalah Ujang kat rak majalah tu. Tiba-tiba pulak ada kat situ. Ada 4 buah. Entah siapa yang bawak atau letak. Majalah lama. Tahun 2006 dan 2007 punya. Saya bawa masuk bilik untuk saya khatamkan. Dah lama saya tak beli majalah Ujang. Rasanya dah 3 tahun. Saya tak pasti masih ada lagi ke tak dekat pasaran. Dulunya, majalah tu menjadi terapi untuk saya yang selalu saja sibuk melayan kerenah-kerenah lembaga pengarah saya. Ia menjadi salah satu majalah kegemaran saya. Bukan semua lawak yang ada boleh buat saya ketawa tapi sekurang-kurangnya, jika ada sekalipun, boleh buat saya gelak tak berhenti (memang jenis suka gelak pun).
Nur
Satu-satunya majalah yang saya setia membelinya sehingga sekarang sejak kali pertama ia diterbitkan. Saya memiliki keluaran sulung majalah ini yang pada ketika itu dijual dengan harga RM1.00. Sudah 2 kali majalah ini bertukar Editor. Yang lebih menarik lagi, keluaran sulung majalah itu merakamkan hiasan dalaman bilik bos saya(!). Ketika wartawan dan jurukamera datang untuk merakamkan gambar bilik bos saya, kami sempat bertanya untuk apa. Wartawan itu memberitahu ia adalah untuk sebuah majalah baru yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Saya tidak menyangka saya adalah salah seorang peminat setia majalah itu sekarang. Ia adalah majalah untuk muslimah yang menyelitkan unsur-unsur Islam hampir sepenuhnya. Saya tidak berniat untuk menghuraikan satu persatu apa isi kandungan majalah ini tapi apa yang buat saya kagum, para suami juga membaca majalah ini(!). Macam mana saya tahu? Melalui surat-surat para pembaca yang disiarkan. Surat (email sebenarnya) saya juga pernah disiarkan :-)
Malaysian Business
Saya perlukan majalah ini. Ia membantu meningkatkan pengetahuan saya di dalam bidang kerja yang saya ceburi sekarang. Ruangan yang paling saya minati ialah Other Thots oleh A. Kadir Jasin. Banyak pengetahuan korporat yang saya dapat melalui majalah ini. Semasa saya di matriks, saya sangat kagum dengan pengetahuan tentang dunia korporat seorang teman sekuliah. Saya hairan di mana agaknya dia mendapat semua maklumat itu. Dulu, internet tidak begitu 'terkenal' seperti sekarang. Tapi dia rajin baca suratkhabar. Dulu maklumat di dalam suratkhabar tidak seperti sekarang.
Saji & Rasa
Majalah-majalah ini pernah menjadi majalah yang wajib saya beli setiap bulan. Tapi sekarang, saya hanya akan membeli sekiranya saya tertarik dengan muka depannya. Banyak juga saya belajar dari majalah ini. Saya sangat suka belek majalah ini berulang kali. Selalunya saya akan telitikan setiap bahan yang digunakan di dalam satu-satu resepi.
Pa&Ma
Ye...saya tahu saya belum lagi menjadi ibu. Sekaligus saya belum mempunyai anak. Pada pendapat saya, 'belum' bukan bererti kita tidak boleh berilmu. Bukan setakat persiapan tetapi lebih kepada ilmu yang boleh dimanfaatkan di mana-mana. Seingat saya, saya mula membeli majalah ini ketika Alya berusia 4 tahun. Sekarang Alya sudah berusia 8 tahun. Banyak ilmu yang saya dapat dari majalah ini yang saya aplikasikan kepada Alya. Yang paling saya suka bila ada satu ruangan di mana berpuluh-puluh gambar kanak-kanak dan bayi disiarkan. Mereka ini sangat comel dan boleh buat saya tersenyum :-)
Mastika
Majalah ini mula saya beli ketika masyarakat kita sibuk membincangkan kebejatan masalah sosial. Saya sangat tersentuh dengan artikel-artikel didalamnya. Saya pernah menitiskan airmata membaca salah satu artikelnya. Ketika itu saya membayangkan bagaimana agaknya perasaan saya jika adik-adik saya yang diceritakan di dalam artikel tersebut, Nauzubillah. Sms saya juga pernah disiarkan di dalam majalah ini :-)
Sekarang saya sedang mengintai-intai majalah i untuk saya jadikan majalah bulanan wajib beli.
Saya turunkan di sini salah satu ruangan di dalam majalah Ujang yang telah saya baca, yang membuatkan saya susah nak berhenti gelak.
Pakcik Kordi dan Lembu Beliau
Tok: Kordi, lembu dalam bahasa inggeris disebut ape ha?
Pakcik Kordi: Itu pun tak tau ke? Lembu omputih sebut elephant
Tok: Salah la Kordi. Elephant tu bermaksud belalang bukannye lembu
Pakcik Kordi: Ye tak ye jugak! Hmm...mungkin mouse kot.
Tok: Mana ade...mouse tu kura-kura! B*do betul la kau Kordi. Aku rasa dalam bahasa inggeris lembu disebut dragonfly la Kordi
Pakcik Kordi: Apa plak..tu naga la tok. Mmm, ntah ape la lembu ni dalam bahasa omputih ye?
Lembu: You all ni...itu pun tak tau ke? Lembu dalam bahasa inggeris disebut umbrella. St*pid la you all ni
Tok: Betul tu...aku baru nak cakap umbrella tadi
Pakcik Kordi: Aku pun tau lembu ialah umbrella...saja buat-buat tak tau
Hehehehehe.......
Kongsikan dengan saya majalah kegemaran anda di blog anda, ok.

No comments:
Post a Comment